Salam Ukhuwwah dan salam kasih sayang..
ana tertarik untuk berkongsi artikel yang dikeluarkan oleh akhbar Berita Harian pada hari ini di ruangan Pendidika-Bicara Canseleri yang mengetengahkan tentang kepentingan mahsiswa/i menjadi serba boleh semasa dalam proses menuntut ilmu di menara gading.Di IPT bukan hanya terdapat dewan kuliah,Cafe dan juga Kolej(Penginapan) sahaja,bahkan lebih dari itu.Moga ada sedikit manfaat disini...
PELAJAR Unitar membantu beberapa kanak-kanak daripada Persatuan Sindrom Down Malaysia menyiapkan lukisan tampalan sempena program kemasyarakatan di Pusat Penyelidikan Perhutanan Malaysia, baru-baru ini.
Pelajar IPT perlu sertai kegiatan kemasyarakatan bagi membentuk jati diri pemimpin masa depan
MASA di kampus bukan hanya digunakan sepenuhnya dengan menelaah pelajaran semata-mata, kerana masa berharga itu boleh dibahagikan sebaik mungkin dengan menyertai kegiatan kemasyarakatan. Ikuti pandangan Presiden dan Naib Canselor Universiti Tun Abdul Razak, Prof Datuk Dr Md Zabid Abdul Rashid kepada wartawan pendidikan Norliza Abdullah
SETIAP individu yang mengikuti pengajian di universiti perlu memasang niat bahawa kehadiran mereka di kampus bukan sekadar belajar dan mencatat kejayaan cemerlang sebagai batu loncatan menjawat jawatan penting dalam sesebuah organisasi.
Malah masing-masing perlu memikirkan sumbangan yang perlu diberikan kepada masyarakat dengan menyertai aktiviti kebajikan.
Tempoh pengajian di universiti boleh digunakan sepenuhnya bukan hanya menelaah pelajaran sebaliknya di sinilah tempat memupuk semangat prihatin kepada masyarakat terutama di kalangan mereka yang begitu memerlukan.
Proses pembelajaran tidak terhad ketika di dalam dewan kuliah semata-mata kerana kegiatan kemasyarakatan juga membentuk jati diri di kalangan pelajar yang juga bakal pemimpin negara.
Kesibukan masa menyiapkan tugasan bukanlah kekangan hinggakan mereka tidak ada masa bersama masyarakat. Dikategorikan sebagai golongan berpendidikan, wajar bagi mereka berkongsi pengetahuan dan kemahiran untuk dimanfaatkan bersama.
Tugas pensyarah yang juga pendidik pula lebih menyeluruh kerana selain mendidik mereka bertanggungjawab menerapkan nilai murni dalam diri pelajar bagi memastikan ilmu yang diperoleh seimbang.
Menyertai kegiatan masyarakat juga mampu membentuk semangat serta jati diri tinggi di kalangan anak muda. Bermula dengan kegiatan sedemikian mereka dapat membahagikan masa dengan sebaik mungkin, selain melengkapkan tanggungjawab hakiki iaitu menyiapkan tugasan kursus.
Pelajar tidak boleh dikecualikan daripada menyertai kegiatan kemasyarakatan. Organisasi kampus itu sendiri adalah sebahagian daripada ahli masyarakat dan mereka menjadi pelengkap antara satu sama lain.
Selepas menamatkan pengajian pelajar ini akan menjadi sebahagian daripada ahli masyarakat. Sebagai persediaan awal, wajar bagi pelajar membiasakan diri dengan kegiatan kemasyarakatan yang pastinya memberi lebih banyak kebaikan.
Kampus bukan hanya tempat menimba ilmu dan mempertingkatkan pengetahuan akademik semata-mata kerana fungsinya lebih menyeluruh termasuk membentuk nilai murni dalam diri seseorang, selain melatih menjadi insan serba boleh dalam memimpin generasi akan datang.
Mengulas permasalahan ini, pihak pengurusan universiti perlu menggalakkan pelajarnya supaya meluangkan masa dengan mengikuti program kebajikan bagi membentuk semangat jati diri tinggi.
Walaupun usaha memupuk sifat berkenaan dianggap remeh oleh sesetengah pihak, namun unsur itu mewujudkan perpaduan di kalangan masyarakat berbilang kaum dan keturunan.
Jangan beranggapan kerja kebajikan hanya membabitkan golongan tertentu antaranya, suri rumah sepenuh masa mahupun aktivis masyarakat.
Sebaliknya sebagai pelajar mereka juga ejen perubahan kepada masyarakat dengan menyalurkan maklumat untuk dimanfaatkan bersama. Sebagai contoh dalam usaha menerapkan semangat cintakan alam sekitar, isu global ini perlu ditangani semua pihak.
Sokongan pelajar sama ada di peringkat kampus mahupun fakulti akan memberi manfaat kepada masyarakat mengenai pentingnya penjagaan alam sekitar dan kelestariannya terpelihara untuk diwarisi generasi akan datang.
Pelajar juga perlu lebih bijak menganggotai pertubuhan masyarakat, sekali gus memberi peluang mereka memupuk kemahiran memimpin, selain menyediakan peluang meningkatkan kemahiran berkomunikasi secara berkesan.
Di luar sana banyak pertubuhan bukan kerajaan yang membuka luas pintunya untuk disertai pelajar antaranya, Persatuan Pencinta Alam yang begitu mengharapkan generasi muda terutama warga kampus menyertainya.
Baru-baru ini pihak pengurusan Unitar menganjurkan program kemasyarakatan bertema kami prihatin. Program berlangsung di Pusat Penyelidikan Perhutanan Malaysia, di Kepong. Apa yang menariknya, kegiatan itu turut membawa sekumpulan kanak-kanak daripada Persatuan Sindrom Down Malaysia.
Kesediaan pihak pengurusan kampus dalam mengendalikan program kemasyarakatan begitu diharapkan. Pelajar memerlukan sokongan supaya segala urusan mereka berjalan lancar. Kerjasama semua pihak penting kerana masing-masing mempunyai tanggungjawab bagi memastikan tujuan yang baik dapat dilaksanakan sebaik mungkin.
Keprihatinan warga kampus berjaya menyuntik semangat golongan istimewa ini untuk lebih yakin meneruskan hidup dan berhadapan dengan masyarakat normal. Malah mereka juga merasa dihargai dan turut dibawa bersama dalam program penjagaan alam sekitar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan