01 Disember 2008

PeRKoNGSiaN iDea Di RuaNGaN SuRaT PeMBaCa aKHBaR BeRiTa HaRiaN-28/11/2008

Mahasiswa disaran dekati masyarakat musim cuti


PELAJAR sekolah sudah mula bercuti hujung tahun. Saya pasti ketika ini cuti semester bagi kebanyakan universiti tempatan sudah bermula. Pelbagai cara dibuat untuk mengisi musim cuti panjang.

Bagi ibu bapa daripada golongan berada, mereka membawa anak melancong di dalam dan luar negara. Ada juga pulang bertemu datuk dan nenek di kampung selain menghadiri majlis perkahwinan keluarga dan saudara mara.

Dalam pada itu, sesetengah pelajar universiti dan lepasan sekolah menengah mengisi masa cuti dengan bekerja sambilan sama ada di stesen minyak, pusat beli-belah atau menjadi jurujual. Namun, apa juga pekerjaan yang dilakukan, harus memberi manfaat kepada diri dan keluarga, sekurang-kurangnya tidak terlalu mengharapkan ibu bapa untuk membeli kad prabayar telefon bimbit, pakaian dan mengisi minyak kereta atau motosikal.

Apa pun, dalam usaha membantu negara melahirkan modal insan yang sering kali dicanangkan, perlu kita lihat bagaimana pengisian musim cuti seorang mahasiswa yang memberi manfaat kepada diri dan orang lain.

Pada pendapat saya, musim cuti adalah masanya mahasiswa turun kepada masyarakat. Apatah lagi dengan cuti agak panjang ini, pelbagai aktiviti boleh dilakukan bagi memberi manfaat kepada masyarakat sekeliling dan juga diri sendiri.

Jika di kampus, kita disibukkan dengan tugasan, mengulangkaji, ujian dan juga hal-hal akademik yang lain, kenapa tidak pada musim cuti begini, kita sumbangkan sesuatu pula kepada masyarakat. Sekurang-kurangnya kita seimbangkan keperluan fizikal dan mental kita. Kita bukan sekadar menerima tetapi juga memberi.

Pelbagai aktiviti boleh dilakukan mahasiswa, baik secara individu mahupun melalui persatuan. Kemahiran insaniah seseorang mahasiswa boleh diterapkan melalui aktiviti membawa mahasiswa kepada masyarakat.

Saya kira ada pelbagai medium yang boleh digunakan oleh mahasiswa untuk men dekati masyarakat. Kewujudan pelbagai badan organisasi baik disediakan kerajaan mahupun NGO sewajar-nya digunakan dengan sebaik mungkin.

Apabila seseorang mahasiswa pulang ke kampung halaman, di sana pasti ada sesebuah organisasi ataupun persatuan menganjurkan program di tempat berkenaan. Ia terpulang kepada kebijaksanaan seseorang mahasiswa untuk mencari dan mengambil peluang yang disediakan. Gunakan sebaik mungkin peluang yang ada untuk memberi manfaat kepada semua.

Mahasiswa hari ini perlu sedar tuntutan perlu dilaksanakan. Jangan tunggu masyarakat menjemput kita kepada mereka, sebaliknya kita perlu dekat kepada masyarakat. Buangkan semua persepsi menganggap mahasiswa kini tiada jatidiri dan tiada nilai.

KHAIRUL MARDZIYAH MD HUSSAIN,
Timbalan Presiden Persatuan Mahasiswa Kedah,
Universiti Malaya.

Tiada ulasan:

NOTA buat da'ei. Apabila kita sendiri diuji dengan apa yang sering kita dakwahkan, itu petanda Allah sedang mendidik kita agar melaksanakan apa yang kita perkatakan. Bersyukurlah kerana Allah masih sudi mengingati kita dalam usaha kita mengingatkan manusia. -khas buat diri yang faqir ini-