"Tak kenal maka tak cinta." Ungkapan yang dianggap klise oleh masyarakat kini. Mana tidaknya, ungkapan ini sering kali di dengari dan keluar dari mulut pelakon-pelakon drama Melayu. Bahkan dalam perbualan seharian juga, ungkapan ini sering berlegar di bibir penutur. Dalam ruangan ini penulis berminat untuk menggunakan pepatah ini dalam usaha untuk mengetengahkan sebuah laman web yang semakin mendapat tempat di hati para pelayar internet. Laman web yang dimaksudkan ialah iLuvislam.com.
Laman web ilmiah yang telah diasaskan oleh 5 orang anak muda tempatan ini, membawa objektif yang murni dalam usaha menyampai dan menyebarkan ilmu kepada yang memerlukan. Ia juga boleh disebut sebagai ‘dakwah'. Pendekatan cara moden yang cuba dibawa oleh mereka, selari dengan minat anak-anak muda pada zaman ini, iaitu menggunakan perkhidmatan internet. Perkhidmatan internet yang telah menjadikan ‘dunia tanpa sempadan' ini, benar-benar telah dimanfaatkan oleh mereka sebagai salah satu cara untuk mendukung usaha menyampaikan islam kepada masyarakat sekeliling. Seperti yang diketahui umum, penggunaan internet membolehkan pelayar-pelayar mendapatkan ilmu dengan mudah. Hanya perlu taip kata kunci di enjin pencari (seperti Yahoo, dan Google), nah, beratus-ratus laman yang mempunyai kaitan dengan kata kunci itu akan dipaparkan. Mudah bukan?
Pengenalan
Sekarang molek lah sekiranya jika kita berkenalan dengan laman web iLuvislam.com ini. Laman ini secara kasarnya akan dilihat sebagai sebuah laman web yang akan menyajikan pengguna dengan ilmu-ilmu berkaitan islam. Lihatlah saja pada namanya, ‘iLuvislam'. Tapi, apa kata para pembaca cuba dahulu untuk melayari laman web ini dan baca apa yang terkandung di dalamnya. Bukankah pihak kerajaan kini sedang menggalakkan masyarakat untuk membaca? Membaca juga boleh diluaskan skopnya dengan tidak hanya meletakkan buku, sebagai bahan bacaan. Penulis teringat tentang sebuah lagu yang pernah disiarkan di kaca televisyen pada masa dahulu. Antara liriknya, ‘let makes reading, a life of wawasan'. Ayuh kita melayarinya, mengenalinya dan membaca kandungannya!
Umpama seorang yang berada di tengah padang pasir dan kehausan. Orang ini mengembara untuk mendapatkan air. Selangkah demi selangkah, akhirnya dengan kuasa Tuhan, dia ditemukan dengan oasis. Rugi, jika tidak dimanfaatkan, kerana 70% daripada badan manusia ialah air. Maka, jika oasis itu dibiarkan sahaja dan orang tersebut berlalu tanpa ada inisiatf untuk pergi minum, kemungkinan, akan terhidrasilah badannya, yang akhirnya akan membawa kepada maut. Begitulah yang boleh penulis ibaratkan semasa pertama kali berjumpa dengan laman ini. Tatkala diri terlalu sibuk dengan hal pelajaran yang pada masa itu dianggap seperti membebankan; pertemuan dengan laman ini sama sekali telah menjadi ‘turning point' kepada diri. Mencari tujuan hidup yang sebenar, mempelajari semula apa yang telah dipelajari serta memanfaatkan koleksi artikel yang ada untuk dijadikan makanan rohani.
Variasi Ilmu & Isi Kandungan
Apa yang terkandung di dalam laman ini? Apa yang dapat penulis tulis, ialah ‘variasi ilmu'. Terkandung di dalamnya artikel-artikel keagamaan, seperti, bulan islam, perbandingan agama, dakwah, Quran & hadis, sains dan islam, serta tazkirah. Selain itu, terdapat juga koleksi artikel mengenai kepimpinan, kewangan, lirik & lagu, kesihatan dan tokoh. Yang paling mendapat sambutan,terutama bagi golongan remaja, ialah remaja & cinta. Belajarlah untuk mengetahui kebenaran supaya tidak menyesal di kemudian hari. Perbaikilah diri, akhlak dan akidah kita semaksimum yang boleh!
Terdapat juga koleksi ‘motivasi' untuk pembangunan diri, ‘famili' untuk kekeluargaan dan ‘English article' untuk memantapkan penguasaan bahasa inggeris anda. Melalui laman web ini, sedikit sebanyak dapat dilihat bahawa islam adalah agama yang lengkap (syumul). Hal ini kerana, dewasa ini, kita dapat lihat berlakunya pengasingan diantara agama dan cara hidup. Tetapi melalui laman ini, pelayar dapat bertemukan islam yang sebenar iaitu agama DAN cara hidup. ‘Islam is the way of life'.
Forum yang Mendidik
Laman ini juga kaya dengan forum-forum perbincangan. Tidak cukup dengan itu, forum-forum perbincangan ini turut dipecahkan kepada empat slot! Slot soal jawab agama, slot diskusi umum, slot kaunseling, kerjaya dan kesihatan serta slot santai dan perkongsian pintar. Bagi membolehkan anda menyertai forum-forum ini, anda perlu mendaftar sebagai ‘user' (pengguna) terlebih dahulu. Dan ia adalah percuma! Para pengguna bebas untuk menyertai mana-mana perbincangan forum, dengan syarat mematuhi etika-etika yang telah digariskan. Sementelah itu, terdapat juga beberapa orang moderator yang telah ditugaskan untuk menjaga kelancaran dan keamanan perbincangan. Apa yang boleh dikatakan tentang bahagian forum ini ialah, pengguna akan di didik untuk mendisiplinkan diri dan belajar untuk menghormati pengguna lain.
Kaunseling Percuma
Tiada masalah yang tidak dapat diselesaikan jika kita berusaha untuk mengatasinya. Dalam usaha kita memotivasikan diri sendiri, iLuvislam.com juga menawarkan perkhidmatan kaunseling bagi mereka yang memerlukan. "Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum, melainkan mereka sendiri yang mencuba dan berusaha untuk mengubahnya." Itulah yg telah termaktub di dalam kitab suci Al-Quran, surah Al-Anfal, ayat 53. Disamping meletakkan segala keputusan kepada Allah (tawakkal),usaha juga amat perlu, kerana rezeki juga tidak akan datang bergolek. Disebabkan keprihatinan dan kesedaran ini, iLuvislam.com telah melancarkan satu forum khas untuk membicangkan masalah-masalah yang dihadapi oleh pengguna. Masalah remaja, masalah stadi, masalah keluarga, mahupun masalah kerjaya. Anda dialu-alukan untuk bertanya kepada 5 orang (pada masa ini) kaunselor rasmi iLuvislam.com. Kita berusaha dan di tangan Tuhan jugalah terletaknya penyelesaian.
'Anak-Anak'
Islam bukan sahaja sebuah agama, tetapi juga cara hidup dan ianya lengkap untuk dijadikan panduan bagi setiap manusia. Sehubungan dengan itu, iLuvislam.com turut mempamerkan ‘kelengkapan' islam ini dengan melahirkan beberapa lagi ‘anak-anak'. ‘Anak-anak', atau dalam erti kata lain nya ialah subdomain, di mana terdapat beberapa lagi laman-laman berguna yang boleh dimanfaatkan oleh pengguna. Antara nya ialah testi.iluvislam.com, edu.iluvislam.com, resepi.iluvislam.com, news.iluvislam.com, tutorial.iluvislam.com, wallpaper.iluvislam.com, techguys.iluvislam.com dan topblog.iluvislam.com.
Bagi anak muda remaja, ramai antara mereka yang mempunyai akaun Friendster, dimana laman ini membolehkan mereka untuk terus berhubung dengan sahabat mereka. Adakah anda mencari komen-komen ataupun testimonial yang comel-comel? Ataupun adakah anda mahukan yang lebih ilmiah untuk dimanfaatkan oleh sahabat anda? InsyaAllah, testi.iluvislam.com ada jawapannya. Bukan itu sahaja, malah, daripada subdomain ini, anda mampu untuk mengasah bakat anda dalam bidang ‘designing'. Ya! Jika anda mempunyai bakat dalam bidang ini, anda dijemput untuk menyumbang hasil kreatif anda. Semoga hasil kreatif anda, dapat dimanfaatkan sebaik mungkin oleh para pengguna laman tersebut.
