07 Ogos 2012

~MeNGaPa PeRLu BeRBaiK SaNGKa~


Tujuh sebab mengapa kita mesti bersangka baik;
Satu. Kita mesti sentiasa bersangka baik kerana mungkin kita mempunyai sijil-sijil kecemerlangan kokurikulum atau akademik, tetapi kita tidak memiliki 'sijil' yang mengatakan bahawa kita antara yang dijanjikan syurga seperti 10 sahabat Nabi.
Dua. Kita mesti sentiasa bersangka baik kerana manusia lain juga seperti kita yang mempunyai setiap detik peluang untuk berubah ke arah yang lebih baik. Mungkin semalam dia seorang yang kedekut tetapi tidak mustahil dalam sekelip mata, hari ini dia menjadi seorang yang pemurah dan mungkin tiada yang menyangka bahawa hari esok dialah yang paling ikhlas dalam memberi.
Tiga. Kita mesti sentiasa bersangka baik kerana semua kita adalah bersaudara. Andai hati sahaja mudah berprasangka, bagaimana mahu menebar bahagia?
Empat. Kita mesti sentiasa bersangka baik kerana percayalah setiap sesuatu yang berlaku pasti ada sebabnya. Usah mudah mengangkat jari telunjuk menghukum namun eratkan jemari membentuk persefahaman dan kesatuan hati.
Lima. Kita mesti sentiasa bersangka baik kerana diri sendiri bukan seorang yang maksum dan sepi daripada melakukan dosa. 
Enam. Kita mesti sentiasa bersangka baik kerana hanya Allah yang mengetahui segala isi hati orang lain. Adakah kita fikir kita seperti Tuhan yang boleh membaca isi hati orang lain? Na'uzubillah.
Tujuh. Kita mesti sentiasa bersangka baik kerana kita hanya seorang hamba yang mesti taat kepada Penciptanya. Husnuszonlah sentiasa selama masih bernyawa!
"Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa. Dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang. Dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain..."
(Surah al-Hujurat, ayat 12)
"Kenapa dia tak bertudung? Oh, mungkin kerana dia dibesarkan dalam suasana keluarga yang tidak menitikberatkan agama. Maka aku yang tahulah harus mengajaknya."
"Kenapa dia pulang ke universiti bersama seorang lelaki? Oh, mungkin itu abangnya kerana aku juga tidak mengenali siapa keluarganya. Atau mungkin sesuatu telah berlaku dalam perjalanan sehingga dia terpaksa menumpang lelaki tersebut."
"Kenapa dia ku rasakan makin menjauh tanpa sebarang SMS atau call? Oh, mungkin dia sedang sibuk menguruskan sesuatu. Aku sebagai sahabat mestilah memahaminya."
"Kenapa dia tak membalas senyumanku waktu berselisih ke kelas tadi? Oh, mungkin dia tidak perasan atau ada sesuatu yang membelenggu fikirannya waktu itu. Tidak mengapa, lain kali bisa memberi senyuman lagi."
"Kenapa dia mengumpat sedangkan dialah yang suka memberi tazkirah? Oh, dia juga seperti aku manusia yang sering melakukan kesilapan dan kadang-kadang terlupa. Aku dan dia sebagai sahabatlah yang mesti saling menasihati dan mengingatkan."
Seorang mukmin itu bersangka baik terhadap orang lain. Dihapuskan segala wasangka buruk yang terbit di dalam hati dengan alasan yang mungkin menjadi sebab sesuatu kelakuan dilakukan.
Dan seorang mukmin itu juga mempunyai sifat berhati-hati. Jangan bersangka baik tidak bertempat hingga meninggalkan langkah untuk berjaga-jaga.
Tatkala terbangun pada pukul 3 pagi, terdengar bunyi dari rumah jiran. Kelihatan susuk tubuh seorang lelaki yang bertopeng penuh di muka. Langsung tidak bertempat sangkaan baik mengandaikan bahawa tuan rumah yang bercuti di Pulau Langkawi baru sahaja pulang ke rumah sambil memakai topeng Spiderman sedang mengumpil pintu rumah sendiri.
Andai mulut tidak bisa berhenti daripada mengatakan sesuatu yang tidak berfaedah dan yang mungkin mengundang dosa, maka diam itu lebih baik.
Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Kemudian, maka hendaklah ia berkata akan yang baik atau hendaklah ia diam. Dan barangsiapa beriman kepada Allah dan Hari Kemudian, maka hendaklah ia memuliakan jirannya. Barangsiapa beriman kepada Allah dan Hari Kemudian, maka hendaklah ia memuliakan tamunya." (Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim)

05 Ogos 2012

~PeLiHaRa LiDaH DaLaM PeRGauLaN~


Terlajak perahu boleh diundurkan tapi kalau terlajak kata buruk padahnya. Hanya kerana tutur kata boleh menyinggung perasaan seseorang sehingga musnah sebuah persahabatan. Tutur kata atau komunikasi penting dalam sebuah hubungan untuk menyalurkan maklumat atau berkongsi rasa. Tidak semua yang kita fikir sama seperti fikiran orang lain. Misalnya, tidak semua orang boleh menerima gurauan secara kasar dan begitu juga sebaliknya. Bagaimana pula jika kita mempunyai ramai sahabat dan sering dikhianati kerana keikhlasan kita? Panduan berikut mungkin dapat membantu anda:
ü  Berdiam diri
Sebenarnya berdiam diri itu lebih baik daripada berkata-kata. Cara berdiam diri itu ialah dengan tidak menyebut keburukan kawan dihadapannya atau dibelakangnya. Manusia dilahirkan tidak sempurna. Oleh itu, kita seharusnya berpura-pura tidak tahu tentang keburukannya. Jangan sekali-kali menokok tambah keburukan sehingga terjadinya perdebatan dengan teman lain.
Sebagai kawan, kita perlu mencari kebaikan di dalam diri sahabat kita bukan keburukannya. Tidak perlu mencari-cari keburukannya dan mengungkit-ungkit tentangnya. Andai kita lihat teman yang disayangi sedang berusaha melakukan sesuatu janganlah bertanya kenapa dan bagaimana. Mungkin dia mahu merahsiakannya. Paling penting berikan sokongan moral yang tidak berbelah bagi.
ü  Jangan bocorkan rahsia
Jika rahsianya dikhabarkan kepada kita maka hendaklah menyimpan rahsia itu sebagaimana kita menyimpan rahsia sendiri. Jangan sekali-kali membocorkan rahsia tersebut walaupun pada rakan terdekat sehingga dia sendiri memberitahu kepadanya. Mungkin suatu hari nanti berlaku perselisihan faham antara kita dengannya, rahsia itu masih perlu dipelihara dengan sebaiknya. Jika kita membocorkannya juga maka itu adalah sifat orang yang tercela dan kotor hatinya.
ü  Tidak mencela rakan-rakannya
Sebagai insan yang baik budi pekertinya janganlah anda mencela rakan-rakan yang disayanginya lebih-lebih lagi suami dan anak-anaknya. Menyebut tentang keburukannya atau suaminya atau anaknya boleh dikatakan mengumpat dan hukumnya adalah haram. Cuba anda perhatikan diri anda terlebih dahulu sebelum mencela orang lain. Jika anda rasa diri anda tidak sempurna begitu juga orang lain.
Sekiranya anda ingin mencari teman yang bersih daripada segala aib dan keburukan mungkin anda terpaksa mengasingkan diri kerana anda pasti tidak akan menjumpai teman seperti itu. Sekiranya kebaikannya lebih banyak daripada keburukannya, maka itulah sebaik-baik kawan yang dicari dan tidak ada lebih baik daripada itu.
ü  Menegurnya perkara yang benar
Memang kita seboleh-bolehnya mahu menggembirakan rakan sejati dengan kata-kata yang indah didengar. Tetapi, kita boleh memarahinya atau menegurnya walaupun menimbulkan kemarahannya jika meninggalkan suruhan agama iaitu menunaikan apa yang disuruh dan meninggalkan larangan.
Dalam perkara ini anda tidak boleh berdiam diri malah berdosa jika tidak menegurnya. Walaupun teguran anda mungkin menerbitkan rasa marah dalam hatinya, anda harus tidak mengendahkannya. Walaupun boleh mengeruhkan suasana tetapi faedahnya amat besar.
ü  Memelihara hati
Sebagaimana kita memelihara lidah kita juga perlu memelihara hati daripada segala sangkaan buruk terhadap sahabat. Sangka buruk ialah sifat keji dan sentiasa menganggap apa sahaja yang dikerjakan oleh sahabat kita itu menuju keburukan.
Jika memang dengan jelas perbuatannya itu ke arah keburukan sebaik-baiknya kita anggap dia terlalai atau terlupa agar kita terhindar daripada sangka buruk. Jadi menutup keburukan-keburukan orang lain dan pura-pura tidak Nampak atau tidak tahu mengenai keburukannya itu adalah sikap terpuji. Tidak akan sempurna iman seseorang muslim itu, selagi ia tidak mencintai diri saudaranya sepertimana dia mencintai dirinya sendiri.
ü  Mengelakkan pertengkaran
Janganlah anda berkecil hati atau mengambil hati jika sahabat anda mengucapkan kata yang kurang enak didengar. Selidik terlebih dahulu sebelum membuat kesimpulan. Sekian lama anda bergaul dengannya sekalipun dia tidak pernah mengeluarkan kata-kata kasar. Tetapi, hari ini dia benar-benar menggores hati dan perasaan anda. Mungkin berlaku musibah terhadap dirinya sehingga dia boleh mengeluarkan kata-kata tersebut.
Jika berlaku pertengkaran dengannya lebih baik anda meninggalkan pertengkaran itu daripada terus bertegang leher dengannya. Ingatlah bahawa perkara yang paling berat untuk menyalakan api kedengkian dalam hati sesama saudara adalah menimbulkan pertengkaran dan perbalahan.
Kedua-dua sifat ini merupakan punca utama kepada permusuhan dan putusnya sebuah perhubungan. Bukanlah berputus hubungan itu mula-mulanya berlaku dengan timbulnya pendapat yang berbeza kemudian dengan kata-kata yang tidak enak di dengar dan akhirnya beradu kekuatan atau pergaduhan.
ü  Memuliakan rakan-rakan
Ingatlah bahawa sifat seorang Mukmin yang  mulia itu, hatinya sentiasa mengenangkan kebaikan kawan agar timbul dalam hati kawan itu perasaan saling hormat menghormati, sayang menyayangi dan perasaan suka memuliakan kawan yang lain. Sebaliknya sifat orang munafik pula, pekertinya buruk, hatinya selamanya akan memendam segala macam keburukan orang lain.
Sewaktu kita datang berkunjung ke rumah sahabat dan dengan tiba-tiba teman sekerjanya datang berziarah, kita perlu melayan teman-temannya dengan baik sekali dan anggaplah mereka sebagai teman kita sendiri. Ceritakanlah perkara yang baik-baik kepada temannya dan layanlah mereka sebaiknya. 
NOTA buat da'ei. Apabila kita sendiri diuji dengan apa yang sering kita dakwahkan, itu petanda Allah sedang mendidik kita agar melaksanakan apa yang kita perkatakan. Bersyukurlah kerana Allah masih sudi mengingati kita dalam usaha kita mengingatkan manusia. -khas buat diri yang faqir ini-