28 Julai 2008

KEMBARA SEPANJANG MEI DAN JUN

“ Statiknya air akan merosakkannya, statiknya pemuda (dengan banyaknya masa lapang dia)akan membunuh dirinya…”

Pepatah Arab yang ana petik dari buku Saiful Islam…’Aku Terima Nikahnya’ cukup memberi kesan. Selautan syukur ana panjatkan pada Yang Esa, Allah izinkan ana mengisi masa cuti ini dengan pelbagai program yang mendidik jiwa… menguatkan fizikal dan emosi. Alhamdulillah…pengalaman yang ana kutip hari ini, ana pasti cukup berguna untuk ana realisasikan impian ana suatu hari nanti…insyaAllah.

Ana nukilkan perjalanan pergembaraan ana sepanjang Mei dan Jun ini. Satu pengalaman yang cukup berharga ingin ana kongsikan dengan semua. Moga Allah menjauhkan ana dari segala sifat mazmumah dari perkongsian ini.

10-15 MEI 2008
Usai exam 5 Mei, tak mengizinkan ana untuk terus pulang ke kampong. Program pertama yang begitu menduga. Cukup mencabar, bukan ana selayaknya disitu. Program mendidik jiwa ini membawa ana ke Klang, Selangor. Tugas fasilitator yang ana galas cukup berat ana rasa. Alhamdulillah, Allah beri ana dan sahabat2 kekuatan untuk melancarkan program.




16-18 MEI 2008
Pagi 16 Mei ana dan rakan2 berkumpul di ‘bus stop’ belakang library. InsyaAllah, hari ni ana dan rakan2 akan bertolak ke Port Dickson untuk Kursus Pengurusan HEP&A kepada semua Pimpinan Persatuan Badan Pelajar yang Berdaftar dibawah HEP&A. Pastinya ana mewakili PERMADAH, termasuk Amin, Dalila dan Shidah. 3hari 2malam cukup memberi pengalaman dan ilmu baru untuk meneruskan sesi depan dengan baik. Dapat kawan-kawan baru, pelbagai bangsa dan gelagat. Idea dan pendapat baru banyak yang ana dapat. Ana rasa cukup teruja bila bersama-sama dengan individu-individu yang memang berminat dalam berpersatuan. Tambah pula dengan penglibatan bersemangat pegawai-pegawai HEP&A, cukup teruja! Usai prog, terus pulang ke rawang untuk pulang ke kampong. Lama benar rasanya tak balik…

23 & 24 MEI 2008
Program seterusnya, bersama rakan dari pelbagai IPT… pertemuan dengan rakan-rakan yang agak lama terpisah cukup menggembirakan. pelbagai perkongsian yang ana dapat, dan banyak maklumat baru yang anak dapat hasil perkongsian ana dengan rakan-rakan dari tempat lain. Pengisian yang cukup padat amat memberi kesan yang baik.


25-29 MEI 2008
Jam 6.45 pagi ana keluar dari rumah untuk ke Shahab Perdana, ana kena sampai ke Butterworth sebelum jam 9.30 pagi. Hari ni bermula program ana di Maktab Melayu Kuala Kangsar(MCKK). Bersama Dalila, Alhmdulillah, selamat sampai ke Kuala Kangsar. Ana tak pasti sebenarnya program ini ‘under’ sape dan untuk sape. Main datang je bila Afufuddin ‘offer’. Lepas tu baru la tau, program ‘under’ Dr. Shukri Abdullah, pakar motivasi, untuk anak-anak kakitangan Tenaga Nasional Berhad(TNB). Alhamdulillah, satu pengalaman baru yang amat berharga. Cukup membantu ana.


