19 Mei 2012

~MeMaHaMi uNTuK MeNDaPaT aPa YaNG Di iMPi~

           Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam ukhuwwah dan salam kasih sayang. Salam kebahagiaan dan salam keceriaan. InsyaAllah, moga hari ini kita menjadi lebih baik dari semalam. Mari berusaha semampunya mencari kebaikan, kerana Allah pasti membantu hamba-Nya yang sentiasa berhajatkan kepada kebenaran. Alhamdulillah, hari ini kita masih dapat menghirup udara segar, mendengar melodi indah ala mini, juga merasai nikmat kasih sayang antara satu sama lain. Paling kita syukuri kita masih dalam nikmat Iman dan Islam, nikmat terbesar untuk seorang hamba di dunia ini. Doa kita saban waktu moga Allah kekalkan kita,saudara,sahabat dan seluruhnya dalam nikmat ini hingga ke hujung nyawa. Juga jangan lupa menitipkan doa moga Allah memberi Taufik Hidayah pada saudara-saudara kita yang belum disapa nikmat Iman dan Islam ini.
          Alhamdulillah, hari ini Allah memberi kesempatan untuk ana ikuti siaran ulangan di Ikim.fm. Alhamdulillah, bermula daripada perkongsian saudara seakidah, Ustaz Ebit Irawan b. Ibrahim Lew yang pernah tersasar kemudian Allah anugerahkan hidayah kepadanya, sehingga kini terasa betapa beliau mensyukuri nikmat tersebut da berusaha menarik orang lain pula kepada Islam. Sesi usrah lepas sudah mendengar kisahnya dari Kak Mas, tapi bila dengar sendiri, Allahuakbar! Allah saja tahu perasaan itu. Dimana agaknya kita disisi-Nya.
         Apa yang ingin ana kupaskan pada entri kali ini adalah berkenaan slot kedua bersama Ustaz Pahrol Mohd. Joi. Seorang Murabbi yang kata-katanya amat menyentuh hati. Ustaz Pahrol seringkali menyentuh hati semua, dan tadi beliau membincangkan bagaimana mahu merasai bahagia dari dalam. Jika sebelum ini, beliau ada menerangkan mengenai pecahan bahagia iaitu, dari luar dan juga bahagia dari dalam. Hakikatnya hari ini, ramai manusia melihat kebahagiaan itu datang dari luar. Dengan itu, ramai mencari harta semahunya, mengejar kemewahan hingga lelah, berbelanja itu ini juga perkara-perkara material yang lain. Akhirnya, disedari apa yang dikejar makin menjauh, hati terasa sesak, dada bagai dihimpit, dan fikiran tidak pernah lapang. Lalu kita mendengar orang membunuh diri disana, putus persahabatan akibat hati yang sakit, keluarga berpecah belah entah kemana dan lain-lain lagi. Gagal mendapat bahagia!
           Tanpa kita sedari, adalah lebih mudah menikmati bahagia dari dalam. Allah berfirman dalam surah Ar Raad: 28 yang bermaksud “Ketahuilah bahawa dengan mengingati Allah itu hati akan tenang”. Tenang adalah syarat utama mencapai bahagia. Ingat Allah, itu sumber bahagia. Jalan bahagia bukan perlu dicari dengan akal, tapi Allah dengan sifat Kasih Sayang-Nya Yang Maha Luas telah memberikan kita panduan untuk mencapai bahagia. Bagaimana? ZIKRULLAH!
            Kita seringkali mendengar, apabila susah hati, marah, kecewa, sedih dan sebagainya kita diajar untuk menyebut Ya Latif, Hasbunallahu wani’mal wakiil dan zikir-zikir seumpamanya. Namun realitinya adalah segampang menuturkan zikir itu maka kita akan beroleh ketenangan. Mengapa bila kita berzikir, namun hati masih gagal merasa ketenangan sebagaimana dijanjikan oleh Allah. Hakikatnya tidak semudah itu teman, hanya melafaz dilidah tanpa terjemahan hati dan perbuatan, terlalu jauh tenang yang kita damba itu.
          Kisah popular yang sering kita dengar mengenai keluhan dan aduan juga permintaan puteri kesayangan Rasulullah, Saidatina Fatimah saat kelelahan menguruskan rumahtangga, lalu berhasrat meminta pembantu daripada bapa tercinta. Namun, apa yang Nabi Muhammad berikan? Baginda malah menawarkan sesuatu yang lebih baik daripada itu, iaitu zikir Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar. Saidatina Fatimah mengamalkan apa yang diberikan dan beliau merasakan keringanan dalam urusan sehariannya. Persoalannya, kini kita mengamalkan zikir yang sama, jumlah yang sama(33x), waktu juga sama(urusan seharian) tapi mengapa kita tidak merasakan apa yang dirasa oleh Saidatina Fatimah?
            Sahabat, zikir tidak hanya boleh dipraktikkan dengan kalimah yang hanya bersifat surface. Zikir perlu diamalkan secara Holistik, Multi Dimensi iaitu meliputi Qauli(perkataan), Qalbi(hati) dan Fi’li(perbuatan). Zikir perlu diamalkan secara bersepadu. Saat kita menyebut kalimah Subhanallah, apa yang terlintas dihati dan fikiran kita. Subhanallah, Maha Suci Allah. Suci yang bagaimana? Maksudnya Allah itu suci dari sudut Zat, Sifat, & Af’al. Adakah kita merasakan kesuciaan itu? Malangnya kita kadangkala tidak merasa Suci Allah itu kerana dilindungi rasa kita ini suci. Walhal, jika ditelusuri asal kejadian kita bermula dari sesuatu yang kotot, berada dalam rahim ibu, dekat dengan tempat najis, lahir kedunia melalui saluran najis, bahkan badan kita penuh dengan najis. Dengan itu kita disuruh bersuci setiap kali menunaikan kewajipan kepada Allah. Bagaimana agaknya keadaan kita jika 3 hari tidak mandi? Masih terfikir bahawa kita suci?
            Bagaimana melihat Maha Suci Allah dari sudut Af’al Allah. Subhanallah, sifat Allah Yang Maha Pengampun, Maha Pemaaf dan sangat cinta kepada kemaafan. Allah menerima hamba-Nya walau segunung dosa dibawa bersama, Sifat Pemaaf Allah melebihi segalanya. Allah tidak pernah tidak Memberi. Tidak Pernah Tidak Mendengar dan Tidak pernah Tidak Mengampunkan hamba-Nya. Sedangkan kita pula sebagai manusia, sesuka hati berdendam dengan orang itu, sakit hati dengan orang ini, sekali buat salah sampai ke mati ingat. Allahuakbar! Allah amat gembira menerima taubat hamba-Nya sehingga Allah member perumpamaan seorang musafir di padang pasir yang kehabisan bekalan juga kehilangan untanya. Putus asa, hilang ikhtiar lalu tertidur. Apabila bangun musafir itu mendapati untanya kembali disisi, juga terdapat makanan untuk dimakan. Boleh bayangkan bagaimana gembiranya musafir itu? Tetapi Allah lebih gembira daripada itu menerima taubat hamba-Nya. Subhanallah!
            Kita lihat bagaimana Allah melihat. Allah melihat hamba-Nya penuh dengan kasih sayang. Walau seringkali sebagai hamba kita melakukan kesilapan, namun Allah tetap memandang dengan Kasih Sayang serta member rahmat kepada semua makhluk-Nya. Bagaimana pula kita melihat? Allahuakbar. Kita melihat jarang sekali dengan kasih sayang, tapi seringkali dengan prasangka, curiga dan hina. Padahal kita tidak kenal pun siapa orang itu, tapi kita melihatnya penuh prasangka. Kita amat pandai menilai orang lain hatta kita tidak tau siapa pun dia. Lihatlah sikap kita, salam dihulur hanya pada orang yang kita kenal, yang kita suka. Sedangkan Allah tidak pernah mengira siapa, semua dipandang dengan penuh kasih sayang. Sayangnya Allah pada hamba-Nya lebih daripada sayangnya seorang ibu kepada anaknya. Allah Maha Kaya, tetapi tidak kedekut, Allah Maha Mengetahui tetapi Allah merahsiakan apa yang Allah Tahu mengenai hamba-Nya. Andai Allah menyingkap tabir kita, terserlah segala keburukan hamba-Nya. Andai Allah ciptakan dosa itu mempunyai bau, adakah yang mahu dekat dengan kita. Subhanallah! Maha Suci Allah!
             Lalu, adakah tindakan kita selaras dengan apa yang kita ucapkan dan apa yang kita akui dengan hati. Adakah tindakan kita mensucikan Allah? Jangan ditanya mengapa bahagia belum menyapa andai syarat menuju kepadanya tidak sempurna. Oleh itu sahabatku sayang, ana mengingatkan diri juga mengajak kalian untuk menjaga hukum Allah, jagalah hati dari sifat mazmumah yang boleh merosakkan amalan. Marilah kita hormat dan sayangkan makhluk lain, kerana kita memerlukan mereka untuk membantu mencapai bahagia. Berhentilah memandang dengan pandangan menghukum dan prasangka. Mari kita sebarkan kasih sayang dan cinta. InsyaAllah, ‘What you give, you get back’. Wallahu’alam.
 

2 ulasan:

Husni Sulaiman berkata...

bungan besar warna pink,
kain hitam jalur-jalur,
tuntut ilmu kena teringin,
moga tenang dalam kubur

syifamardiyyah berkata...

~Mawar merah cantik berseri
sekali pandang jatuh hati
Jaga mata, telinga,Mulut&Hati
InsyaAllah syurga tempat kembali~

~Hari Isnin Sibuk bekerja
Jumaat masing-masing penat
Amboi kawan berpantun pandainya
Dah lama kenai baru tunjuk bakat?~

NOTA buat da'ei. Apabila kita sendiri diuji dengan apa yang sering kita dakwahkan, itu petanda Allah sedang mendidik kita agar melaksanakan apa yang kita perkatakan. Bersyukurlah kerana Allah masih sudi mengingati kita dalam usaha kita mengingatkan manusia. -khas buat diri yang faqir ini-