08 Jun 2009

SeKaDaR PeRKoNGSiaN BeRSaMa

Membangun Positive Thinking Secara Islam

Kecemasan jiwa selalu menempati posisi teratas di antara beberapa penyakit masa kini. Buku-buku dan penelitian yang memperkatakan mengenai isu ini sudah banyak dibuat, namun rasa cemas tetap menyerang semua orang dan ia akan terus berlaku. Satu cara yang boleh diamalkan oleh semua untuk mengatasi rasa cemas ini ialah dengan merujuk kembali kepada ajaran Islam. Menurut Islam, rasa cemas itu boleh diatasi secara perlahan-lahan dengan mempositifkan pemikiran seseorang.
Disini disenaraikan beberapa tips dalam membantu membangunkan sikap dan pemikiran positif agar kita terhindar dari kecemasan jiwa.

1. LURUSKAN FIKIRAN ANDA
Allah berfirman yang bermaksud,
“…sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri…”.(Ar-Ra’d:11)

Ayat Al-Quran di atas adalah hukum perubahan dalam kehidupan di dunia. Oleh kerana itu, keadaan anda tidak akan berubah dari satu kondisi menjadi kondisi yang lain, kecuali dengan peranan tangan anda sendiri untuk mengubahnya. Demikian pula dengan mukjizat. Memang, semuanya hanya akan terjadi dengan takdir Allah, namun dalam menjadikan segala sesuatu itu, Allah menggunkan sebab. Selagi anda belum mengenal hukum perubahan ini dengan baik, maka segala upaya anda untuk mengatasi rasa cemas sukar dicapai. Anda perlu bertekad dan bersemangat untuk mengatasinya, namun persoalannya bagaimana?
Anda boleh memulakan dengan mengubah dan meluruskan gaya berfikir anda. Anda tidak akan merasa bahagia jika sentiasa memikirkan akan kesedihan dan kesusahan yang bakal anda pikul. Hidup anda tentu merupakan hasil berfikir anda. Oleh itu, dengan keupayaan yang ada, anda sebenarnya mampu mengubah jalan hidup dengan mengubah jalan berfikir anda.

HILANGKAN PENYAKIT HATI

Sering kali, kita sendirilah yang membangkitkan rasa cemas pada diri kita. Kita juga yang kerapkali menjebakkan diri kita di dalam kesusahan dan kesedihan. Bahkan lebih dari itu, mungkin ada di antara kita yang menyiksa diri dengan penyakit hati pada diri sendiri dan orang di sekeliling kita. Penyakit ini tentu bukan kerana virus, akan tetapi berpunca daripada kerosakan fikiran kita dan akibat sedikitnya iman kita kepada Allah.
Satu contoh penyakit hati yang tersembunyi adalah perasaan iri hati. Orang yang berpenyakit iri hati akan lebih menyakiti dirinya sendiri daripada menyakiti orang lain. Golongan ini akan menyiksa diri sendiri kerana sesuatu perkara yang bukan miliknya.
Jauhilah sifat iri. Jangan didik diri menaruh perasaan ini kepada seseorang yang telah Allah berikan kurnia-Nya. Dengan iri itu, anda telah menyalahkan keadilan Allah.

CINTAILAH ORANG LAIN SEPERTI MENCINTAI DIRI SENDIRI

Ini bukan sekadar nasihat atau sekadar kata-kata hikmah. Ini merupakan ubat jiwa dari sekian banyak penyakit jiwa yang ada. Ini juga merupakan hukum untuk membawa kebahagiaan bagi jiwa manusia, bahkan sesungguhnya, perkataan ini merupakan ucapan manusia pilihan, iaitu Nabi Muhammad s.a.w. Keimanan seseorang tidak akan sempurna kecuali dengan memahami, menghayati, dan melaksanakan kata-kata tersebut, sebagaimana Rasulullah bersabda yang bermaksud,
”Salah seorang daripada kalian tidak dikatakan beriman, hingga mencintai saudaranya seperti halnya mencintai dirinya sendiri..”. (Muttafaqun ’alaih)
Ketika anda mencintai saudara anda seperti anda mencintai diri sendiri, dada anda akan terasa lapang, jiwa rasa tenang, dan anda akan merasa puncak kepuasan. Hanya dengan itulah anda akan merasakan manisnya iman.
Manisnya imana ini tidak dapat dirasakan dengan lisan, melainkan dengan hati. Anda juga akan merasakan kebahagiaan jiwa yang menyeluruh. Kebahagiaan anda menjadi bertambah ketika anda menanggalkan titik-titik hitam yang merupakan rasa dengki, benci, dendam, iri, dan sebagainya.

JANGAN SEDIH DENGAN MASA LALU, FIKIRKAN MASA KINI

Anas radhiallahu’anhu berkata, Rasulullah bersabda yang bermaksud,
” Ya Allah, aku berlindung kepadamu dari kesusahan dan kesedihan. Dan aku berlindung kepada-MU dari perasaan lemah dan malas, dari rasa takut dan bakhil, dari tersepit oleh hutang dan kekerasan orang.” (riwayat Bukhari dan Muslim)
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud, ” bersungguh-sungguh pada hal yang bermanfaat bagimu, dan mintalah pertolongan kepada Allah serta jangan merasa lemah. Bila kamu ditimpa sesuatu jangan kamu mengatakan, ’seandainya aku melakukan ini, nescaya begini-begini.’katakanlah, Allah telah mentakdirkan dan apa yang Allah kehendaki maka itu terjadi. Sesungguhnya kata seandainya akan membuka pintu perbuatan syaitan.”(Riwayat Muslim)
Tidak menyesali masa lalu bukan bererti seseorang tidak bersungguh-sungguh dalam mengerjakan sesuatu yang bermanfaat baginya. Maksud hadis di atas adalah untuk membimbing seorang muslim agar bersungguh-sungguh mengerjakan sesuatu yang bermanfaat baginya serta tidak lupa meminta pertolongan daripada Allah dalam hal ini. Hadis ini kemudian menjelaskan pula bahawa barangsiapa yang meminta pertolongan Allah, maka ia selamanya tidak akan menjadi lemah. Dalam hadis ini, ada motivasi bagi seorang muslim agar percaya pada diri untuk meraih kejayaan dan tidak berputus asa.

Tiada ulasan:

NOTA buat da'ei. Apabila kita sendiri diuji dengan apa yang sering kita dakwahkan, itu petanda Allah sedang mendidik kita agar melaksanakan apa yang kita perkatakan. Bersyukurlah kerana Allah masih sudi mengingati kita dalam usaha kita mengingatkan manusia. -khas buat diri yang faqir ini-