16 September 2009

KPI RaMaDHaN: Di MaNa KiTa?


HARI ini sudah 26 hari umat Islam menunaikan ibadat puasa Ramadan. 3 hari lagi, seluruh Muslim akan menyambut hari kemenangan, Aidilfitri.Pada penghujung Ramadan ini, apabila kedudukan kita sebagai umat Islam dalam menjalani ibadat berpuasa, adakah semakin bersemangat atau sudah lembik?Jika mengikut Indek Prestasi Kerja (KPI), adakah kita sudah mencapai standard yang ditetapkan Allah atau masih jauh dari sasaran?Jika kita teguh dengan kata-kata, pada awal Ramadan rahmat, dipertengahannya mendapat keampunan dan hujungnya dijauhkan daripada api neraka, Alhamdulillah kita di jalan yang betul.

Bagaimanapun, jika pada awalnya saja bersemangat, tetapi di pertengahan lemah dan di hujungnya terkulai, rugilah ibadat puasa yang dijalankan sepanjang Ramadan.
Melihat tabiat umat Islam di negara ini setiap kali kehadiran Ramadan, kadangkala kita tertanya-tanya, apakah mereka faham tujuan berpuasa Ramadan.Jika meninjau kebanyakan masjid, pada awal Ramadan, jemaah penuh menunaikan solat Tarawih, tetapi pada pertengahan dan hujungnya, jumlah mereka tinggal separuh daripada kapisiti jemaah.Mengapa perkara itu boleh berlaku? Jika pada awal Ramadan, masjid penuh dengan jemaah yang menunaikan solat Tarawih, sepatutnya di pertengahan dan hujungnya, keadaan adalah sama.


Tetapi, sayangnya tidak begitu. Kebanyakan masjid suram di hujung Ramadan. Ramai umat Islam sibuk membuat persiapan Aidilfitri, membuat kuih raya, bermain mercun atau berpusu-pusu ke pusat beli-belah.Justeru, di mana KPI berpuasa mereka sepanjang Ramadan ini? Perunding Motivasi Human-Touch Consultant, Mohd Zawawi Yusoh, berkata sebahagian umat Islam semakin hilang stamina beribadat dan jumlah jemaah menunaikan solat tarawih merudum pada hujung Ramadan."Malah, jemaah makin maju ke depan, sebabnya di belakang sudah kosong dan makin kurang jemaah."Sepatutnya makin ke hujung Ramadan makin seronok dengan janji fadilat Ramadan," katanya.Persoalannya, mengapa fenomena begini berlaku dan tidak serupa semaraknya ketika awal dahulu?
Ibadat yang dilakukan bukan saja berkurang kuantitinya malah kualitinya boleh dipersoalkan. Mengapa umat Islam di negara ini tidak mahu mencari fadilat pada 10 malam terakhir Ramadan yang terkandung satu malam yang sangat berkat, iaitu Lailatul Qadar?Daripada Aisyah r.a katanya: "Rasulullah s.a.w memperbanyakkan amalan apabila sampai hari yang ke-10 terakhir Ramadan, Baginda juga membangunkan isterinya agar beribadat (solat sunat, membaca al-Quran, berzikir dan lainnya). Baginda juga menjauhkan diri daripada bergaul serta bermesra dengan isterinya." (Riwayat Bukhari dan Muslim)Menurut ulama, Lailatul Qadar kemuncak Ramadan kerana kemuliaannya yang diterangkan di dalam al-Quran dan hadis Nabi s.a.w, malah malam berkenaan dirakamkan khusus dalam satu surah dalam al-Quran.
Orang yang tekun beribadat pada 10 malam yang berkenaan akan mendapat rahmat dijanjikan kerana sudah sabit dalam hadis yang sahih, Lailatul Qadar wujud pada satu daripada 10 malam itu.Justeru, orang yang tekun beribadat pada 10 malam terbabit akan mendapat rahmat yang dijanjikan itu, sama ada dia menemuinya atau tidak. Jika bertemunya, berdoa untuk kebaikan, kesejahteraan dan keampunan. Mohd Zawawi berkata, generasi salafussoleh dahulu makin tidak senang duduk apabila Ramadan makin memasuki penghujung kerana bersemangat hingga bergilir tidur, bangun dan saling mengejutkan yang lain untuk qiamullail."Boleh jadi juga tanggapan tak betul dalam menghayati ibadat Ramadan. Kalau beribadat hanya ikutan sahaja, dorongan memang tak kuat. Bukan sahaja tak kuat, tetapi tak dapat bertahan, hanya main ikut 'mood'."Hari ada 'mood', beribadat bukan main manakala hari tak ada 'mood' main-main pula beribadat," katanya, sambil menegaskan: "Beribadat bukannya boleh dibuat main-main sebab ibadat hendak masuk syurga."Hadis Nabi s.a.w bermaksud: "Jalan ke syurga penuh dengan duri manakala jalan ke neraka penuh dengan seronok dan lalai." Solat katanya, memang duri bagi mereka yang tidak bersungguh-sungguh, manakala Tarawih beratnya dirasa seperti ditusuk duri."Duduk lama sedikit ketika bertadarus tidak tahan, sebab terasa macam duri," katanya.Beliau berkata, dek salah faham antara makna Ramadan dan bulan puasa juga menjadi sebab kenapa ramai cepat sangat malas menggandakan ibadat?"Kalau difahami ini bulan puasa, seolah-olah bulan ini hanya untuk puasa. Orang ajak buat kerja lebih sedikit, dia kata ini bulan puasalah. "Apabila diajak bergotong-royong, dijawab ini bulan puasalah dan bila hendak buat kursus ketika bulan puasa, terus disanggahnya, 'ini bulan puasa', seolah-olah bulan ini bulan rehat saja."Berbeza dengan kefahaman Ramadan, sebab apabila difahami ini Ramadan bermakna bulan ini bukan hanya untuk berpuasa."Malah, bulan ini menjadi penghulu segala bulan kerana sangat banyak ibadat yang perlu dilakukan sebagai pakej," katanya.

Menurutnya, bulan ini juga adalah bulan mencipta prestasi kerana dalam sejarah Islam, perang pertama berlaku dalam keadaan lapar kerana berpuasa."Boleh jadi juga semakin tidak bersemangat sebab jahil mengenai ganjaran dan nilai yang terkandung dalam ibadat pada Ramadan. "Inilah akibatnya tak bersedia dengan ilmu ketika menyambut kedatangan Ramadan. Tak baca dan menelaah kembali hakikat tawaran Allah."Sehingga yang terpikat bukannya tawaran Allah, tetapi lebih kepada jualan murah 'beli dan belah'. Membeli bukan main sakan, tetapi bab ibadat asyik belah saja," katanya.

Kekurangan stamina sebelum Ramadan lagi, katanya, menjadi satu lagi punca yang menyebabkan momentum beribadat ketika Ramadan tidak begitu stabil."Benarlah doa Nabi s.a.w yang bermaksud: "Ya Allah berkatkan Rejab dan Sya'ban serta panjangkan umur sehingga Ramadan.""Rupanya kerajinan beribadat sepatutnya sudah bermula persiapannya sejak Rejab lagi dan kalau ikut sepatutnya memang sejak baligh lagi sudah kena rajin beribadat. "Kalau sudah mula berazam nutuk bersungguh ketika Rejab lagi taklah terkejut melayani dan menangani jadual ibadat Ramadan. "Bayangkan kalau jarang ke masjid, tetapi bila saja tiba puasa hendak berterusan 30 hari ke masjid. "Rasanya, mungkin tak larat. Begitu juga dengan membaca al-Quran, berbulan-bulan tak ada jadual membaca al-Quran, tiba-tiba hendak khatam 30 juzuk, memang berat sangatlah," katanya.

Tanggapan sesetengah pihak yang berasakan usianya masih panjang dan muda juga menyebabkan ibadat Ramadan tidak dilakukan bersungguh-sungguh sehingga ke akhir bulan. "Sekarang masa bersuka ria, masih bujang lagi, nanti apabila sudah kahwin atau bila tua barulah ibadat betul-betul dan ini pun satu punca tidak bersungguh dalam beribadat. "Kalau yang muda terasa masih awal serta banyak lagi peluang dan ruang, kerenah yang tua pula mula pasang angan-angan walaupun ramai teman taulan sudah jalan."Mati bukan ikut usia dan penyakit, tetapi rahsia Allah. Marilah pada kesempatan Ramadan yang masih berbaki kita bersungguh-sungguh menggandakan ibadat."Ini supaya kita berasakan kehangatan pesta ibadat menjadi hiburan dan pengisian rohani agar bersiap dengan bekal mencukupi di alam selepas dibangkitkan semula," katanya.

Tiada ulasan:

NOTA buat da'ei. Apabila kita sendiri diuji dengan apa yang sering kita dakwahkan, itu petanda Allah sedang mendidik kita agar melaksanakan apa yang kita perkatakan. Bersyukurlah kerana Allah masih sudi mengingati kita dalam usaha kita mengingatkan manusia. -khas buat diri yang faqir ini-