12-13 JUNE 2008

Program pertama Persatuan Mahasiswa Kedah yang ana dapat ikut. Program bertempat di Sek. Men. Kebangsaan Jeneri sudah menjadi program wajib untuk Kelab Fasi PERMADAH. Alhamdulillah, selamat sampai ke rumah Rodhiyah untuk sesi taklimat penuh program. Program yang berlangsung selama 3hari 2malam amat memberi faedah. Asalnya ana diamanahkan untuk menjadi pengerusi forum, tapi bila Nazri ‘offer’ diri nak replace, an asker la sangat. Bukan pa, tengok panel2 bukan main lagi. Ketaqqq chek…! Tapi tetap tak terlepas, malam muhasabah ana diminta untuk conduct sesi muhasabah. Lagi berat dari jadi pengerusi forum..huhuhu…. tapi ana try jer… punya la takut, buat macam2 benda nak hilangkan takut. Tapi alhamdulillah, sumernyer ok walaupun ana tak puas hati sangat dengan apa yang ana wat. Tak pe, mula2 cam tue la kan…
Alhamdulillah, lepas jer habis program hari sabtu, sempat buat meeting PERMADAH. Agak susah nak kumpul time cuti cam nie, coz masing-masing da hal masing2. da juga resolusi yang nak.


24-25 JUNE 2008

Sejak melanjutkan pelajaran ana telah ketinggalan dalam acara penting tahunan sekolah. Ihtifal Sekolah. Alhamdulillah, tahun ini Allah beri ana dan rakan-rakan kesempatan untk sama-sama menyumbang sedikit tenaga dan sama-sama memeriahkan majlis sambutan ihtifal sekolah. Agak meriah namun ana rasa sambutan Ihtifal pada zaman kegemilangan ana dan rakan2 masih segar dalam ingatan. Satu acara yang berupaya menghimpunkan sahabat-sahabat lama. Biasa la bila dah jumpa kawan2 lama meriahnya semacam ja…tak peduli dah orang kat kiri kanan.hehehehe…program 2hari 2malam agak meriah dengan aktiviti dari guru dan jugak pelajar… suasana mesra antara guru dan pelajar masih seperti dulu….Alhamdulillah…




26-28 JUNE 2008

Akhirnya hari yang dinanti tiba juga. Sejak balik bercuti, baru serius mula terlibat dengan gerak kerja untuk program daripada persatuan bekas pelajar untuk adik-adik di sekolah lama. Pertemuan pertama di kolej kediaman ke-Lapan,Universiti Malaya sedikit sebanyak memberi view awal tentang perjalanan program yang bakal dijalankan. Kali nie azaharah bertanggungjawab sebagai pengarah. Alhamdulillah, ada pelapis yang ada idea serta kesungguhan untuk menganjurkan program di sekolah. Pelbagai kesukaran yang ditempuhi membuatkan semangat untuk mengadakan program kian berkobar-kobar. Alhamdulillah, akhirnya semuanya selamat dijalankan. Pengisian 3hari 2malam sangat padat dan banyak juga benda yang hendak diberikan terpaksa disimpan dahulu kerana kekangan masa. Walaupun program sebegini merupakan program wajib setiap tahun, namun program kali ini amat berbeza. Dengan pendekatan yang agak berbeza dan penglibatan bekas pelajar yang agak ramai cukup meninggalkan kesan yang luar biasa. Pengisian yang sangat padat dicampur dengan karenah kawan2 yang dah lama tak jumpa…waduhhhhhhhh…..gamat!!!!!
Sejarah berulang, tapi kali nie dapat tggu sampai post mortem….maksudnya tahun lepas tak sempat tunggu program abes betol2…kena g perlis.sayang sangat2. tahun ni pon sama. Kena p perlis jugak. Tapi bila balik sampai rumah ja, mak cakap tak payah p dulu. Pegi la sekolah semula.. kemas apa yang patut. Program paling best tahun nie!!!
Harap2nya tahun depan lebih ramai penglibatan rakan2, adik2 dan kakak2 dari persatuan bekas pelajar. Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat belajar….hehehehe. Sireh Pulang Ke Gagang…

Pengalaman yang serba sedikit nie ana kongsikan bukan atas apa-apa niat. Ana cukup bersyukur diberi kesempatan untuk melalui semua ini. Masa yang sedikit ini moga dapat memberi manfaat yang banyak kepada sesiapa sahaja.

Wallahua’lam

14 Julai 2008

INDAHNYA BERBAIK SANGKA

Hubungan yang baik antara satu dengan yang lain dan khususnya antara muslim merupakan sesuatu yang harus dijalin dengan sebaik-baiknya. Ini kerana Allah telah menggariskan bahawa mukmin itu bersaudara. Segala bentuk sikap dan sifat yang akan memperkukuh dan memantapkan persaudaraan harus ditumbuhkan dan dipelihara, sedangkan segala bentuk sikap dan sifat yang dapat merosak ukhwah harus ditinggalkan. Dengan itu, agar hubungan ukhuwah islamiyah tetap terjalin dengan baik. Salah satu sifat positif yang harus dipenuhi adalah ‘husnuzh zhan’ (berbaik sangka).
Oleh itu, apabila kita didatangi oleh sesuatu informasi negative yang berkait rapat tentang hal peribadi seseorang, terutamanya mereka itu adalah saudara seIslam, maka kita hendaklah melakukan ‘tabayyun’ (penyelidikan) terlebih dahulu sebelum mempercayainya, jauh sekali memberi tindakbalas secara spontan, Allah berfirman yang ertinya:
“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah(untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu(mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.” (Q.S Al-Hujuraat : 6)

Manfaat Berbaik Sangka

Ada banyak nilai dan manfaat yang diperolehi seseorang itu apabila mengamalkan dan memiliki sifat ‘Husnuzh zhan’ ini.
Pertama, hubungan persahabatan san persaudaraan menjadi lebih baik. Berbaik sangka dalam hubungan sesama muslim akan dapat menghindarkan terjadinya keretakan di dalam sebuah perhubungan. Bahkan keharmonian dalam hubungan akan semakin terasa kerana tidak ada sebarang halangan psikologis yang menghambat hubungan itu.
Kedua, terhindar dari penyesalan dalam suatu perhubungan . Berburuk sangka akan membuatkan seseorang itu cenderung untuk menimpakan keburukan kepada orang lain tanpa bukti yang benar. Hal ini dapat dilihat dengan jelas melalui firman Allah sebagaimana yang disebutkan di atas.
Ketiga, akan turut merasa kebahagiaan walaupun di atas kejayaan atau kemajuan yang dicapai oleh orang lain. Perasaan kebahagiaan ini dikongsi bersama meskipun kita sendiri belum mencapai kemajuan sepertinya. Perkara ini memiliki erti yang sangat penting. Ini kerana dengannya jiwa kita akan menjadi tenang dan terhindar dari iri hati, yang boleh menjurus kepada dosa besar. Ini bererti kebaikan dan kejujuran akan membawa kita kepada kebaikan dan seterusnya. Manakala dosa atau keburukan yang kita lakukan akan membawa kepada kemusnahan dan dosa yang lebih besar lagi.

Ruginya Berburuk Sangka

Apabila kita melakukan atau memiliki sifat buruk sangka, aka nada sejumlah kerugian yang akan kita perolehi, baik dalam kehidupan di dunia mahupun di akhirat kelak.
Pertama, mendapat dosa. Berburuk sangka merupakan perbuatan yang amat jelas rendah nilainya. Di samping kita menganggap orang lain tidak baik, tanpa dasar yang jelas, bahkan tidak berusaha untuk menyelidiki perkara tersebut, akibatnya perbuatan ini akan membawa kita untuk melakukan mengungkapkan segala sesuatu yang buruk terhadap mangsa kita tadi. Pastinya perbuatan ini amat buruk sekali dan menjadi tegahan di dalam Islam. Allah berfirman yang ertinya:
“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan(supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati?(jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.” (Q.S Al-Hujuraat : 12)
Kedua, dusta yang besar. Berburuk sangka akan membuat kita menjadi rugi, kerana apa yang kita kemukakan merupakan suatu dusta yang amat besar, perkara ini dijelaskan melalui sabda Rasulullah:
“Jauhilah prasangka, sebab prasangka itu adalah perbicaraan yang paling dusta.” (HR. Muttafaqun alaih)
Ketiga, menimbulkan sifat atau tabiat buruk. Berburuk sangka terhadap orang lain tidak hanya membawa akibat kepada penilaian dosa dan dusta semata-mata. Tetapi ia juga akan mengakibatkan munculnya sifat-sifat buruk yang lain, yang sangat berbahaya, baik dalam perkembangan peribadi mahupun hubungannya sesame manusia. Sifat-sifat itu antara lainnya ialah ghibah, kebencian, hasad, dengki, menjauhi hubungan dengan orang lain dan sebagainya. Terdapat hadis yang meriwayatkan bahawa Rasulullah pernah bersabda :-
“Hendaklah kamu selalu benar. Sesungghnya kebenaran membawa kepada kebajikan dan kebajikan membawa ke syurga. Selama seseorang itu benar dan selalu memilih kebenaran dia tercatat disisi Allah seorang yang benar(jujur). Berhati-hatilah terhadap dusta, sesungguhnya dusta membawa kepada kejahatan dan kejahatan membawa kepada neraka. Selama seseorang itu dusta dan selalu memilih dusta dia tercatat disisi Allah sebagai seorang pendusta.” (HR. Bukhari)

Larangan Berburuk Sangka

Berburuk sangka merupakan perbuatan yang hina dan sangat tercela. Perbuatan ini sangat dilarang di dalam Islam sebagaimana yang disebutkan dalam surah Al-Hujuraat Ayat 12 di atas. Untuk menjauhi perasaan berburuk sangka , maka kita harus menyedari betapa hal ini sangat tidak baik dan tidak benar dalam hubungan persaudaraan, apatah lagi dengan sesama muslim dan aktiviti berdakwah.
Apabila timbulnya benih buruk sangka di dalam hati kita, maka seharusnya perkara ini segera dicegah dan dijauhi. Perbuatan berburuk sangka adalah perbuatan yang datang dari godaan syaitan yang bermaksud buruk terhadap kita. Namun, apa yang lebih penting lagi ialah memperkukuhkan jalinan persaudaraan sesama muslim. Apa yang patut dan seharusnya kita kembangkan adalah berbaik sangka, bukannya berburuk sangka.
Oleh kerana itu, Khalifah Umar Al Khattab pernah menyatakan:
“ Janganlah kamu menyangka dengan satu kata pun yang keluar dari seorang saudaramu yang mukmin kecuali dengan kebaikan yang engkau dapatkan bahawa kata-kata itu mengandungi kebaikan. Demikian perkara-perkara dasar yang harus mendapat perhatian kita dalam kaitan dengan sikap husnuzh zhan (berbaik sangka).”
“Ya Allah, bukakanlah dan limpahkanlah ke atas kami nikmatMu dan limpahilah ke atas kami khazanah rahmatMu, Wahai Tuhan Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Wahai Tuhanku, tambahkanlah ilmuku dan luaskanlah kefahamanku. Wahai Tuhanku, lapangkanlah dadaku dan mudahkanlah urusanku.”
“Seandainya engkau menyampaikan keburukan saudaramu, jika itu benar, maka bererti kamu sudah membuka aib saudaramu, dan jika itu salah, maka engkau sudah melakukan fitnah.”

13 Julai 2008

Rejab Kembali Lagi...



Salam Rejab untuk semua. MOga Allah memberi keberkatan kepada kita sepanjang bulan Rejab dan Sya'ban... moga Allah memberi kesempatan juga kepada kita untuk berada di bulan yang amat dirindui...Ramadhan.ameeen...
Salam Kasih Sayang untuk semua...

21 Mei 2008




Coretan tentang hari ibu ini ana tulis pada hari ibu yang lalu, namun tak berkesempatan nak post sebab kena ‘bertapa’ selama seminggu lebih di dalam hutan. Bermula 10-18 Mei 2008 ana kena berada di dua tempat untuk 2 program berbeza. di kampung pulak terlibat dengan program kat sini...so, di penghujung Mei baru ana sempat post...Dari kampung tercinta ana kirimkan nukilan sempena hari ibu biarpun telah pun melewati hari guru....SELAMAT HARI GURU UNTUK SEMUA GURU-GURU ANA DI Sek Keb Panglima Awang dan Sek. Men. Agama Al-Khairiah...

IBU, INSAN TERISTIMEWA

Selamat hari ibu ku ucapkan buat ibu tersayang, jauh nun di utara tanah air… juga kepada semua wanita yang bergelar ibu, bonda,ummi, mak, mama, mummy atau apa lagi nama yang dipanggil. Yang pastinya ia hanya merujuk kepada seorang insan yang berkorban jiwa dan raga dalam membesarkan anak-anak. Bermula dari alam rahim hingga anak itu kembali kepada Allah, jasa dan pengorbanan ibu tiada tepinya.
Hari ibu kali ini aku tak dapat bersama ibu atas tuntutan tugas yang belum selesai. Niat di hati ingin pulang sekejap sebelum datang semula untuk kursus pada minggu depan, tapi abang cakap tunggu je la kat sini, buat apa nak membazir, ana turut saja…walau hati kuat membentak…kali terakhir ana balik, untuk membuang undi pada pilihanraya umum yang lalu. Betapa ana amat rindukan mak dan ayah. Hati ana pasti sebak apabila ingat akan keduanya… ana sempat menelefon emak pagi hari ibu yang lalu di tempat program, sekadar ucapan mampu ana kirimkan. Mak sempat pesan, “tak payah la nak beli hadiah apa-apa kat mak, cukup la doa anak-anak mak untuk hari ibu nie”. Letak saje telefon, laju airmata ana mengalir, ana terlalu rindukan mak. “Ya Allah, beri aku kesempatan untuk bertemu dengan ibu dan ayahku, agar dapat ku cium tangan mereka. Agar dapat kutatap lagu wajah suci mereka….”
Hari ibu dirai saban tahun. Ana melihatnya sebagai satu perkara yang amat positif. Mungkin pada hari ibu ini anak –anak yang sering sibuk akan meluangkan masa untuk meraikannya. Mungkin juga pada hari ibu ini, anak-anak yang kadangkala ada krisis dengan ibu masing-masing, hubungan kembali jernih. Ana kagum dengan rakan-rakan ana, ana sering mendengar perbualan telefon antara rakan-rakan ana dengan ibu masing-masing tanpa sengaja. Perbualan mesra yang memakan masa hampir 10 minit setiap kali bercakap, kadang-kadang ana senyum sendiri. Usik mengusik dan ucapan rindu dari anak yg jauh dari ibu membuat ana sebak sesekali. Ramai rakan-rakan ana di akhir perbualan mengatakan I love you siap dengan ciuman di angin lalu. Ana tersenyum lagi. Ana ingat bila mana ana berborak dengan emak di telefon, susah nak berenti. Macam-macam mak cerita…hal keluarga, jiran-jiran, sekolah anak sedara, hal adik yg tak selesai selagi tak ‘terbang’(moga Allah permudahkan),tak lupa hal politik(makin galak emak cerita lepas PRU yg lepas…hehehe)… emak…emak…
Namun begitu tetap ada kes yang menampakkan kebiadapan terhadap ibu sendiri. Ana teringat lecturer ana pernah menceritakan seorang pelajar beliau sanggup berpura-pura tidak kenal ibu yang datang dari kampong hanya kerana pakaian yang dipakai buruk dan malu dengan kawan-kawannya. Anak jenis apakah ini. Ada juga dikalangan pelajar dan remaja sekarang yang lebih rela menghabiskan cuti bersama rakan-rakan daripada pulang ke kampong bertemu ibu dan ayah. Teman-teman, syukurilah apa yang ada dengan kalian, hargailah mereka selagi mana Allah beri mereka umur untuk bersama kita. Betapa ramai kita lihat anak-anak yang terbiar tanpa ibu, alangkah baiknya jika ibu yang kita sia-siakan itu menjadi ibu mereka.
Ana pasti semua teman-teman ana menyayangi ibu masing-masing. Bagi yang masih mempunyai ibu, belum telefon bertanya khabar, elok segerakan. Kita tak tau jika kita melengah-lengahkan ucapkan kata saying kita pada ibu hari ini, apa mungkin kita aka nada lagi peluang itu esok. Buat teman-teman yang telah kehilangan ibu, jangan bersedih..sedekahkan doa buat ibu kalian. Mereka sedang tersenyum memandang kalian meneruskan kehidupan di dunia sementara ini.
Buat kesekian kalinya, “SELAMAT MENYAMBUT HARI IBU BUAT SEMUA YANG BERGELAR IBU”
Wallahua’lam.

09 Mei 2008


TANGGUNGJAWAB MELEBIHI MASA YANG ADA…

Salam ukhwah Fillah dan salam kasih sayang untuk semua. Hati ana terpanggil untuk berkongsi dengan kalian kata-kata yang pernah diungkapkan oleh Assyahid Al- Imam Hassan Al-Banna…“…kewajipan yang perlu kamu lakukan lebih banyak daripada masa yang kamu ada...” Kata-kata ini amatlah familiar dengan petugas-petugas Islam. Di saat rakan-rakan lain mengucapkan..” relaks la, muda sekali jer, enjoy la dulu…”, petugas-petugas Islam merasakan andainya waktu yang dibazirkan oleh rakan-rakan mereka mampu diberikan kepada mereka lantaran ketidakcukupan masa dalam menjalankan kerja-kerja fardhul muslim dalam masa yang sama hak terhadap diri dan keluarga perlu ditunaikan. Ana pasti masih ramai wujud golongan-golongan petugas Islam yang komited yang berfikiran seperti ini. Dalam masa yang sama, ana menyoal diri, cukup komitedkah ana? Ana rasa tidak, masih banyak masa ana berbaki ana isi dengan kerehatan yang melampau. Astaghfirullah…

Ana kagum dan berbangga dengan para du’at yang berada di sekeliling ana. Begitu bersungguh menyampaikan Islam dengan pelbagai cara. Ada yang berliqo’, ada yang bersama mad’u di alam maya, riadhah bersama, makan-makan…cukup kreatif. Kadang ana muhasabah semula, bagaimana hubungan ana dengan mad’u ana. Cukupkah apa yang ana buat untuk merasai kehidupan Islam sebagaimana ana dan sahabat-sahabat lain rasa. Beberapa minggu yang lepas, ana telah menjalankan sesi kaunseling(latihan) dengan ana usrah ana, ana belum cukup mengenalinya, jadi ana jadikan sesi ini sebagai satu platform untuk ana kenal dan bantu adik ana ini. Di akhir sesi sebelum berpisah, ana cukup tersentuh bila mana adik ana menyatakan yang ana telah membiarkannya tanpa membuat liqo’ seperti awal semester dulu. Allahuakbar…ana rasa amat bersalah. Ana terlalu sibuk dengan hambatan tugas sampai ana lupa sebenarnya ana punya mad’u yang menanti-nanti ana untuk bersama mereka. Terlunaskah semua tanggungjawab ana hingga tiada masa bersama adik-adik ana? Tak juga…Astaghfirullahal’azim…
"Dan hendaklah ada di antara kalian segolongan umat yang menyeru kepada
kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf, dan mencegab dari yang mungkar;
merekalab orang-orangyang beruntung." (Ali Imran: 104)

Ayat ini ana kira ramai antara kita telah melaziminya. Firman Allah ini jugalah yang menjadikan sahabat-sahabat ana begitu hebat berpencak di lapangan dakwah. Ana kadang hilang cara dan hilang idea bagaimana ana mampu teruskan tanggungjawab ana. Alhamdulillah, Allah anugerahkan ana sahabat-sahabat yang begitu kuat mendokong ana untuk beristiqamah dalam melakukan kerja-kerja Islam. Lalu ana sematkan di hati…”selagi mana ana masih ada masa untuk melakukan sesuatu yang memberi faedah kepada diri ana dan orang lain, kenapa ana perlu membataskan pergerakan ana, ibu bapa sudah memberikan redha, apa lagi alasan ana, ana tak pasti adakah esok ana akan dapat peluang yang sama macam ana dapat pada hari ini….”. Namun muncul juga persoalan, apakah tanggungjawab ana terlangsai dengan masa yang ana ada…? Tak juga…

Ana cuba menyingkap tulisan karya Syaikh Abbas Hasan As-Siisi, seorang tokoh da'i yang mempunyai banyak pengetahuan dan pengalaman tentang rahsia hati. Buku beliau yang bertajuk “Bagaimana menyentuh Hati” ana cuba selami penulisannya, begitu banyak panduan dan pedoman yang ana perolehi untuk memikat objek dakwah, Cuma harapan ana, ana mampu mempraktikkanya.
Firman Allah yang bermaksud:
"Maka disebabkan rahmat dan Allah-lah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka.
Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari
sekelilingmu
." (Al-Imran: 159)

Syaikh Abbas Hasan As-Siisi dengan jelas mengingatkan kepada para du’at supaya berhati lembut kerana hanya hati yang sebegini dapat menyentuh hati-hati orang yang ingin kita dekati. Tulisan beliau ada menyebut ,”Para da'i itu juga harus memiliki kemampuan untuk membangkitkan "indra ketuhanan" demi menarik simpati hati, menyatukan jiwa, dan berinteraksi dengan gerakan dakwah beserta medannya yang membentang luas. Ini semua dapat terwujud dengan ajakan dan seruan yang baik, cara yang baik, metode dialog, dan argumtasi yang lebih baik, serta keteladanan yang "tanpa cela". Ana menyarankan teman membaca tulisan beliau ini, terlalu banyak mutiara hikmah didalamnya untuk para da’ie.

