31 Ogos 2008
RaMaDHaN YaNG DiRiNDui...
Ramadhan Yang Dinanti...
Sabda Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam yang bermaksud: “ Andaikata hambaKU mengetahui hal(keutamaan) bulan Ramadhan, nescaya mereka mengidamkan agar dalam setahun itu dijadikan bulan Ramadhan.” (Riwayat Ibnu Khuzaimah).mnerusi ungkapan hadis tersebut menggambarkanbetapa hebat dan bernilainya bulan Ramdhan!
Ramadhan sentiasa dinanti bagi golongan yang cintakan kebaikan. Bulan tesebut terkandung seribu rahmat. Dari Jabir bin Abdullah RA bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud, “ Di bulan Ramadhan umatku dianugerahi lima(keutamaan) yang tidak pernah diberikan kepada Nabi-nabi sebelumku:
1. Ketika malam pertama di bulan Ramadhan, Allah SubhanahuWata’ala melihat mereka (Ummat Muhammad) dan sesiapa yang dilihat oleh Allah, nescaya tidak akan diberikan seksaan untuk selama-lamanya.
2. Bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau minyak kasturi.
3. Para malaikat memohon keampunan bagi mereka pada setiap siang dan malam.
4. Allah memerintahkan kepada Malaikat : Siapkanlah dan hiasi para hambaKu yang beristirehat sejenak dari kesibukan duniawi untuk menuju ke rumahKu dan kemuliaanKu .
5. Ketika telah datang akhir malam, Allah mengampuni mereka (orang yang berpuasa) semuanya. Kemudian salah seorang daripada kaum itu bertanya : Apakah itu malam Lailatul Qadar? Lantas nabi menjawab: Tidak, apakah kamu tidak melihat para pekerja, ketika mereka selesai melaksanakan tugasnya, maka diberi upahnya.” (Riwayat Al-Baihaqi)
Di bulan Ramadhan umat Islam diwajibkan berpuasa. Puasa dalam bahasa arab disebut as-shiyaam atau as-shaum yang bermaksud : Menahan diri dari sesuatu perbuatan. Menurut istilah Syara’: Menahan diri diri dari melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa seperti makan, minum, dan sebagainya bermula terbit fajar hingga terbenam matahari dengan disertai niat ibadah kepada Allah. Kewajipan berpuasa dinyatakan dengan jelas menerusi firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana orang sebelum kamu supaya kamu bertaqwa.” (Al-Baqarah:183)
Ganjaran pahala dan penghapusan dosa-dosa yang telah lalu telah dikurniakan kepada orang yang ikhlas berpuasa semata-mata kerana Allah. Sabda Rasulullah yang bermaksud: “ Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan ketulusan, maka akan diampunkan dosa-dosanya yang terdahulu.” (Riwayat Bukhari, Muslim, dan Abu Daud)
Ganjaran pahala turut diberikan kepada orang yang bangun sahur. Sabda Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam yang bermaksud: “ Bersahurlah kamu walaupun dengan seteguk air.” (Riwayat Abu Daud dan At-Tirmidzi)
Hadis ini membuktikan betapa pemurahnya Allah memberikan ganjaran pahala sekalipun bersahur hanya dengan seteguk air. Maksud yang tersirat di sebalik perbuatan ini ialah untuk menilai sejauh mana kepatuhan manusia terhadap perintah Allah. Siapakah yang sanggup bangun di waktu sedang enak dibuai mimpi sedangkan selera makan ketika itu jarang terbuka. Tetapi itulah ujian Allah bagi menguji keimanan hamba-hambaNya. Sekalipun bersahur tidak wajib tetapi bagi golongan yang ingin mendapatkan pahala, peluang ini diambil denga sebaik-baiknya. Malahan dengan makan sahur, sekurang-kurangnya menjadi penahan lapar dan dahaga di siang hari.
Bukan sekadar sunat bangun sahur, bahkan keberkatan turut diberikan kepada sewaktu mengakhiri sahur. Rasulullah bersabda yang bermaksud: Tiga perkara yang dicintai Allah: Bersegera berbuka, Mengakhiri sahur, dan meletakkan kedua tangan(iaitu) salah satunya di atas yang lain ketika solat.” (Riwayat At-Thabarani)
Puasa turut dijadikan perisai daripada melakukan kejahatan. Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Puasa itu bagaikan perisai, apabila seseorang kamu berpuasa, jangan berkata kotor dan kasar. Jika seseorang mencacinya atau menyerangnya maka hendaklah dia mengatakan: ‘aku ini puasa’.” (Sahih Bukhari)
Di bulan-bulan lain, terdapat godaan daripada melakukan kebaikan, tetapi setelah datangnya Ramadhan, jin dan syaitan dirantai daripada terus menggoda manusia. Peluang tersebut hendaklah diambil dengan sebaik-baiknya untuk melakukan kebaikan. Sekiranya di bulan lain, kita terkadang leka dengan nikmat dunia, sempena Ramadhan amalan kebaikan dilipat gandakan agar puasa yang dilakukan diterima oleh Allah. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Apabila kamu berpuasa, maka hendaklah pendengaranmu, penglihatanmu, dan lidahmu turut berpuasa dari segala yang haram. Jauhilah dari suka menyakiti jiranmu, hendaklah kamu bertenang, beramal, dan janganlah biar hari tidak berpuasa dan hari berpuasa adalah sama.” (Riwayat Bukhari)
Malam Lailatul Qadar menjadi rebutan setiap umat Islam. Malam tersebut tidak diketahui oleh sesiapa melainkan Allah jua. Lantaran itu, umat Islam digesa supaya melakukan amalan secara berterusan bagi mendapatkan malam tersebut. Mengalahkan malam-malam yang lain. Terkandung seribu rahmat dan amatlah beruntung sesiapa yang memperolehinya. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “ Sesungguhnya bulan ini ( Ramadhan) telah mendatangi kamu, yang di dalamnya terdapat satu malam yang nilainya lebih baik berbanding seribu malam. Oleh sebab itu, sesiapa yang menghormatinya, ia menghormati kebaikan itu semuanya. Tidak akan menghormati kebaikannya kecuali orang yang mulia.” (Riwayat Ibnu Majah)
Ramadhan merupakan bulan kemerdekaan. Sekalipun lapar dan dahaga sepanjang hari, namun kesihatan tetap milik kita. Bahkan dengan berpuasa dapat menyihatkan tubuh badan terutamanya sistem penghadaman yang sering bekerja setiap hari tanpa henti. Di saat berpuasa seseorang bebas dari perhambaan makan dan minum. Ini merupakan antara nikmat kemerdekaan yang tersirat di sebalik berpuasa.
Sejarah membuktikan tentang kehebatan orang yang berpuasa. Hayatilah kisah Thalut. Beliau telah melarang bala tenteranya meminum air yang terlalu banyak sekalipun dalam keadaan kehausan. Namun hanya segelintir yang mengikut arahannya. Malahan kejayaan mampu diraih oleh golongan yang sedikit itu (yang mampu menahan hawa nafsunya). Berjaya melawan hawa nafsu merupakan kemerdekaan yang hakiki.
Sembahyang sunat Terawih digalakkan pada bulan Ramadhan. Solat tersebut hanya Berjaya dihabiskan oleh orang yang sabar. Bilangan 20 rakaat bukanlah senang untuk dihabiskan, namun apabila mengenangkan galakan daripada Allah dan ganjaran pahala yang menanti, seseorang mampu melakukannya setiap malam di sepanjang Ramadhan. Ini juga dinamakan kemerdekaan. Kemerdekaan bukan sekadar melepaskan diri daripada cengkaman musuh bahkan termasuk juga jihad melawan hawa nafsu.
Ramadhan merupakan bulan yang terkandung seribu hikmah. Bulan kemerdekaan bagi golongan yang berpuasa. Bukan setakat menahan makan dan minum, meninggalkan perkara-perkara yang membatalkan puasa. Malahan dipenuhi dengan pengisian rohani kea rah kebaikan. Janganlah dibiarkan Ramadhan berlalu sepi. Gunakanlah peluang yang ada di hadapan mata dengan sebaiknya.
Akhirnya, sama-samalah kita renungi dan hayati sabda Rasulullah yang bermaksud: “……inilah bulan yang pada awalnya Allah menurunkan rahmat, di pertengahannya dikurniakan keampunanNya dan dipenghujungnya Allah membebaskan daripada api neraka Jahanam…” (Riwayat Ibnu Khuzaimah daripada Salman RA)
Menerusi sebuah hadis yang lain, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “ Apabila telah tiba Ramadhan, dibuka pintu-pintu Syurga, ditutup semua pintu neraka dan diikat semua syaitan.” (Riwayat Imam Bukhari, Muslim, Nasai’e, Ahmad, dan Baihaqi). Jelaslah Ramadhan merupakan bulan kemerdekaan! Merdeka daripada godaan Syaitan dan segala-galanya.
Ya Allah, bulan ramadhan telah tiba dan sudahpun menaungi kami, oleh itu selamatkanlah dia untk kami dan selamatkanlah kami untuknya. Kurniakanlah kepada kami keupayaan agar kami dapat melakukan puasanya dan menghidupkan malamnya. Dan berikanlah kepada kami kecekalan, kesungguhan dan kerajinan di dalamnya, dan lindungilah kami di bulan mulia ini daripada segala bentuk fitnah”
Ya Allah, telah datang bulan kami dengan selamat dan keislaman, dan aman dan keimanan, ampunilah segala kesalahan kami yang telah berlaku, dan bebaskanlah kami di dalam bulan ini daripada kehangatan api neraka, dan tolonglah kami untuk mempertingkatkan lagi amal kebajikan, wahai yang maha Mulia Lagi Maha Pemberi Kurnia, dan ampunilah dosa-dosa kami, dosa-dosa ibu bapa kami, begitu juga dosa-dosa semua muslimin muslimat yang masih hidup ataupun yang sudah wafat, dengan rahmatMu, wahai Allah yang Maha Pengasih. ameeenn...
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
NOTA buat da'ei. Apabila kita sendiri diuji dengan apa yang sering kita dakwahkan, itu petanda Allah sedang mendidik kita agar melaksanakan apa yang kita perkatakan. Bersyukurlah kerana Allah masih sudi mengingati kita dalam usaha kita mengingatkan manusia. -khas buat diri yang faqir ini-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan