TANGGUNGJAWAB MELEBIHI MASA YANG ADA…
Salam ukhwah Fillah dan salam kasih sayang untuk semua. Hati ana terpanggil untuk berkongsi dengan kalian kata-kata yang pernah diungkapkan oleh Assyahid Al- Imam Hassan Al-Banna…“…kewajipan yang perlu kamu lakukan lebih banyak daripada masa yang kamu ada...” Kata-kata ini amatlah familiar dengan petugas-petugas Islam. Di saat rakan-rakan lain mengucapkan..” relaks la, muda sekali jer, enjoy la dulu…”, petugas-petugas Islam merasakan andainya waktu yang dibazirkan oleh rakan-rakan mereka mampu diberikan kepada mereka lantaran ketidakcukupan masa dalam menjalankan kerja-kerja fardhul muslim dalam masa yang sama hak terhadap diri dan keluarga perlu ditunaikan. Ana pasti masih ramai wujud golongan-golongan petugas Islam yang komited yang berfikiran seperti ini. Dalam masa yang sama, ana menyoal diri, cukup komitedkah ana? Ana rasa tidak, masih banyak masa ana berbaki ana isi dengan kerehatan yang melampau. Astaghfirullah…
Ana kagum dan berbangga dengan para du’at yang berada di sekeliling ana. Begitu bersungguh menyampaikan Islam dengan pelbagai cara. Ada yang berliqo’, ada yang bersama mad’u di alam maya, riadhah bersama, makan-makan…cukup kreatif. Kadang ana muhasabah semula, bagaimana hubungan ana dengan mad’u ana. Cukupkah apa yang ana buat untuk merasai kehidupan Islam sebagaimana ana dan sahabat-sahabat lain rasa. Beberapa minggu yang lepas, ana telah menjalankan sesi kaunseling(latihan) dengan ana usrah ana, ana belum cukup mengenalinya, jadi ana jadikan sesi ini sebagai satu platform untuk ana kenal dan bantu adik ana ini. Di akhir sesi sebelum berpisah, ana cukup tersentuh bila mana adik ana menyatakan yang ana telah membiarkannya tanpa membuat liqo’ seperti awal semester dulu. Allahuakbar…ana rasa amat bersalah. Ana terlalu sibuk dengan hambatan tugas sampai ana lupa sebenarnya ana punya mad’u yang menanti-nanti ana untuk bersama mereka. Terlunaskah semua tanggungjawab ana hingga tiada masa bersama adik-adik ana? Tak juga…Astaghfirullahal’azim…
"Dan hendaklah ada di antara kalian segolongan umat yang menyeru kepada
kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf, dan mencegab dari yang mungkar;
merekalab orang-orangyang beruntung." (Ali Imran: 104)
Ayat ini ana kira ramai antara kita telah melaziminya. Firman Allah ini jugalah yang menjadikan sahabat-sahabat ana begitu hebat berpencak di lapangan dakwah. Ana kadang hilang cara dan hilang idea bagaimana ana mampu teruskan tanggungjawab ana. Alhamdulillah, Allah anugerahkan ana sahabat-sahabat yang begitu kuat mendokong ana untuk beristiqamah dalam melakukan kerja-kerja Islam. Lalu ana sematkan di hati…”selagi mana ana masih ada masa untuk melakukan sesuatu yang memberi faedah kepada diri ana dan orang lain, kenapa ana perlu membataskan pergerakan ana, ibu bapa sudah memberikan redha, apa lagi alasan ana, ana tak pasti adakah esok ana akan dapat peluang yang sama macam ana dapat pada hari ini….”. Namun muncul juga persoalan, apakah tanggungjawab ana terlangsai dengan masa yang ana ada…? Tak juga…
Ana cuba menyingkap tulisan karya Syaikh Abbas Hasan As-Siisi, seorang tokoh da'i yang mempunyai banyak pengetahuan dan pengalaman tentang rahsia hati. Buku beliau yang bertajuk “Bagaimana menyentuh Hati” ana cuba selami penulisannya, begitu banyak panduan dan pedoman yang ana perolehi untuk memikat objek dakwah, Cuma harapan ana, ana mampu mempraktikkanya.
Firman Allah yang bermaksud:
"Maka disebabkan rahmat dan Allah-lah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka.
Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari
sekelilingmu." (Al-Imran: 159)
Syaikh Abbas Hasan As-Siisi dengan jelas mengingatkan kepada para du’at supaya berhati lembut kerana hanya hati yang sebegini dapat menyentuh hati-hati orang yang ingin kita dekati. Tulisan beliau ada menyebut ,”Para da'i itu juga harus memiliki kemampuan untuk membangkitkan "indra ketuhanan" demi menarik simpati hati, menyatukan jiwa, dan berinteraksi dengan gerakan dakwah beserta medannya yang membentang luas. Ini semua dapat terwujud dengan ajakan dan seruan yang baik, cara yang baik, metode dialog, dan argumtasi yang lebih baik, serta keteladanan yang "tanpa cela". Ana menyarankan teman membaca tulisan beliau ini, terlalu banyak mutiara hikmah didalamnya untuk para da’ie.
Persoalan awal mengenai tanggungjawab dan masa ana ungkap kembali…sekadar muhasabah untuk diri sendiri. Kerana ana merasakan masa ana terlalu banyak lapang dari terisi. Adakah cukup sekadar bermesyuarat, bergerak kerja selama ini untuk menyumbang kepada kesinambungan perjuangan Islam di kampus tercinta ini. Ana teringat hadis Nabi Sallallahu’alaihiwasalam yang bermaksud, "Dua nikmat yang ramai orang yang tertipu di dalamnya iaitu kesihatan dan kelapangan waktu." Riwayat Bukhari. Juga hadis seterusnya yang mengingatkan tentang dua nikmat terbesar ini, "Sesungguhnya di antara nikmat yang pertama kali ditanyakan kepada hamba pada hari kiamat ialah dengan mengatakan kepadanya, "Bukankah Kami membuat badanmu sihat dan Kami menjirus dengan air yang dingin?" Riwayat Tirmizi, Ibn Hibban dan Hakim.
Sihat dan kelapangan waktu adalah nikmat yang besar. Bila tidak sihat iaitu sakit, barulah manusia akan terasa betapa besarnya nilai sihat. Apabila manusia tidak sedar nikmat sihat, maka banyak orang tidak mengingat Allah,tidak takut pada Allah bila mereka sihat. Dan sebaliknya mereka melakukan maksiat kerana mereka sihat. Inilah yang dikatakan orang yang telah kufur nikmat iaitu orang yang telah mempergunakan nikmat Allah untuk kembali menentang Allah.
Satu lagi nikmat ialah kelapangan. Banyak orang tidak sedar mengenainya. Bila lapang, sihat, rezeki melimpah,harta telah mencukupi, banyak kemudahan ada, mereka lupa pada Allah. Mereka gunakan kelapangan ini untuk kepentingan diri mereka sahaja, tidur, keluar bersuka-suka, melancong ke tempat maksiat, melengung di kedai kopi, bersembang-sembang dan sebagainya. Sedangkan masa lapang yang Allah bagi hendaklah diguna untuk mengingati Allah, bekerja ke jalan Allah, melakukan kerja kebajikan masyarakat dan sebagainya. Bila waktu sibuk datang semula kepada mereka, mereka akan terus melupakan tuhan! Apa tidaknya, jika masa lapang pun mereka tidak mengingat Allah, apalagi bila sibuk, khususnya sibuk mengejar dunia.
Ana tinggalkan coretan kali ini untuk kita sama-sama bermuhasabah. Apakah sudah cukup kerja-kerja yang kita lakukan yang melunaskan tanggungjawab kita kepada Allah, Agama, ibubapa, masyarakat, dan diri sendiri. Doakan kita semua istiqamah dalam menjalankan tanggungjawab yang tidak akan pernah selesai selagi mana kita bernafas. Selamat bercuti untuk semua, dan jadikan cuti kali ini sebagai medan yang paling luas untuk kita meng’cover’ semula tanggungjawab yang perlu kita lakukan. Kerana masa yang kita dapat hari ini kita takkan dapat lagi pada hari esok…
Moga Allah jauhkan ana daripada menjadi sebahagian golongan yang hanya pandai berkata-kata tapi tak pernah membuat apa yang dikatakan…ana cukup terkesan dengan peringatan Allah dalam surah Assaff yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, kenapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan?(surah Assaff, ayat 2)
Wallahua’lam….
Tiada ulasan:
Catat Ulasan