Dalam mengisi kehidupan kita di dunia yang fana ini, amal soleh merupakan pengisian yang paling berharga dan bermakna sekali. Sejauh mana pun langkah kita, sekiranya kosong daripada amal soleh, maka sia-sia saja perjalanan hidup kita. Sepanjang mana pun umur kita, sekiranya tidak diisikan dengan amalan soleh, maka rugi sahaja setiap detik usia dan nafas kita.
Selain iman, taqwa dan ilmu yang bermanfaat, maka amal solehlah yang sebaik-baik bekalan seseorang hamba untuk dibawa pulang ke akhirat sana. Demikianlah agama mengajar kita.
Firman Allah s.w.t yang bermaksud: “sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, bagi mereka adalah syurga Firdaus menjadi tempat tinggal, mereka kekal di dalamnya, mereka tidak ingin berpindah darinya.” (Al-Kahfi:107-108)
Apakah itu amal soleh? Amal soleh maksudnya segala amalan atau pekerjaan yang mengandungi kebaikan(elok), kebajikan dan manfaat. ‘Baik’ itu pula hendaklah disuluh dan diterjemahkan menurut kehendak Allah dan RasulNya. Berpandukan Al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w. bukannya ‘baik’ menurut keinginan nafsu kita.
Amal soleh itu banyak sekali cabang dan bahagiannya yakni sebanyak bilangan nafas yang kita sedut. Selain itu, amal soleh secara keseluruhannya terangkum di dalam dua cabang ibadah yang utama iaitu ibadah hablumminallah (hubungan dengan Allah) dan hablumminannas yakni hubungan dengan sesama manusia. Amal soleh juga adakalanya disebut amal khair(amalan yang baik).
Hidup rugi tanpa amalan soleh
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “demi masa, sesungguhnya manusia itu sentiasa berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal yang soleh, sentiasa berpesan-pesan ke arah kebenaran dan kesabaran.”(Al-‘Asr)
Bayangkan betapa ruginya kita kalau apa yang kita lakukan selama ini tidak dicatatkan sebagai amalan soleh di sisi Allah. Betpa menyesalnya kita di hadapan Allah nanti sekiranya catatan amalan kita kosong dan lengang dari amal soleh. Betapa gawat dan muflisnya kita saat itu kerana sikap kita di dunia dahulu yang sering mencuai dan menangguh-nangguhkan untuk beramal soleh. Jelasnya, orang yang tidak beramal soleh itu kerugian di dunia dan akhirat.
Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq dalam ucapannya menyebutkan: “sesiapa yang masuk ke dalam kubur(yakni menuju kea lam barzakh) tanpa bekalan, adalah seperti orang yang mahu(hendak) belayar di lautan tanpa menyediakan sampan(perahu).”
Dalam Al-Quran, Allah menceritakan bagaimana kedapatan manusia di akhirat nanti yang pulang dengan tangan kosong lalu memohon dan merintih kepada Allah penuh hiba agar diberikan peluang kedua kembali kedunia barang sekejap untuk melakukan amalan soleh. Namun, tiada guna lagi penyesalan pada waktu itu. Firman Allah s.w.t yang bermaksud:
“dan (alangkah ngerinya) sekiranya kamu melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya dihadapan Tuhannya, (mereka berkata): “Ya Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar, maka kembalikanlah kami (di dunia), kami akan mengerjakan amal soleh, sesungguhnya kami adalah orang-orang yang yakin.” (As-Sajadah:12)
Kerana itu, setiap minit dari masa kita hendaklah digunakan sewajarnya. Diisi selayaknya. Dimanfaatkan sebaiknya. Isi dan penuhilah saki-baki usia kita dengan iman dan amalan soleh semampunya. Bukannya dengan amalan tholeh(amalan yang keji, karut, bida’ah, dan sia-sia). Sesungguhnya detikan ‘jarum saat’ pada setiap jam itu tidak akan berputar ke belakang semula. Ia terus maju ke hadapan tanpa menoleh ke belakang. Ertinya masa akan terus berlalu dengan cepatnya tanpa menghiraukan sama ada kita telah bersedia ataupun tidak. Sama ada kita telah menyiapkan bekal ataupun tidak.
Amal soleh sebaik bekalan
Renungkanlah bagaimana Allah s.w.t mendidik kita melalui surah Al-‘Asr ini bahawa perlunya manusia mengisi masa itu dengan iman dan amal soleh sekiranya mereka tidak mahu kerugian dunia dan akhirat sana. Ia adalah sebaik-baik bekal bagi mereka yang inginkan pahala(ganjaran) Allah yang besar di akhirat nanti.
Alangkah baik kita mengambil sedikit masa sebelum melelapkan mata pada malam hari untuk muhasabah diri mengenai perkara ini. Tanyakanlah secara jujur pada diri kita, berapa banyakkah amal soleh yang telah kita sediakan sebagai bekalan untuk perjalanan panjang yang diingatkan oleh Rasulullah s.a.w. itu? Ingatlah bahawa harta yang kita kumpulkan semata-mata untuk keseronokan, kemewahan dan berbangga-bangga (lebih-lebih lagi harta yang haram dan syubhat) tidak dapat menolong kita dari seksa Allah yang maha pedih dan maha dasyat di akhirat nanti.
Percayakah kita bahawa hanya amal soleh sahajalah yang akan dibawa pulang oleh manusia menemui Penciptanya. Apa saja selain itu akan ia tinggalkan untuk ahli keluarganya yang masih hidup. Perbetulkan salah faham kita selama ini yang menganggap bahawa memadai kita sekadar didoakan oleh imam atau ustaz yang dijemput oleh anak-anak kita tanpa diri kita sendiri menyediakan diri dengan iman dan amal soleh. Amat dangkal bahawa kita hanya tahu menumpang amalan soleh orang lain.
Bersabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Tiga perkara yang mengikut seseorang mayat itu ke kuburnya. (akhirnya) dua perkara pulang (meninggalkannya) manakala satu lagi tinggal(bersamanya). Yang mengikut seseorang mayat itu ialah kaum keluarganya, harta bendanya dan amalannya. Maka pulanglah keluarga dan hartanya dan tinggallah amalan.” (Riwayat Imam Muslim)
2 ulasan:
Semoga Allah menghadiahkan kepada kita saat yang sarat dengan tarbiyyah Nya.
insyaAllah..seiring dengan mohon juga disertakan kekuatan dan kesabaran untuk berhadapan dengannya
Catat Ulasan