01 Jun 2012

~MeNCaRi BeRKaT ReJaB, SYaaBaN & RaMaDHaN~


     
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Perkongsian untuk semua.MOga ada manfaatnya. InsyaAllah.

           Setiap bulan mempunyai keistimewaan tersendiri dan kerana itu bagi yang mengetahui, tidak sabar menanti kehadirannya untuk mengumpul sebanyak mungkin pahala. Sesungguhnya Allah menganugerahkan rahmat kepada hamba-hamba-Nya dalam bulan berkenaan. Rejab mulia dengan Israk Mikrajnya, Syaaban dengan malam Nifsu Syaabannya manakala Ramadhan dimuliakan dengan Lailatul Qadarnya. Antara rahmat Allah yang terbesar kepada hamba-Nya adalah dengan melipatgandakan pahala setiap amalan yang dilakukan dalam bulan itu.
           Wahai Muslimah sebagai hamba-Nya, jadilah insan yang tamak dalam urusan amal ibadat ini. Kautlah sebanyak mana keuntungan dan kemuliaan kerana ia datang hanya setahun sekali. Janganlah mengambil sikap menangguh dalam urusan amal ibadat kerana terlalu sibuk dengan urusan dunia. Buangkan dalam fikiran masih ada masa lagi tahun akan datang. Ingatlah, masa sentiasa bergerak dan tidak akan berpatah balik dan kita tak pasti tahun depan kita masih hidup, sihat atau tidak sibuk.
         Lihatlah realiti hari ini, tawaran Allah kurang mendapat tempat di hati kita. Hanya hati yang disinari dengan sinaran iman dapat menghargai tawaran Allah yang abadi ini. Manakala hati yang sudah terpaut dengan kebesaran dunia lebih terpikat dengan tawaran murahan yang bersifat sementara dan tidak kekal. Tidak dinafikan ganjaran syurga yang ditawarkan adalah perkara ghaib tetapi penurunan harga barang seperti pakaian jelas terlihat. Oleh kerana kita lebih mengutamakan perkara yang Nampak daripada yang ghaib, maka sudah semestinya kita cenderung memilih tawaran dunia daripada akhirat. Kerana itu tawaran Allah menjadi amat kecil sehingga tidak berdaya dilaksanakan. Sebenarnya, disinilah ujian menilai keimanan kita terhadap perkara ghaib. Berikutan itu, fadhilat atau kelebihan Rejab yang kita baca atau dengar seolah-olah satu dongengan yang tidak bermakna dan tidak sikit pun memberi kesan di hati.
    Apabila sikap begini terpahat di dalam hati, tidaklah mampu untuk merealisasikan sesuatu tindakan. Bahkan di dalam Al-Quran, Allah menempelak golongan ini seolah-olah ada mata tetapi tidak dapat melihat, ada telinga tidak dapat mendengar dan ada otak tetapi tidak dapat memikirkan. Allah Maha Melihat atas apa yang kita lakukan. Allah Maha Mendengar atas apa yang kita ucapkan. Allah Maha Tahu atas apa yang kita lintaskan di dalam hati. Allah memberi ganjaran atau balasan berdasarkan sejauh mana kita berusaha menghampirkan diri kepada Allah. Jika kita bersungguh-sungguh beramal mencari keredhaan Allah, Allah akan memberi balasan setimpal dengan usaha yang disumbangkan. Sebaliknya jika di dunia kita tidak begitu ambil pusing akan urusan ibadat, maka sudah tentu Allah tidak akan mempedulikan perihal hidup kita di dunia dan akhirat.
      Antara amalan-amalan yang dijanjikan limpahan pahala dan keberkatan ialah: Amalan waktu siang ialah puasa, solat sunat, tasbih, selawat, membaca Al-Quran, istighfar, sedekah dan seumpamanya. Manakala waktu malam diisi dengan solat tahajud, solat sunat tasbih, zikir, tasbih, selawat, baca Al-Quran dan istighfar. Sepanjang bulan Rejab, Allah melipatgandakan pahala dan keampunan serta mengangkat darjat di dalam syurga. Selain berpuasa, umat Islam digalakkan beristighfar. Bacalah doa istighfar Rejab yang banyak dinukilkan di dalam kitab-kitab. Allah melimpahkan keampunan dan rahmat yang tidak diberi pada bulan-bulan yang lain. Amalan bersedekah juga dibalas dengan ganjaran yang banyak. Dicatatkan bahawa barangsiapa bersedekah dalam bulan Rejab diberi ganjaran setiap sehelai bulu roma ditubuhnya dengan 1000 kebajikan, diangkat 1000 darjat dan dihapus 1000 kejahatan.
     Bersabar di atas segala kesusahan atau bala. Sekiranya kita bersabar atas segala kesusahan yang ditimpakan, Allah akan meningkatkan darjat kita sebagai manusia. Sentiasa bersyukur dalam setiap yang dikurniakan. Diberi senang kita bersyukur, ditimpakan kesusahan kita bersabar. Ada wang atau tidak sama sahaja kerana itu semuanya ujian. Sungguh banyak sekali keterangan ulama mengenai ganjaran dan kebesaran bulan Rejab. Yang lebih penting bukan setakat menghuraikan kelebihan, tetapi sejauh mana kita mengamalkan atau mengambil peluang daripada tawaran Allah ini. Adakah tindak balas kita sama hebat ketika mendengar ada jualan murah dengan tawaran Allah yang menjanjikan kemuliaan di bulan Rejab, Syaaban dan Ramadhan. Tawaran yang tiada tolok bandingnya. Tawaran yang kekal abadi serta menjamin kebahagiaan di dunia dan akhirat.
          Sehubungan itu, buatlah ujian pada diri sendiri dengan melihat sejauh mana kita memberi respon terhadap tawaran ukhwariah dan apakah respon kita terhadap tawaran dunia. Bandingkan kecenderungan atau kemahuan diri kita apabila berhadapan dengan kedua-dua tawaran ini. Yang mana lebih menggiurkan atau menyelerakan? Dari sini barulah kita tahu pendirian dan sikap kita. Tepuk dada tanyalah iman. Hanya diri sendiri yang mengetahui rahsia peribadi. Bertolak dari sini, barulah kita memperbetulkan hala tuju yang perlu diambil untuk keselamatan diri kita di dunia dan akhirat.
       Sesudah itu barulah kita boleh menaruh harapan dalam perjalanan bertemu Yang Esa. Harapan kita biarlah kita untung dan bahagia di dunia dan akhirat. Sama-samalah kita berusaha kea rah memperbaiki hidup sepanjang Rejab ini supaya Allah menambahkan ketaqwaan dan kekuatan kita untuk melakukan amal ibadat dalam bulan Syaaban dan Ramadhan yang bakal menjelang. Semoga kita berpeluang bertemu dan berada dalam bulan yang paling mulia- Ramadhan dan semoga kita sentiasa mendapat keredhaan Allah. Ameen..

Oleh: Mashitah Abd Rahman (Majalah NUR)       

Tiada ulasan:

NOTA buat da'ei. Apabila kita sendiri diuji dengan apa yang sering kita dakwahkan, itu petanda Allah sedang mendidik kita agar melaksanakan apa yang kita perkatakan. Bersyukurlah kerana Allah masih sudi mengingati kita dalam usaha kita mengingatkan manusia. -khas buat diri yang faqir ini-