16 Mei 2009

PeRiNGaTaN BuaT DiRi DaN TeMaN-TeMaN

Bismillahirrahmanirrahim.
Salam ukhuwwah dan Salam kasih sayang.
Menerima ketentuan Allah, bahawa sihat itu lawannya sakit. Bila sihat itu pergi pasti kesakitan akan mengambil tempat. Sebagai makhluk yang lemah, kita harus akur bahawa apa yang berlaku kerana percaturan-NYA halus. Mungkin untuk masa yang sesingkat ini, kita belum mampu menilai apa kewajarannya Allah menghadiahkan kita dengan ujian yang datang silih berganti. Namun, diakhir pencarian kita nanti pasti kita mensyukuri setiap nikmat yang diberikan disebalik kekuatan dan dan juga kelemahan kita. Berbicara mengenai nikmat kesihatan, kita sering alpa bilamana kita diberikan kesihatan yang baik, namun bila kesihatan itu hilang diganti dengan rasa kesakitan mahupun kelemahan, lain pula tingkah kita saat itu. Hakikat seorang manusia, apa yang sahaja yang diberikan ada saja kurangnya, ada sahaja pincangnya. Bila sudah kehilangan baru tahu menghargai nikmat dan anugerah yang pernah datang.
Manusia seringkali menyalahkan keadaan bilamana berlaku perkara yang tidak diingini. Terlalu cepat menilai dan menghukum biarpun mereka tahu hukuman itu belum tentu kebenarannya. Jarang sekali kita mendengar golongan manusia yang menerima apa sahaja ketentuan yang datang dengan lapang hati dan bersabar. Yang ada hanya golongan yang dekat dengan Allah. Jika manusia mampu melihat dengan sedalam-dalamnya pasti mereka akan mensyukuri ujian yang tiba kerana ujian dan kesakitan yang datang tidak lain tidak adalah untuk menghapuskan dosa-dosa kecil. Atau, mereka merasa diri mereka, oleh kerana itu mereka merasakan tidak sepatutnya mereka diuji dengan ujian kesihatan dan juga ujian-ujian lain.
Lemah, sakit, tiada tenaga semuanya daripada Allah. Jika kita sabar menghadapi, pasti Allah akan menganjarkan sesuatu kepada kita. Itu janji Allah. Janji Allah adalah sesuatu yang pasti. Jadi, tidak menjadi rugi bilamana seseorang manusia itu bergantung harap hanya kepada Allah. Setelah sekian lama kita mengecap nikmat kesihatan yang jika dihitung tak mampu untuk kita membayarnya, jadi mengapa hanya dengan ujian kesakitan yang sedikit, kita lupa kepada nikmat yang menggunung selama ini. ‘Maka ni’mat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?’
Amru bin Maimun meriwayatkan Nabi Muhammad S.A.W bersabda, “Ada lima perkara yang sangat berharga yang diberikan percuma oleh Allah S.W.T kepada semua umat manusia. Lima perkara itu perlu dimanfaatkan oleh semua umat manusia dengan sebaik-baiknya sebelum datang lima perkara yang lain. Ia adalah masa muda sebelum datang masa tua, masa sihat sebelum datang masa sakit, masa senang sebelum datang masa susah, masa lapang sebelum datang masa sibuk, serta masa hidup sebelum datang kematian”.
Sekiranya kita sakit dan kemudian kita sembuh, kita masih punya waktu untuk memohon keampunan daripada-Nya. Namun andai kita sakit sehingga membawa kita kepada-Nya tanpa sempat bertaubat atas kesalahan yang melaut, dimana kita disisi-Nya. Ingat lima perkara sebelum datang lima perkara….

Tiada ulasan:

NOTA buat da'ei. Apabila kita sendiri diuji dengan apa yang sering kita dakwahkan, itu petanda Allah sedang mendidik kita agar melaksanakan apa yang kita perkatakan. Bersyukurlah kerana Allah masih sudi mengingati kita dalam usaha kita mengingatkan manusia. -khas buat diri yang faqir ini-