Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam ukhuwwah
dan salam kasih sayang. Salam Keceriaan dan salam kebahagiaan. Moga momentum
ibadah di bulan Rejab kian meningkat dalam persiapan memasuki madrasah Ramadhan
yang dinanti. InsyaAllah..
Sunnah alam, sebagaimana berputarnya bumi membawa kepada
siang dan malam, begitu juga perjalanan sebuah kehidupan. Ujian dan dugaan
datang silih berganti. Ada yang sudah diduga dan ada yang datang tiba-tiba.
Memahami erti taklifan seorang hamba, yang mana apa juga yang ada semua milik
dia, jadi persiapan fizikal dan mentak perlu ada setiap masa dengan harapan,
takdir tidak disoal dan aturan-Nya tidak diragui. Kerana Dia Maha Tahu apa yang
terbaik untuk hamba-Nya. Sifat manusia yang terburu-buru, memburu apa yang mahu
tanpa memikirkan adakah itu yang diperlukannya. Maka Allah Maha Kuasa ada bagi
mengatur apa yang terbaik untuk kita. Lihatlah dengan mata hati yang dipandu
iman, bukan nafsu yang tidak pernah puas.
Dalam sedar atau tidak, setiap masa kita akan diuji. Itu
tanda kasih-Nya Allah pada kita. Cuma kadang-kadang kita tidak sedar kita
sedang diingatkan oleh-Nya, lantas kesulitan dalam hidup kita letakkan pada
sesiapa sahaja yang kita mahu. Walhal, apa yang berlaku pasti dari tangan kita
juga. Tiada siapa mampu memberi mudharat kepada kita jika tanpa izin dari-Nya.
Sekuat mana juga mereka, kita pasti selamat andai itu yang Allah mahu. Namun,
bukan selamanya hidup ini tenang tanpa gelora, nanti pasti jemu juga kita.
Allah amat memahami setiap kehendak hamba-Nya. Jadi, andai diuji, cuba teliti
kembali, telusuri sepanjang perjalanan ini, apakah kita ada meminta apa-apa
yang membawa kepada ujian hari ini. Jika kita mohon kekuatan, Allah mungkin
beri ujian untuk kita lebih kuat. Jika kita minta kematangan, ujian ini mungkin
pemangkin kepada apa yang kita minta. Begitu juga hal-hal lain, cumanya kita
perlu lebih banyak berfikir. Allah juga sering mengingatkan kita dalam ‘nota
cinta-Nya’ supaya kita sentiasa berfikir.
Sahabatku sayang, yang ku pasti saat ini kita menghadapi
segala macam ujian. Berat atau ringan bukan pada ujian yang kita terima, namun
tergantung atas kecil atau besar pergantungan kita kepada-Nya. Redhalah, kerana
disana ada kemanisannya. insyaAllah. Ku nukilkan kata-kata indah yang mungkin
bisa membatu kita semua untuk lebih positif dengan apa juga ujian daripada-Nya.
Kerana pengakhiran hidup ini, kita akan tetap kembali pada-Nya, jadi.. usah
buang masa dengan menjauh daripada Dia. Hamburkan kesedihan dan segala rasa
dengan rintihan dan airmata dalam sujud kita. Mungkin juga Allah rindu mahu
mendengar rintihan dan esak tangis kita memohon hanya pada-Nya.
“Bila engkau memandang segalanya dari Tuhanmu, yang
menciptakan segalanya, yang menimpakan ujian, yang menjadikan sakit hatimu,
yang membuat keinginanmu terhalang, serta menyusahkan hidupmu, pasti akan
damailah hatimu kerana masakan Allah sengaja mentaqdirkan segalanya untuk
sesuatu yang sia-sia. Bukan Allah tidak tahu deritanya hidupmu, retaknya
hatimu, tapi mungkin itulah yang Dia mahu kerana Dia tahu hati yang sebeginilah
yang selalunya lebih lunak dan mudah untuk dekat dan aqrab dengan-Nya.
Allahuakbar!”
“Apabila seseorang itu banyak mengadu kepada manusia, maka
sedikitlah pengaduannya kepada Allah, lantaran telah dilepaskan kekecewaannya
dan pengaduannya kepada manusia, maka di manakah Allah dihatinya? Semakin
banyak pengaduan, masalah dan kekecewaan yang ingin dikongsi dengan Allah, maka
makin banyak masa akan dipautkan bersama Allah..inilah puncanya orang-orang
beriman bangun di tengah malam, kerana pengaduannya yang hakiki sebetulnya
untuk Allah Subhanahu wataala”
“Usah menangis kerana ujian yang datang tetapi menangislah
kerana dipilih oleh Allah Yang Maha Pengasih untuk diuji. Perancangan Allah
adalah yang terbaik untuk semua”
“Sekuat manapun godaan yang kita hadapi, sekukuh apa pun
cubaan yang harus kita jalani, sebesar apa pun kegagahan yang kita rasai,
sejauh mana pun hari-hari yang kita lalui, jangan pernah berhenti berharap pada
pertolongan ILAHI, jangan pernah berhenti berdoa kepada RABBI kerana harapan
adalah sumber kekuatan, kerana doa adalah pintu kebaikan& kerana doa adalah
senjata orang beriman”
“Hidup ini indah, walau bersulam lara&gundah, kaki mesti
terus melangkah, andai tersadung atau rebah, bukan bererti mesti mengalah..Dalam
retak menanti belah, biar langkah terpaksa dipapah, biar segunung cabaran
melimpah, jangan sebut ungkapan kalah..Jangan terlalu ikut ungkapan ‘tepuk dada
tanya selera’ kerana selera sentiasa berubah, kalau nak lebih selamat
cubalah..tepuk dada, tingkatkan usaha dan kuatkan iman”
“Jika ketenangan yang dicari, Allah akan terus uji hati kita
hingga pada satu masa kita akan rasa indahnya tawakal pada-Nya, dan itulah
nikmat ketenangan dalam jagaan-Nya”
“Bila Allah cepat makbulkan doamu, maka dia menyayangimu.
Bila Dia lambat makbulkan doamu, maka Dia ingin mengujimu. Bila Dia tidak
makbulkan doamu, maka Dia merancang sesuatu yang lebih baik untukmu, oleh itu
sentiasalah bersangka baik kepada Allah dalam apa juga keadaan sekalipun kerana
kasih sayang Allah mengatasi kemurkaan-Nya”
“Orang yang ketawa itu belum pasti dia gembira. Orang yang
bersedih itu pasti dia belum bahagia. Tapi orang yang beriman tetap senyum
walau apa juga yang menerjah setiap ruang waktu hidupnya. Hatinya sentiasa
bahagia kerana dia merasakan bahawa Allah sentiasa bersama”
“Bahagianya kekasih Allah, dihadiahi ujian yang amat hebat
sebagai tanda kasihnya. Begitulah rupanya berkasih dengan Allah. Tak akan
dibiarkan terlena dalam kenikmatan yang melimpah tetapi dilindungi dengan ujian
dan cubaan yang tidak berkesudahan. Panjatkan kesyukuran kerana itu tanda
sayang Allah kepada hamba-Nya. Allah Maha Tahu apa yang terbaik bagi hamba-Nya”
“Allah always with us, just reach into your heart and Allah
is always there. Always remember that you are never alone even nobody with
you!”
Untuk akhirnya, moga kata-kata ini dapat membantu kita
membetulkan cara fikir kita. Ku tinggalkan kalian dengan kata-kata Allah Yang
Maha Penyayang dalam firman-Nya yang bermaksud: “ Janganlah kamu bersifat lemah
dan janganlah kamu bersedih hati, padahal kamulah orang yang paling tinggi
darjatnya jika kamu orang yang beriman.” (Surah Ali Imran:139). Tataplah ‘surat
cinta’ dari-Nya, insyaAllah akan tenang hati kita. Ingatlah, selepas petir,
guruh dan hujan.. akan ada pelangi indah hadiah Allah untuk kita. Inna ma’al
‘usra yusra…itu janji Allah. Yakinlah! Put your trust in Him! Wallahu’alam.
2 ulasan:
coretan yang bagus dan penuh, namun...masakan sedap wa lazis..untung siapa orangnya..mesti tambah 30kg..terima kasih segalanya Allah yang PUNYA!!!ilaihi raji'uun.ASSALAMUALAIKOM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH
testing...testing...ok, ada
Catat Ulasan