Persoalan awal mengenai tanggungjawab dan masa ana ungkap kembali…sekadar muhasabah untuk diri sendiri. Kerana ana merasakan masa ana terlalu banyak lapang dari terisi. Adakah cukup sekadar bermesyuarat, bergerak kerja selama ini untuk menyumbang kepada kesinambungan perjuangan Islam di kampus tercinta ini. Ana teringat hadis Nabi Sallallahu’alaihiwasalam yang bermaksud, "Dua nikmat yang ramai orang yang tertipu di dalamnya iaitu kesihatan dan kelapangan waktu." Riwayat Bukhari. Juga hadis seterusnya yang mengingatkan tentang dua nikmat terbesar ini, "Sesungguhnya di antara nikmat yang pertama kali ditanyakan kepada hamba pada hari kiamat ialah dengan mengatakan kepadanya, "Bukankah Kami membuat badanmu sihat dan Kami menjirus dengan air yang dingin?" Riwayat Tirmizi, Ibn Hibban dan Hakim.

Sihat dan kelapangan waktu adalah nikmat yang besar. Bila tidak sihat iaitu sakit, barulah manusia akan terasa betapa besarnya nilai sihat. Apabila manusia tidak sedar nikmat sihat, maka banyak orang tidak mengingat Allah,tidak takut pada Allah bila mereka sihat. Dan sebaliknya mereka melakukan maksiat kerana mereka sihat. Inilah yang dikatakan orang yang telah kufur nikmat iaitu orang yang telah mempergunakan nikmat Allah untuk kembali menentang Allah.
Satu lagi nikmat ialah kelapangan. Banyak orang tidak sedar mengenainya. Bila lapang, sihat, rezeki melimpah,harta telah mencukupi, banyak kemudahan ada, mereka lupa pada Allah. Mereka gunakan kelapangan ini untuk kepentingan diri mereka sahaja, tidur, keluar bersuka-suka, melancong ke tempat maksiat, melengung di kedai kopi, bersembang-sembang dan sebagainya. Sedangkan masa lapang yang Allah bagi hendaklah diguna untuk mengingati Allah, bekerja ke jalan Allah, melakukan kerja kebajikan masyarakat dan sebagainya. Bila waktu sibuk datang semula kepada mereka, mereka akan terus melupakan tuhan! Apa tidaknya, jika masa lapang pun mereka tidak mengingat Allah, apalagi bila sibuk, khususnya sibuk mengejar dunia.
Ana tinggalkan coretan kali ini untuk kita sama-sama bermuhasabah. Apakah sudah cukup kerja-kerja yang kita lakukan yang melunaskan tanggungjawab kita kepada Allah, Agama, ibubapa, masyarakat, dan diri sendiri. Doakan kita semua istiqamah dalam menjalankan tanggungjawab yang tidak akan pernah selesai selagi mana kita bernafas. Selamat bercuti untuk semua, dan jadikan cuti kali ini sebagai medan yang paling luas untuk kita meng’cover’ semula tanggungjawab yang perlu kita lakukan. Kerana masa yang kita dapat hari ini kita takkan dapat lagi pada hari esok…
Moga Allah jauhkan ana daripada menjadi sebahagian golongan yang hanya pandai berkata-kata tapi tak pernah membuat apa yang dikatakan…ana cukup terkesan dengan peringatan Allah dalam surah Assaff yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, kenapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan?(surah Assaff, ayat 2)

Wallahua’lam….
NOTA buat da'ei. Apabila kita sendiri diuji dengan apa yang sering kita dakwahkan, itu petanda Allah sedang mendidik kita agar melaksanakan apa yang kita perkatakan. Bersyukurlah kerana Allah masih sudi mengingati kita dalam usaha kita mengingatkan manusia. -khas buat diri yang faqir ini-