22 Disember 2008

PRoGRaM BeRSaMa BeRiTa HaRiaN...

Salam ukhuwah dan Salam kasih sayang...
Alhamdulillah,selamat sampai ke Kedah jam 6.48pagi tadi.Dengan perasaan sebu bercampur geram,ana ucap syukur juga.Ana tak tau la macam mana perasaan Pak Tam dengan Hafiz.First time balik naik bas dalam keadaan yang amat-amat menyengalkan.huhuhu...
Namun begitu apabila terkenang kembali 3 hari lepas, perasaan agak terubat.Ana berkesempatan untuk bersama Krew Berita Harian dalam Kem Kecemerlangan Diri di Benum Hill,Raub, Pahang. Pengalaman baru yang agak menarik. namun akibat kesihatan yang kurang stabil, terasa sedikit terganggu dan tidak selesa sepanjang program. batuk yang tak surut ditambah demam pulak pada hari sabtu.Namun,dengan semangat dan kekuatan yang ada,tugasan perlu diteruskan.heheheee...rasa tak wajar baring saja dikatil sedangkan sahabat lain bergelut dengan tugasan masing-masing.
Pengisian yang agak padat sepanjang 3hari 2malam banyak memberi ana pengalaman baru.Kehadiran Dr.Fadzley,Waheeda dan Zainal Abidin juga memberi 'view'baru buat ana kerana untuk pertama kalinya ana melihat mereka berceramah secara 'live'.Dr.Fadzley dengan gaya yang penuh intelek,Waheeda dengan lenggok manja dan bersahaja dan juga Zainal Abidin yang 'sempoi' giler...jika sebelum ini ana hanya melihat mereka menyanyi sahaja di tv.satu pengalaman baru...
Untuk program kali ini ana diamanahkan tugas sebagai urusetia. bukan tak nak jadi fc tapi ana merasakan lebih baik jika diberikan tugas sebagai fc kepada adik-adik yang baru. Bukan nak bagitau yang ana dah expert dalam bidang fasilitator ni, tapi jika kita tak memberi peluang kepada wajah-wajah baru,nanti adik-adik selepas ana mungkin kurang berkeyakinan untuk mengendalikan program.Zalim tue...tak nak la..
Kehadiran Afifuddin,ust Md Nor,Bang Teh,Hasydan,Muhaimin,Bob,Hafiz,Farhan,Pak Tam,Husna,Farihah,Faridah,dan Mardhiah sebagai fc cukup banyak membantu.Tak lupa sahabat urusetia K.Aziey,Farih,Awi,Nazri dan juga Hafiz yang paling bertungkus lumus ana rasa dalam team kami.Pastinya penghargaan kepada team Berita Harian yang banyak memberi peluang dan ruang kepada kami dan bantuan serta nasihat yang amat berguna untuk bekalan pada masa depan.En Firdaus(Bos),Abg Edy,Abg Saiful,Abg Ben,Abg Saiful,Pak Tam,Akmar,dan sesapa lagi yang terlibat.Terima kasih yang tak terhingga atas jasa kalian.Moga ada kesempatan untuk bertemu dilain program.InsyaAllah...
Ana nak download gambar tapi tak ambik lagi..next time..Enjoooooyyyyy...

16 Disember 2008

GRaViTi HaTi...

Graviti Hati: Daya Tarikan Hakiki

“ kenapa semua orang tinggalkan saya? Apa salah saya?”
“kami sekarang umpama retak menanti belah…”

Memiliki ramai kawan, sahabat dan orang-orang terdekat adalah antara perkara yang disenangi oleh setiap manusia. Dunia terasa sunyi tanpa orang-orang untuk disayangi dan menyayangi. Namun berapa banyak keluhan seperti yang disebut di atas, sama ada terluncur dari mulut ataupun setakat keluhan di dalam hati? Saya pernah menerima Khidmat Pesanan Ringkas(SMS) yang berbunyi “ A lot of people will walk in and out of your life, but only true friends will leave footprints in your hearts…”.
Ya, benar! Memang ramai oang yang datang dan pergi dalam hidup kita, tetapi hanya sahabat sejati yang meninggalkan kesan di hati kita. Banyak perhubungan terjalin, ada yang berkekalan dan tidak kurang yang putus di tengah jalan. Kita bergerak setiap hari dalam arus manusia, namun berapa ramai yang ‘bermakna’ bagi kita? Ada orang yang di depan mata, tapi bukan siapa-siapa bagi kita. Ada yang jauh dipisahkan benua, tetapi kita berusaha sedaya upaya untuk terus berhubung. Semacam ada satu daya tarikan antara orang-orang tertentu sehingga berlaku ikatan atas berbagai label dan nama- persahabatan, kepimpinan, kepengikutan, kekeluargaan, kerakyatan dan sebagainya.

DAYA TARIKAN DI SELURUH ALAM SEMESTA
Daya tarikan dalam perhubungan antara manusia suatu yang sangat kompleks. Mari kita lihat alam semesta. Semoga daripadanya kita dimudahkan untuk memahami daya tarikan antara manusia. Mula-mula, graviti bumi. Kehidupan di muka bumi menjadi selesa dengan adanya gravity yang cukup kuat untuk ‘memegang’ benda-benda agar tidak melayang-layang atau terapung-apung di udara. Bayangkan kalau kita tinggal di bulan yang gravitinya sangat kurang. Bagaimana pula keadaannya kalau gravity bumi terlalu kuat sehingga sukar kita mengangkat kaki untuk berjalan?
Ingat lagi eksperimen mudah sewaktu zaman sekolah, bagaimana daun tumbuhan bergerak mencari sumber cahaya? Akarnya bergerak ke dalam tanah mencari sumber baja. Air mengalir dari tempat tinggi ke tempat rendah. Semuanya ada kaitan dengan ‘daya tarikan’.
Penyelidik mutakhir mendapati adanya daya tarikan antara seluruh semesta (bintang-bintang, matahari, bulan, planet, dan lain-lain) semuanya bergerak dalam paksi yang tersendiri secara stabil tanpa perlanggaran antara satu sama lain. Malah dikatakan seluruh semesta ini tertarik ke satu pusat tarikan paling kuat disebut ‘Black Hole’. Maha Suci Allah yang menciptakan segalanya dengan Maha Bijaksana.

TAK DILIHAT OLEH MATA, TAPI DIRASAI OLEH INDERA
Daya tarikan terbukti wujud, tanpa dilihat oleh mata lahir, tetapi dirasai oleh seluruh indera kita. Menyedari wujudnya daya tarikan di seluruh alam jagat, saya ingin menarik fokus kepada persoalan mengenai daya tarikan paling bermakna antara manusia dari perspektif yang jarang diperkatakan umum, untuk sekadar menjadi renungan bersama. Lebih khusus lagi, apakah daya tarikan paling bermakna antara manusia yangb dilantik Allah sebagai pemakmur alam, memikul amanah sebagai khalifah dan hamba di muka bumi milik Allah ini?


SOAL HATI
Perhubungan adalah soal hati. Apa juga perhubungan yang ‘bermakna’ di antara manusia adalah soal hati, tidak kira bagaimana ia tercetus. Tutup mata dan bayangkan orang-orang yang bermakna dalam hidup kita, pasti ada ‘rasa’ yang hanya kita sendiri memahami. Lihat pula kelompok manusia ramai dalam mana-mana perhimpunan umum yang tidak ada apa-apa hubungan dalam hidup kita. Apa yang dirasakan? Tentu tidak sama dengan membayangkan orang-orang yang ada ‘hubungan’ dengan kita. Soal ‘rasa’ adalah soal hati. Kesan daya tarikannya dirasa apabila ada sesuatu yang saya panggil ‘graviti hati’ antara sesama manusia.

GRAVITI HATI SESAMA MANUSIA
‘Graviti Hati’- inilah yang melahirkan rasa kasih sayang, ukhuwah, persaudaraan sehingga kita dengan sukarela menjadikan orang-orang tertentu begitu istimewa dalam hidup kita. Seluruh fokus hidup kita terarah kepadanya. Apa yang mereka lakukan begitu memberi kesan terhadap perasaan kita. Sedih dan gembira; marah dan tenang; rindu dan benci. Malah tidak keterlaluan kalau saya katakan, orang-orang ini seolah-olah menentukan bahagia atau deritanya kehidupan kita.
Soalnya, pasti kita sedari ini adalah perkara yang di luar kemampuan kita untuk mengawalnya. Tak semudah kita memegang bola dan membalingnya. Mengapa? Kerana kita makhluk yang lemah, perlukan kekuatan dari Dia Yang Maha Gagah. Segalanya adalah di bawah kekuasaan Allah, Tuhan yang Maha Pencipta dan Pemilik Mutlak seluruh alam :

“…Dialah yang menjadikan orang tertawa dan menangis. Dialah yang mematikan dan menghidupkan. Dialah yang menciptakan berpasang-pasangan lelaki dan perempuan dari air mani apabila dipancarkan…” (An Najm: 43-46)

Dialah juga yang menciptakan gravity hati antara hamba-hambaNya. Dia pemilik seluruh graviti yang wujud.

KEMERDEKAAN MENGURUSKAN GRAVITI HATI
Sebagai makhluk yang dilantik memegang amanah khalifah pentadbir muka bumi dengan pendekatan sebagai ‘hamba’ yang mesti tunduk kepada peraturan syariat-Nya, kita diberi kebebasan untuk menyubur atau meracuni graviti hati yang mengikat atau meretakkan hubungan antara kita. Dia memberi kita kebebasan untuk menyubur atau meracuni graviti hati sesame kita, kebebasan yang tidak diberi kepada bumi, bulan, bintang, matahari, gunung-ganang dan makhluk yang lain.
Kita adalah makhluk dan hamba yang tidak berdaya, namun kita ada Dia Yang Maha Gagah! Maka untuk menangani ‘soal graviti’ ini, mintalah kekuatan daripada-Nya.

SUBURKAN GRAVITI HATI KEPADA ALLAH
Pilihan paling bijak adalah memastikan graviti hati kita lebih kuat terikat kepada Dia yang empunya seluruh alam supaya apa jua yang cuba menjauhkan kita dari orang-orang yang bermakna dalam hidup kita, ‘kejauhan’ itu akan dapat ‘ditampung’ dengan kekuatan graviti antara hati kita dengan Dia Yang Maha Tinggi.
Daya tarikan terhadap fizikal, terhadap wang ringgit, terhadap anak-anak, pasangan, sahabat handai semuanya tidak sekuat graviti hati yang menjadi pusat rasa. Namun tidak akan ada satu kuasa pun yang berdaya melemahkan graviti yang kita suburkan terhadap Allah. Apabila kita menjadikan Allah sebagai pusat graviti hati, maka terpeliharalah segala jenis graviti yang lain dibawah satu ikatan yang paling puncak- ikatan Tauhid. Graviti antara hati yang diikat oleh ikatan akidah.

IKATAN PERHUBUNGAN PALING KUKUH
Siapa yang lebih menyayangi? Siapa yang daya tarikan hatinya kepada Tuhan paling kukuh, maka dialah yang palling berdaya untuk menyayangi orang lain. Betapa tidak, kerana ikatan hati yang berteraskan daya tarikan kepada zat Yang Maha Agung mampu mengatasi apa juga daya lain yang cuba memisahkan. Kasih sayang tanpa syarat hanya yang berasaskan kekuatan hubungan hati dengan pencipta- Dia yang mencipta orang-orang yang bermakna dalam hati kita.

IBLIS DAN SYAITAN, PEMECAH ‘GRAVITI’ ANTARA HAMBA DAN TUHAN
Makhluk yang tidak pernah berputus asa sejak dahulu, kini dan sehingga kiamat, untuk memutuskan daya tarikan teragung antara manusia dan Tuhan adalah iblis dan syaitan- atas nama ego dan kesombongan. Makhluk terkutuk ini menggunakan segala pendekatan licik untuk melemahkan graviti antara manusia dengan Tuhan agar dia mendapat seramai-ramainya ‘kawan’ di dalam neraka sejak tercetusnya ‘konflik’ antaranya dengan Nabi Adam di syurga dahulu. Hanya Allah yang mampu memberi kekuatan untuk berhadapan dengan makhluk ini.

KASIH SAYANG TANPA SYARAT
Maka jika terasa seolah-olah semua orang ‘lari’ daripada kita, apabila ukhuwah terasa mula retak, apabila rumahtangga semaki berkocak, apabila persahabatan menuju nokhtah, renungilah hal ini. Langkah pertama yang paling penting adalah pastikan graviti hati kita tarikan utamanya adalah kepada Allah. Graviti antara hati yang sama-sama ditarik kea rah Tuhan Yang Maha Esa tidak akan putus, malah mampu merentas alam ke alam hingga berjaya menduduki syurga di akhirat di mana Tuhan sendiri menampakkan diri-Nya kepada penghuni syurga.
Inilah resepi utama yang memberi kuasa graviti paling ampuh antara hati kita sehingga tidak lagi retak atau pecah sepanjang kita menghadapi apa jua takdir yang telah ditetapkan dalam perjalanan melalui alam dunia kea lam syurga tempat asal dan tempat kembali hamba-hamba yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang.
Kasih sayang dan cinta tanpa syarat hanya mampu dimiliki dan diberi oleh hati yang graviti terkuatnya adalah kepada Sang Pencipta graviti itu sendiri dan jangan biarkan iblis dan syaitan mengambil peluang untuk melemahkan graviti ini!
Maka kenalilah Tuhan dengan sesungguhnya supaya kita mampu menjadikan Dia sebagai pusat graviti kita.

05 Disember 2008

JoM SaMa-SaMa MeMeRiaHKaN..

Salam Ukhwah dan Salam Kasih Sayang..
Jemputan untuk semua sahabat dan sahabiah ke Majlis Ijtimak Aidiladha dan Himpunan Mahasiswa dan pelajar bersama Menteri Besar kedah.
Tarikh: 11/12/2008
Tempat: DEwan Sri Mentaloon (Kediaman MB)
Masa:9 pagi

Mari sama-sama kita memenuhi undangan ini. Gerakan mahasiswa bermula di sini.
Syukran...

01 Disember 2008

PeRKoNGSiaN iDea Di RuaNGaN SuRaT PeMBaCa aKHBaR BeRiTa HaRiaN-28/11/2008

Mahasiswa disaran dekati masyarakat musim cuti


PELAJAR sekolah sudah mula bercuti hujung tahun. Saya pasti ketika ini cuti semester bagi kebanyakan universiti tempatan sudah bermula. Pelbagai cara dibuat untuk mengisi musim cuti panjang.

Bagi ibu bapa daripada golongan berada, mereka membawa anak melancong di dalam dan luar negara. Ada juga pulang bertemu datuk dan nenek di kampung selain menghadiri majlis perkahwinan keluarga dan saudara mara.

Dalam pada itu, sesetengah pelajar universiti dan lepasan sekolah menengah mengisi masa cuti dengan bekerja sambilan sama ada di stesen minyak, pusat beli-belah atau menjadi jurujual. Namun, apa juga pekerjaan yang dilakukan, harus memberi manfaat kepada diri dan keluarga, sekurang-kurangnya tidak terlalu mengharapkan ibu bapa untuk membeli kad prabayar telefon bimbit, pakaian dan mengisi minyak kereta atau motosikal.

Apa pun, dalam usaha membantu negara melahirkan modal insan yang sering kali dicanangkan, perlu kita lihat bagaimana pengisian musim cuti seorang mahasiswa yang memberi manfaat kepada diri dan orang lain.

Pada pendapat saya, musim cuti adalah masanya mahasiswa turun kepada masyarakat. Apatah lagi dengan cuti agak panjang ini, pelbagai aktiviti boleh dilakukan bagi memberi manfaat kepada masyarakat sekeliling dan juga diri sendiri.

Jika di kampus, kita disibukkan dengan tugasan, mengulangkaji, ujian dan juga hal-hal akademik yang lain, kenapa tidak pada musim cuti begini, kita sumbangkan sesuatu pula kepada masyarakat. Sekurang-kurangnya kita seimbangkan keperluan fizikal dan mental kita. Kita bukan sekadar menerima tetapi juga memberi.

Pelbagai aktiviti boleh dilakukan mahasiswa, baik secara individu mahupun melalui persatuan. Kemahiran insaniah seseorang mahasiswa boleh diterapkan melalui aktiviti membawa mahasiswa kepada masyarakat.

Saya kira ada pelbagai medium yang boleh digunakan oleh mahasiswa untuk men dekati masyarakat. Kewujudan pelbagai badan organisasi baik disediakan kerajaan mahupun NGO sewajar-nya digunakan dengan sebaik mungkin.

Apabila seseorang mahasiswa pulang ke kampung halaman, di sana pasti ada sesebuah organisasi ataupun persatuan menganjurkan program di tempat berkenaan. Ia terpulang kepada kebijaksanaan seseorang mahasiswa untuk mencari dan mengambil peluang yang disediakan. Gunakan sebaik mungkin peluang yang ada untuk memberi manfaat kepada semua.

Mahasiswa hari ini perlu sedar tuntutan perlu dilaksanakan. Jangan tunggu masyarakat menjemput kita kepada mereka, sebaliknya kita perlu dekat kepada masyarakat. Buangkan semua persepsi menganggap mahasiswa kini tiada jatidiri dan tiada nilai.

KHAIRUL MARDZIYAH MD HUSSAIN,
Timbalan Presiden Persatuan Mahasiswa Kedah,
Universiti Malaya.
NOTA buat da'ei. Apabila kita sendiri diuji dengan apa yang sering kita dakwahkan, itu petanda Allah sedang mendidik kita agar melaksanakan apa yang kita perkatakan. Bersyukurlah kerana Allah masih sudi mengingati kita dalam usaha kita mengingatkan manusia. -khas buat diri yang faqir ini-