13 April 2010

::..MeRuNTuN HaTi..::


Hanya keinsafan mampu sekat zina, kes buang bayi

Dangkal ilmu, iman tipis punca keruntuhan moral, akhlak masyarakat GEJALA membuang bayi begitu menjadi-jadi sejak kebelakangan ini. Tanpa naluri kemanusiaan, bayi yang dilahirkan itu dibunuh dengan kejam semata-mata bagi menutup dosa ibu dan pasangan ibu bayi berkenaan. Bayi tidak berdosa itu menjadi mangsa. Hak mereka untuk hidup di dunia dihakis manusia tidak berperi kemanusiaan itu. Mungkin di dunia ini mereka boleh terlepas daripada hukuman kerana pihak berkuasa tidak dapat mengesan orang yang membunuh bayi ini namun sudah pasti di akhirat kelak Allah akan membalas perbuatan mereka dengan azab seksaan. Di akhirat nanti kita sudah pasti tidak akan terlepas daripada hukuman Allah.

Di sana, tiada peguam yang akan mampu membela orang yang melakukan kesalahan di sisi Allah. Perbicaraan di padang mahsyar begitu adil. Setiap amalan walau sebesar zarah akan dibalas sewajarnya.
Gejala membunuh bayi begitu berleluasa kerana masyarakat sudah tidak lagi memandang aspek akhlak dan moral sebagai suatu yang begitu perlu dipertahankan. Sudah tidak ada lagi perasaan malu berdua-duaan ataupun melakukan perkara sumbang di kalangan masyarakat. Sudah sering kita lihat muda-mudi terkinja-kinja dalam parti dan disko tanpa segan silu, meminum arak dan berpelukan sudah menjadi kebiasaan di sesetengah tempat.

Malah, cubaan untuk mengawal moral sebegini sering ditentang kononnya melangkaui hak asasi manusia. Penggubalan undang-undang berkaitan kawalan moral tidak dapat dilakukan, malah undang-undang sedia ada berkaitan dengan moral juga hendak dihapuskan.
Persoalan mengenai sama ada ada undang-undang boleh mencampuri hal ehwal moral dicetuskan semula beberapa badan bukan kerajaan (NGO). Badan itu melihat undang-undang semata-mata dari lensa Barat dan tidak diadunkan dengan budaya masyarakat tempatan yang disulami dengan jahitan agama. Mereka menolak penggunaan undang-undang dalam menjaga moral individu. Mereka mengatakan undang-undang tidak boleh mengawal salah laku moral. Jika seseorang itu berdosa, hanya Tuhan yang layak menghukum mereka. Namun, apabila gejala membuang bayi berlaku, tidak pula kedengaran usaha bagi mengetatkan undang-undang moral.

Sebenarnya budi pekerti dan moral yang mulia adalah satu-satunya asas paling kuat untuk melahirkan masyarakat yang ikhlas dan amanah. Orang yang tidak bermoral akan mudah terjerumus di dalam aktiviti jenayah. Undang-undang sebenarnya bersandarkan kepada moral dan moral bertunjangkan kepada agama.
Walaupun satu daripada Rukun Negara adalah Kesopanan dan Kesusilaan, permasalahan moral ini sering diketepikan. Memang benar Rukun Negara tidak mempunyai kekuatan undang-undang untuk dilaksanakan, namun apa gunanya berikrar atas nama Rukun Negara sekiranya ia tidak mahu dipatuhi.
Sepatutnya dalam membuat sesuatu keputusan, kita merujuk kembali kepada Islam sebagai agama negara. Seperti diriwayatkan ketika ditanya kepada Saidatina Aishah: “Apakah akhlak Rasulullah” maka Aishah menjawab: “Akhlak Rasulullah ialah al-Quran.” Oleh itu, apabila al-Quran melarang orang Islam meminum arak, apakah salah kerajaan membuat perundangan bagi mengharamkan orang Islam minum arak? Apabila al-Quran melarang berzina, apakah silap kerajaan membuat perundangan mengharamkan perzinaan dan pelacuran?

Rasulullah pernah bersabda bermaksud: “Sesungguhnya Rasulullah SAW itu diutus untuk menyempurnakan akhlak yang terpuji.” Pada masa sekarang, kita tidak dapat lari dari mengkodifikasikan ajaran Islam kerana masyarakat Islam itu sendiri begitu asing dari Islam.
Kalau dulu apabila ayat al-Quran mengenai pengharaman arak diturunkan maka sahabat berduyun-duyun membuang arak tanpa mempersoalkannya. Tetapi sekarang selepas 1,400 tahun berlalu, penghayatan terhadap al-Quran amat rendah. Oleh itu hukuman berbentuk keduniaan ini perlu bagi berperanan sebagai penghalang kepada budaya meminum arak ini.

Akhlak manusia tidak akan terdidik tanpa panduan undang-undang. Pada masa ini, dengan perundangan yang adapun akhlak masyarakat amat menyedihkan. Apa akan jadi jika semua perundangan itu dihapuskan. Maka wujud lakonan dalam perundangan ini. Secara hipotetikal, apabila undang-undang dihapuskan, apa akan jadi jika dua orang melakukan perbuatan tidak sopan di depan kita atau keluarga kita. Biarkan saja kerana ia hak asasi mereka? Biarkan remaja kita menonton aksi tidak bermoral itu? Apa yang hendak kita lakukan? Bagaimana pula dengan hak asasi kita yang berasa jijik melihat perbuatan seperti itu?
Tidak dinafikan pendidikan adalah elemen penting mengawal moral. Tetapi pendidikan saja tidak mencukupi kerana ia bertindak sebagai ‘amar maaruf’, manakala hukuman dalam bentuk perundangan bertindak sebagai ‘nahi mungkar’.

Kedua-dua kaedah ini sebenarnya tidak boleh dipisahkan antara satu sama lain apatah lagi dalam keadaan negara mengambil Islam di dalam ruang yang begitu terhad dan berpilih saja. Amar makruf dan nahi mungkar sebenarnya saling melengkapi antara satu sama lain.
Dalam Islam, penguatkuasaan agama terletak dalam wilayah al hisbah. Mereka mempunyai hak dan tanggungjawab tersendiri. Jika kita meneliti kaedah hukum syarak, tidak timbul andaian suatu hari nanti mungkin ada undang-undang Islam yang membenarkan pegawai penguat kuasa masuk ke rumah dan periksa sama ada seseorang itu solat lima kali sehari atau tidak? Andaian ini adalah melampau dan meleset serta tidak diasaskan kepada kaedah fekah dan syariah Islam sebenar kerana Khalifah Umar yang terkenal garang pun pernah ditegur kerana mengintip rakyatnya melakukan kesalahan.
Selagi seseorang itu beragama Islam maka ia berada dalam suatu sistem yang lengkap. Islam tidak sekadar rutin ritual harian, tetapi suatu cara hidup yang merangkumi semua aspek kehidupan termasuk kawalan moral ataupun akhlak Islamiah.

Berbalik kepada gejala pembuangan bayi ini, sudah pasti jawapan bagi menangani gejala ini ialah berbalik kepada al-Quran dan al-Sunnah dengan memakai undang-undang yang digariskan Islam. Menjauhi zina adalah kewajipan setiap umat Islam. Memastikan zina tidak berlaku pula tanggungjawab masyarakat.
Orang yang melakukan zina adalah orang yang dangkal ilmunya. Keimanannya tipis. Zina akan membawa kepada pelbagai masalah sosial di kalangan masyarakat serta memusnahkan susun atur sosiobudaya masyarakat. Apatah lagi masyarakat Timur yang dibina atas dasar keimanan dan ketakwaan. Undang-undang tanpa kesedaran juga mungkin tidak dapat membendung perzinaan. Anda bertindak bijak dengan menjauhi zina!

oleh:Zainul Rijal Abu Bakar-Penulis adalah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia

Tiada ulasan:

NOTA buat da'ei. Apabila kita sendiri diuji dengan apa yang sering kita dakwahkan, itu petanda Allah sedang mendidik kita agar melaksanakan apa yang kita perkatakan. Bersyukurlah kerana Allah masih sudi mengingati kita dalam usaha kita mengingatkan manusia. -khas buat diri yang faqir ini-