Sudah ‘penat' memberi makan kepada otak dan rohani, silalah melawat ke resepi.iluvislam.com untuk memberi makan kepada badan pula. Di laman ini, banyak resepi yang telah dikongsi oleh pengguna. Bermula daripada biskut-biskut, sampai lah kepada lauk-lauk. Semuanya boleh didapati disini. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan tentang sesuatu makanan ataupun tips-tips, anda boleh memulakannya dengan membuka forum perbicangan yang baru. Bagi mereka yang merasakan bahawa anda sudah kekeringan idea untuk membuat kuih-kuih atau masakan, apa kata anda kunjungi laman ini! Ataupun jika anda merasakan anda mempunyai banyak resepi menarik untuk dikongsi bersama, perkongsian anda amat dialu-alukan. Tahukah anda, kadang-kadang perkongsian resepi anda berupaya untuk membantu pelajar-pelajar, terutama yang berada jauh daripada keluarga, untuk masuk ke dapur? Terutamanya bagi mereka yang berada di luar negara. Sekurang-kurangnya dengan perkongsian daripada anda, dapatlah juga mereka untuk memasak dan menikmati lauk pauk Malaysia; paling tidak seminggu sekali!
Lepas anda melayari resepi.iluvislam.com, apa kata anda lawati pula news.iluvislam.com. Wah, gaya selepas makan, memegang surat khabar pula. Bezanya disini, di news.iluvislam.com, terdapat video yang boleh dipilih oleh para pengguna, untuk mereka tonton, dengar dan analisis. Video ini berperanan seperti mini televisyen yang membolehkan rakyat Malaysia seantero dunia mengikuti perkembangan Malaysia. Berita-berita didalamnya dikemaskini setiap saat kerana menggunakan teknologi ‘ RSS Feed'. Antara berita-berita yang terdapat di dalamnya ialah ‘akhbar perdana Malaysia', ‘akhbar alternatif Malaysia' dan ‘islam & world'.
Penulis yakin pada zaman globalisasi ini, ramai yang tidak mahu ketinggalan dalam usaha mempelajari ilmu-ilmu di bidang teknologi. Mana tidaknya, dari tahun ke tahun, bilangan pelajar yang memasuki institut pengajian tinggi dalam bidang teknologi dan maklumat, semakin bertambah. Selain itu juga, dapat dilihat pada masa ini, bilangan bloggers, juga seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Penulis juga dapat melihat perkembangan ini apabila pada masa ini, ramai antara kawan penulis yang membuka blog sendiri. Masing-masing dengan tujuan untuk berkongsi ilmu dan pengalaman mereka; sama ada yang sedang belajar di dalam negara, mahupun di luar negara. Penulis teringat akan satu ungkapan yang biasa kami gunakan apabila mahu berkongsi idea dengan rakan-rakan, iaitu "sharing is caring". Setiap blogger juga akan berusaha untuk mengemaskini serta menambah widget yang menarik, agar blog mereka sentiasa mendapat perhatian. Salah satu subdomain iluvislam.com, iaitu tutorial.iluvislam.com, menawarkan perkhidmatan tutorial bagi mereka yang mahu mengetahui tentang hal ini. Bukan itu sahaja, para pengguna juga boleh melanggan tutorial ini secara percuma, dan ianya akan dihantar terus ke peti masuk emel anda!
Topblog.iluvislam.com pula menghimpunkan blog-blog yang berguna kepada pengguna. Kebanyakan blog ini mempunyai matlamat untuk berkongsi idea dan pengalaman kepada pembaca. Pengguna juga boleh mendapatkan ilmu-ilmu tentang islam melalui blog-blog yang telah tersenarai dalam laman tersebut. Justeru itu, jika anda merasakan blog itu bagus untuk dilawati dan amat bermanfaat, anda boleh untuk mengundi blog tersebut sebagai blog kegemaran anda. Undian anda membawa erti kepada pengunjung selepas anda. Hal ini kerana, ia mungkin dapat memudahkan pengguna yang lain untuk memilih blog yang patut mereka kunjungi. Tapi, bergantung juga kepada penerimaan pengguna. Lain orang lain penilaiannya, bukan? Maka, apa kata, jika ada masa berlebihan, lawatilah kesemua blog tersebut, kemudian, anda letakkan ranking anda sendiri!
Subdomain lain yang turut memberi pengetahuan, terutama kepada para pelajar, ialah edu.iluvislam.com. Disini, pengunjung boleh membaca beberapa artikel yang berkaitan dengan bidang pendidikan dan pembelajaran. Terdapat juga tips untuk belajar, koleksi artikel tentang sekolah, serta universiti dalam dan luar negara. Jika terdapat sebarang kemusykilan, pengguna boleh mengajukan soalan secara terus kepada penyumbang artikel tersebut.
Sharing for Ummah
Dalam usaha kerajaan melahirkan golongan muda yang cerdik pandai, pelbagai usaha telah dibuat. Antaranya menghantar sebilangan pelajar yang berpotensi ke luar negara, agar ilmu yang bakal mereka garab di luar kelak, akan diguna pakai di Malaysia. Para pelajar sememangnya memerlukan persediaan rapi sebelum mereka memilih hala tuju hidup mereka kelak. Contohnya bidang perubatan, bidang perguruan, bidang kejuruteraan, bidang media dan komunikasi, serta lain-lain lagi. Meletakkan tugas membantu dan menyampaikan sebagai agenda utama iLuvislam.com, laman web ini telah pun membuka sebuah forum baru, iaitu ‘sharing for ummah'. Hal ini membolehkan golongan-golongan professional, berkongsi pengalaman dan pengetahuan mereka dalam bidang tertentu, supaya dapat dijadikan pannduan oleh adik-adik.
Pada waktu ini, iluvislam.com telah pun mempunyai seorang doctor dan seorang jurutera. Doktor yang dimaksudkan ialah Dr. Aabee. Beliau merupakan seorang doktor pakar dalam bidang Otorhinolaringology-head neck surgery (ENT). Manakala, jurutera yang telah diwar-warkan pula ialah Saudara Taufiq Hussein. Beliau kini merupakan seorang network/sales engineer di Amerika Syarikat. Jadi, bagi mereka yang pada masa ini, masih menimbal balik cadangan untuk membuat pengkhususan dalam pekerjaan kelak, anda dijemput untuk melayari iluvislam.com. Begitu juga bagi mereka yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang anda, marilah sertai slot ‘sharing for ummah'. InsyaAllah, semoga usaha anda yang ikhlas untuk membantu adik-adik yang masih tercari-cari ini, akan diberkati dan diredhai oleh Tuhan.
InsyAllah dari masa ke masa, iluvislam.com akan terus berkembang dan menambah ‘anak-anak' atau subdomainnya. Antara subdomain terbaru adalah wallpaper.iluvislam.com yang memaparkan wallpaper-wallpaer menarik dan techguys.iluvislam.com; sebuah forum untuk anda berkongsi masalah computer dan akan ada krew iluvislam.com yang akan membantu menyelesaikan masalah anda. Ya, pastinya ia percuma!
Penutup
"Tak kenal maka tak cinta, dari cinta bercambahnya ilmu." Bukankah ini sesuatu yang amat manis dan bermanfaat? Mengubah diri daripada tidak tahu kepada tahu, daripada kurang yakin kepada lebih yakin! Penulis suka untuk membawakan pepatah ini, "orang yang berjaya ialah orang hari ini lebih baik daripada semalam, esok lebih baik daripada hari ini dan hari selepas nya lebih baik daripada hari sebelumnya." Pepatah ini menunjukkan bahawa betapa perlu nya untuk kita sentiasa mengubah diri dari sehari ke sehari, iaitu daripada yang negatif ke positif, daripada positif kepada yang lebih positif!. Ilmu Allah itu luas dan perlu dicari, dan penulis melihat iluvislam.com sebagai salah sebuah medium yang boleh diguna pakai oleh semua orang dalam usaha menuntut ilmuNya, insyaAllah. "Orang memberi, kita merasa." 5 bersaudara yang telah bertanggungjawab mengasaskan iluvislam.com ini, bersama anak-anak buah nya, telah berusaha untuk menyajikan para pengguna dengan ilmu-ilmu yang bermanfaat, Alhamdulillah, kerana kita dapat merasai nikmat ilmuNya!
Disediakan oleh,
Nur Syamimi Mohamad Napis
Setiausaha Media I iLuvislam.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan