Walaupun seorang muslimah itu cantik wajahnya, dengan bentuk tubuh tinggi lampai, namun penampilannya masih tidak sempurna jika tidak sempurna jika tidak disertakan dengan akhlak yang mulia. Kerana itu kita sering mendengar orang berkata, kecantikan seseorang wanita itu bukan terletak pada rupa, sebaliknya pada hati dan keperibadiannya.
Seperkara lagi, wanita adalah semulia-mulia dan secantik-cantik ciptaan Allah. Ini dapat dilihat daripada sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud; “Dunia ini penuh perhiasan dan perhiasan yang paling indah ialah wanita yang solehah.”(Riwayat Muslim)
Dari sini dapat dilihat dengan jelas, Rasulullah sendiri tidak mengungkap kecantikan wanita itu menerusi wajah, sebaliknya menerusi amal ibadah dan akhlaknya. Hati itu rohani dan keperibadian itu jasmani. Ia perlu diseimbangkan, barulah ia mampu menghasilkan sesuatu yang terbaik.
Allah sendiri sebenarnya suka kepada kecantikan. Oleh itu, setiap manusia khususnya wanita sendiri hendaklah memastikan diri mereka sentiasa cantik. Islam telah menggariskan panduan untuk wanita yang mementingkan kecantikan yang hakiki. Terdapat beberapa factor yang boleh membentuk kecantikan, iaitu fizikal yang merujuk pada luaran dan mental yang merujuk pada dalaman, iaitu kerohanian yang membentuk roh.
Kecantikan dari segi mental melibatkan pemikiran yang positif, yakin pada diri, sentiasa berbaik sangka terhadap orang lain, mampu melihat kecantikan orang lain, tidak sombong, pemaaf, berlapang dada, menerima teguran secara positif, tidak mementingkan diri sendiri, suka menolong orang, ceria dan penyabar. Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud; “Orang yang paling aku cintai dan yang paling terdekat dengan ku pada hari kiamat ialah orang yang terbaik akhlaknya.”(Riwayat Bukhari)
Malah dalam soal mencari jodoh, kaum lelaki juga dinasihatkan agar memilih calon isteru bukan berdasarkan kecantikan wajah semata-mata, sebaliknya mengutamakan agamanya. Sabda Baginda yang bermaksud; “Janganlah kamu nikahi wanita kerana kecantikannya, kelak kecantikan itu akan membinasakannya. Janganlah kamu nikahi wanita kerana hartanya, boleh jadi hartanya akan menyebabkan kederhakaanmu. Sebaliknya nikahilah wanita yang beragama. Sesungguhnya wanita yang tidak berhidung dan tuli tetapi beragama, itu adalah lebih baik bagimu.” (Riwayat Abdullah Ibn Humaid)
Akhlak yang mulia akan dapat dilaksanakan dalam kehidupan sehari-hari dengan cara latihan dan membiasakan diri untuk melakukan perbuatan yang terpuji. Namun ia perlu dilakukan dengan ikhlas, dengan niat ia akan menjadi suatu kebiasaan cara hidup. Bukan untuk berpura-pura. Dengan cara demikian, insyaAllah seseorang itu akan mempunyai keperibadian yang tinggi.
Antara akhlak yang telah dicontohkan daripada akhlak Rasulullah Sallallahu ‘AlaihiWasallam ialah:
1. Sabar
Setiap kita hendaklah bersabar dalam apa juga masalah hidup yang dihadapi. Mengingati Allah dan percaya bahawa setiap musibah itu ada hikmah yang tersembunyi. Sabar terhadap masalah dengan menganggap segala masalah yang dihadapi itu masih kecil berbanding dengan berbanding dengan masalah lain yang lebih besar. Kesabaran membuktikan diri kita mampu menerima takdir dan ketentuan daripada Allah.
2. Memaafkan
Sikap senang memaafkan orang lain yang melakukan kesilapan terhadap kita. Menjauhkan perkataan dan perbuatan yang tidak sopan merupakan akhlak yang terpuji. Tidak membalas keburukan orang dengan keburukan malah membalasnya dengan kebaikan.
3. Malu
Malu adalah sebahagian daripada iman. Seorang wanita yang tidak mempunyai perasaan malu, mereka lebih mudah untuk melakukan perbuatan yang ditegah oleh Allah dan sentiasa melakukan perkara yang disuruh. Tanamkan rasa malu terhadap Allah kerana dengan perasaan itu, kita akan merasa takut untuk melakukan perbuatan yang dilarang. Memiliki sifat malu itu mendatangkan kebaikan kepada Muslimah kerana ia akan sentiasa menjaga perkataannya, auratnya, budi pekertinya ketika di khalayak dan turut menjaga kelima-lima pancainderanya. Malu mereka bukan hanya terhadap Allah malah kepada kedua ibu bapa, suami, keluarga serta orang ramai, sementelah lagi kepada yang bukan muhrim. Dari perasaan malu inilah akan membuatkan seseorang wanita itu akan sentiasa menjaga dirinya daripada terlalu bebas dalam bertindak dan berkata-kata.
4. Pemurah
Seseorang itu hendaklah mempunyai sifat pemurah hati agar dirinya menjadi seorang yang berbudi luhur. Mereka boleh dan sentiasa bersedia untuk bersedekah walaupun dengan menggunakan harta suami, dengan syarat mestilah mendapat kebenaran terlebih dahulu. Hendaklah dijauhkan daripada sifat bakhil dan kedekut, kerana sifat ini akan merugikan diri sendiri. Antaranya mereka akan kehilangan kawan dan merenggangkan tali persaudaraan.
5. Mengutamakan Orang Lain
Mengutamakan orang lain daripada kepentingan diri sendiri adalah sifat yang mulia asalkan kita tidak mengabaikan keperluan asas untuk diri sendiri. Keperluan orang lain perlu dibantu seperti keperluan ayah ibu, suami, dan anak-anak. Semuanya itu merupakan ibadah kita terhadap Allah.
6. Bercakap Hanya Perkara Yang Baik
Lebih baik berdiam daripada bercakap tentang perkara-perkara yang tidak baik. Elakkan daripada mengumpat teman-teman, memfitnah, menceritakan tentang keaiban sahabat atau pun suami, bertengkar, menceritakan tentang rahsia orang yang sepatutnya anda simpan atau mengapi-apikan antara sesama kawan atau pun jiran. Sebaiknya banyakkanlah berzikir, beristighfar dan bercakap tentang perkara-perkara yang bermanfaat kerana ia akan mendamaikan jiwa kita sebagai Muslimah sejati. Sebaiknya melakukan kebiasaan buruk akan menjadikan hati kita semakin hari semakin keras.
7. Adil Terhadap Diri Sendiri
Keadilan merupakan ciri-ciri keperibadian Islam yang sebenar. Ia membawa kepada hidup yang tenang dan damai. Setiap Muslimah harus berlaku adil untuk diri sendiri dan orang lain. Berlaku adil atas semua keperluan hidup, jangan terlalu membazir dengan perhiasan yang mahal-mahal sehingga terabai keperluan anak-anak, suami dan jiran tetangga.
8. Berbaik Sangka
Berbaik-baik sangka adalah sebaik-baik sifat, apa lagi sifat begini akan memanjangkan tali silaturrahim, menyebabkan kita sentiasa disayangi, memadamkan api dendam dan jiwa kita juga akan sentiasa merasa tenang. Jika kira berburuk sangka kepada seseorang, akan membuatkan hati kita akan sentiasa sakit, jiwa jadi tidak tenang dan akhirnya akan memutuskan tali silaturrahim dengannya.
9. Ringan Tangan
Sentiasa bersedia untuk menghulurkan bantuan jika diperlukan. Jika kita mampu dari segi kewangan atau material, bantulah dengan menggunakan tenaga. Jika tidak mampu menggunakan tenaga, bantulah dengan bibir (memberi semangat). Atau jika tidak mampu dengan menggunakan bibir, berdoalah untuk kesejahteraan atau diringankan bebanan orang yang berkenaan. Bantuan diberi biarlah ikhlas, bukan kerana ‘ada udang di sebalik batu’.
10. Serba Sederhana
Menjalani kehidupan yang serba sederhana dalam segala hal, adalah cara terbaik. Kita tidak perlu menunjuk-nunjuk atau memberitahu kepada orang lain tentang kelebihan yang kita ada. Walaupun kita mempunyai wang beribu ringgit, tidak perlulah kita hidup bermewah-mewah, ada baiknya jika kekayaan yang berlebihan itu disedekahkan kepada orang miskin. Atau menunjuk-nunjuk tentang kebijaksanaan atau ijazah bergulung-gulung, tetapi akan lebih baik jika ilmu yang kita ada itu dikongsi dengan insan lain yang memerlukan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan