Assalamualaikum…
Salam Ukhuwwah dan salam kasih sayang untuk semua. Salam Muhasabah di hujung tahun Masihi 2010. Kita baru saja meraikan kedatangan tahun baru Hijrah 1432 dan bakal meraikan pula kedatangan tahun baru Masihi. Betapa masa berlalu terlalu cepat meninggalkan kita yang masih terkial-kial dalam menyelami hikmah sebuah kehidupan. Kata teman, masa di penghujung dunia ini semakin pendek, dan ana merasakannya. Terasa masa yang berlalu terlalu pantas dan rugilah bagi sesiapa yang masih leka dan alpa dalam khayalan sendiri.
Setiap kali tiba tahun baru Hijrah atau Masihi kita pasti akan ditanya dan bertanya…apa azam tahun baru??? Kurang pula yang menyoal tentang azam tahun lalu, apakah sudah tercapai atau terus terlukis di minda dan terapung di awan, tak sempat digapai kita dah memikirkan azam lain. Apa juga cara dan alasannya, ianya tergantung kepada diri sendiri. Bagaimana kita menguruskan azam samada azam baru atau azam yang masih tertangguh. Alhamdulillah, tahun ini ana merasakan azam ana telah tercapai walaupun tak sepenuhnya. Apa yang tak tercapai…kerja la…mengharapkan dapat kerja pada tahun nie, tapi belum berjodoh…tak mengapa, sudah terlalu banyak nikmat Allah berikan sepanjang tahun ini, tidak menjadi masalah kalau Allah menangguhkan urusan lain kepada ana. Sekurang-kurangnya ana punya waktu untuk berbakti pada ayah bonda yang mungkin bilamana ana punya kerja nanti ana terhimpit dengan waktu dan kurang dapat selalu bersama ayah bonda. Untuk masa sekarang ana cuba sedaya mungkin untuk berfikiran sepositif mungkin. Walaupun kadangkala hati dilanda galau dan mata cepat bertakung air jernih, ana yakin…masa ini akan ana rindukan nanti. Sebagaimana sekarang ana amat merindui masa sibuk sewaktu berpencak digelanggang kampus tercinta. Allahuakbar!
Ana soroti satu persatu puzzle kehidupan ana untuk tahun ini. Walaupun masih ada kepingan puzzle yang belum mencukupi namun gambaran sebuah kehidupan sudah ana dapat lihat walaupun masih kurang jelas. Bermula awal tahun ini, ana memulakan Latihan Profesional yang ana kira amat membantu perjalanan hidup ana. 4 bulan berdepan dengan asam garam kehidupan yang kadangkala berlaku perkara di luar jangkaan kita membuatkan ana makin matang. Bilamana kemahiran diuji, perhubungan turut diuji, juga persahabatan turut diuji, ana jadi makin kuat untuk berdepan dengan dugaan yang datang. Ana belajar untuk menjadi seorang Khairul Mardziyah yang tidak mudah melatah, tidak cengeng, mengawal emosi, dan meminimumkan sifat keanak-anakkan yang lain. Dan ana merasakan dalam tempoh itu, ana belajar terlalu banyak perkara. Bukan hanya berkaitan ilmu kaunseling, tapi jauh lebih penting ana belajar untuk berurusan dengan manusia yang terlalu banyak ragam dengan tingkah berbeza. Ana bersyukur setiap kali berdepan dengan mereka, kerana ana jauh lebih beruntung daripada mereka. Ana menyangkakan apa yang diberikan kepada ana sudah berat, namun ternyata bila masalah dikongsi, apalah sangat ujian yang diberikan kepada ana. Terlalu kecil berbanding orang lain. Belajar daripada kehidupan dan ana bersyukur Allah memilih ana untuk berada dalam bidang ini.
Selesai Latihan Profesional dengan jayanya, ana sekali lagi dianugerahkan peluang untuk bermusafir jauh ke Negara orang. Berbeza tempat, budaya, cara hidup, dan segalanya membuatkan ana semakin banyak belajar. Belajar melalui manusia dan kehidupan. Walau dimana pun kita, kita adalah sama. Cuma apa yang kita pilih dalam hidup ini membezakan kita dengan orang lain. Walaupun hanya sebulan ana merasakan ana belajar terlalu banyak perkara. Ana makin mengenali manusia. Karekter yang ditonjolkan kadangkala menyimpang jauh daripada diri kita yang sebenar. Benarlah kata-kata yang pernah ana dengar..kita hanya akan mengenali seseorang apabila kita bermusafir bersamanya. Sikap tidak mampu disembunyikan lebih dari 3 hari..kesimpulan ana buat berdasarkan pemerhatian, bukan bermakna semuanya harus begitu. Peluang yang ana dapat tidak pernah terlintas difikiran, namun perancangan-Nya meletakkan ana disana juga sebagai satu ujian. Kita perlu kuat dan tegas dengan apa yang kita perjuangkan. Walaupun terkadang ana culas, ana khilaf…Cuma hanya mampu memohon keampunan atas kelemahan iman tatkala berdepan ujian yang diberikan. Sebulan yang amat bermakna dan memberikan terlalu banyak hikmah dan pengajaran. Kasih sayang yang melangkaui sempadan. Tak pernah terfikir dek minda yang singkat.
Perjalanan kehidupan diteruskan dengan sebulan yang penuh tangungjawab. Dalam masa yang sama ana melalui hari bersejarah, hari meraikan kemenangan setelah 4 tahun berjuang dengan segala-galanya. Telah ana kongsikan perasaan pada hari konvokesyen yang ana mahu ulanginya lagi. Menghabiskan sebulan yang penuh kisah pelbagai rasa. Ana makin mengenali manusia. Sebulan yang memberikan gambaran yang makin jelas tentang kehidupan yang bakal ditempuh di alam pekerjaan kelak. Ana bukan lagi pelajar yang segalanya sudah tersedia. Ana sudah berada di luar zon selesa. Ana harus mengayuh sendiri perahu kehidupan untuk sampai ke destinasi seterusnya, dan mengharapkan untuk bertemu dengan pembantu lain yang boleh mengurangkan lelah dalam pengembaraan seterusnya. Sepenat mana pun ana, kayuhan perlu diteruskan untuk mengelakkan ana untuk karam dan hanyut dilautan tanpa sempat sampai ke daratan yang dituju.
Sesungguhnya kehidupan ini sebuah ujian. Allah mahu melihat apakah benar iman yang kita akui dan lafazkan saban waktu. Apakah kita masih redha dan terus berusaha saat melihat teman-teman sudah berjaya dalam kehidupan. Perahu mereka sudah berlabuh di destinasi yang ingin ditujui. Sedang kita masih menilik kompas mencari haluan mana yang harus dituju. Apakah Allah sengaja membiarkan kita dalam penantian dan kesedihan tanpa sebarang alas an. TIDAK! Kata adik kesayangan ana, Allah tidak pernah TIDAK memberi..Ya, Allah Maha Pemurah, Maha Penyayang tidak pernah sekali-kali menzalimi hamba-Nya. Cuma kita yang sering menzalimi diri kita sendiri. Allah pasti menyediakan yang terbaik untuk kita dan masa itu belum sampai. Mana kita tahu, kalau terlalu cepat kita dapat semuanya, kita menjadi kurang bersyukur. Allah amat menyayangi kita, dengan itu Dia memberikan segala macam ujian untuk kita terys bergantung harap, merintih, merayu memohon pertolongan hanya kepada-Nya.
Alhamdulillah, tiada alasan untuk kita bersedih setelah selautan nikmat telah Allah berikan kepada kita. Sekurang-kurangnya kita masih punya kaki, tangan, dan pancaindera yang sempurna untuk terus berusaha mendapat yang terbaik. Sesungguhnya dalam perjalanan ini bukan hanya kita yang teruji, ayah bonda turut teruji, adik-beradik turut teruji juga insane di sekeliling kita turut teruji. Dengan itu, apakah alasan untuk terus duduk dan mengeluh. Andai kita betul menggunakan akal yang sempurna pasti kita dapat melihat segala macam peluang yang dapat diambil dalam tempoh tiada komitmen yang mengikat ini. Alhamdulillah, Allah membuka mata hati ana untuk melihat semua itu. Dan saat ini, ana tiada masa melayan emosi yang sering memujuk untuk menyalahkan takdir. Ana punya aktiviti sendiri yang mampu menambah baik diri dan juga menyumbang sesuatu kepada masyarakat, insyaAllah.
Alhamdulillah..Alhamdulillah..Alhamdulillah..selautan syukur ana panjatkan kepada-Nya. Terlalu banyak nikmat-Nya untuk ana. Dalam mengharungi kesulitan yang singgah waktu ini, Allah memberi ana insan-insan yang penuh dengan kasih sayang dan semangat yang tinggi yang tak pernah jemu menyuntik motivasi untuk insane selemah ana. Alhamdulillah..Thank you Allah!
Selamat tinggal 2010, moga Allah mengizinkan ana dan semuanya untuk menemui tahun seterusnya. Dan semoga hari esok yang bakal menjelma akan menjadi hari yanglebih baik dari hari ini dan juga kelmarin. Mari terus bersemangat meneruskan kehidupan dengan senyum dan rasa bahagia, kerana hidup ini terlalu singkat untuk duduk merintih dan menangisi sebuah masa lalu. Semoga Allah terus menetapkan iman kita, memberi kekuatan untk terus mengharungi kehidupan hingga hujung nyawa. Semoga masa yang ada mampu kita manfaatkan sepenuhnya untuk menuai hasil terbaik di akhirat kelak, sebuah kehidupan yang abadi. Moga redha Allah terus bersama dalam setiap langkah kita. Moga rahmat-Nya yang Maha Luas itu akan terus menaungi kita hingga ke hari perhimpunan besar kita di Mahsyar nanti..insyaAllah.
Salam Tahun Baru untuk semua. Mohon maaf atas segala khilaf yang sengaja ataupun tidak sengaja. Moga terus punya ilham untuk terus menulis di tahun baru 2011 nanti. InsyaAllah..Assalamualaikum.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan