“Apakah aku seorang yang penyabar pada masa-masa yang lalu dan apakah aku mampu bersabar lagi pada masa-masa akan datang?”
Kemungkinan itu monolog hati kecil kita setelah kelihatan amat ‘lelah’ dan ‘semput’ menghadapi ujian getir dan bebanan hidup yang bertali arus memukul dan menghentam bahtera kehidupan kita.
Akan tetapi, atas kesedaran yang tinggi bahawa dunia sememangnya mutlak diciptakan Allah sebagai Negara ujian dan dugaan, maka mahu atau tidak kita mestilah memilih untuk terus bersabar, berlatih bersabar atau memaksa diri untuk bersabar dalam menanggung segala ujian, dugaan dan keperitan hidup itu kerana di sana tiada jalan lain untuk kita meraih keampunan, kejayaan , kemuliaan dan syurga dari Allah SWT.
Itulah persiapan awal yang paling tidak, mampu dan Berjaya dicapai, direalisasi dan dilestarikan dalam diri kita bagi mendepani rintangan hari-hari mendatang.
Kemampuan melestarikan kesabaran saat dirundung musibah adalah petanda kebenaran dan keampuhan iman di dalam diri mukmin.
Sabda Nabi Sallallahu’alaihiwasallam: “Ajaib sekali urusan(kehidupan) seorang mukmin. Semua urusan(perkara) dalam hidupnya baik belaka. Keajaiban itu tiada kepada seseorang melainkan pada diri mukmin. Jika dia dilimpahi kegembiraan(nikmat), maka dia bersyukur, maka itu baik baginya dan jika dia dilanda kemudaratan dia bersabar, maka itu juga baik baginya.” (Riwayat Muslim)
Sifat sabar yang dijana dan dilatih berterusan, mudah-mudahan ia akan membenihkan pula sifat redha yang sangat tinggi kedudukannya disisi Allah.
Selain itu, menurut sebahagian para ulama, kemuncak sifat sabar itu adalah sifat redha kepada Allah. Bermakna, lagi tinggi kesabaran seseorang itu, maka lagi lebat dan subur jugalah sifat redhanya.
Andai sabar itu milik golongan Abrar(para solihin), maka redha pula milik golongan muqarrabin(muttaqin).
Sabda Nabi Muhammad Sallallahu’alaihiwasallam: “Sesungguhnya besar ganjaran (pahala itu) beserta besarnya ujian (yang menimpa). Sesungguhnya apabila Allah mengasihi sesuatu kaum, (nescaya) Dia akan menguji mereka, maka sesiapa yang redha (dengan ujian tersebut) maka baginya (ganjaran) keredhaan dan sesiapa yang membencinya, maka baginya(balasan) kebencian.” (Hadis Hasan Riwayat at-Tirmizi)
Apakah pengajaran utama yang terdapat di dalam hadis di atas?
Dalam hadis ini terdapat anjuran dan galakan yang sangat penting dalam kehidupan beragama iaitu supaya kita dapat redha dengan ketentuan Tuhan ketika menghadapi segala dugaan hidup.
Nabi Sallallahu’alaihiwasallam pernah berdoa: “Aku memohon pada-Mu agar dikurniakan keredhaan selepas datangnya qadha (ketentuan-Mu).” (Hadis Sahih riwayat Imam Ahmad)
Sekalipun sifat redha itu sangat tinggi makamnya disisi Allah seakan sukar dicapai, namun Nabi tetap mengajarkan kita supaya sentiasa memohon kepada Allah agar dikurniakan sifat redha. Ya, paling tidak sebelum kita berangkat kea lam baqa.
“Sesungguhnya Allah itu, apabila Dia menentukan sesuatu qadha(ketetapan), Dia suka andai qadha itu diredhai oleh hamba-hamba-Nya.”
“Redha adalah pintu Allah Al-‘A’zham, syurga dunia(AlJannatul ‘A-jilah) dan pusat kerehatan sekalian ahlul ibadah.” Demikian ungkap As Abdul Wahid ibn Zaid Rahimahullah.Bagi yang tidak sabar dan tidak redha, musibah yang melanda telah dirasakan sangat menekan jiwa dan menyesakkan dada seakan hunjaman awalan seksa sebelum seksa sebenar di akhirat. Allahul Musta’an.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan