Memaparkan catatan dengan label ~ShaRiNG iS CaRiNG~. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label ~ShaRiNG iS CaRiNG~. Papar semua catatan

10 Februari 2016

~NAK PILIH COURSE APA???~



Assalamualaikum warahmatullahi wabarakaatuh. Salam kasih sayang dan salam keceriaan buat semua. Bagaimana khabar semuanya..ok? Harusnya ok la ya.

     Sebagaimana yang kita semua tahu, atau mungkin jugak tak tahu..sekarang ni musim demam UPU. Apa tu??? Bukan musim panas ke kat utara dan musim hujan kat Selatan dan Borneo ke? Ya lah jugak, tapi pengetahuan am macam tu kurang menarik perhatian pelajar lepasan SPM, STAM, STPM, Asasi dan Matrikulasi sekarang ni. Haaa..faham dah ke? Ok, tapi sebelum kita panjangkan topik ni marilah kita sama-sama doakan saudara-saudara kita yang sedang diuji dengan musibah banjir pada saat ini. Moga Allah mempermudahkan urusan mereka semuanya dan memberikan kekuatan untuk menghadapi ujian ini. insyaAllah.

     Baiklah, kembali kepada topik asal kita tentang pemilihan universiti dan kursus yang bersesuaian. Hurm, dilemma ramai pelajar hari ni untuk pilih kursus. Setiap hari saya juga diajukan soalan yang sama. Sampai dah boleh hafal kursus-kursus setiap universiti. Macam ni lah anak-anak yer, awak semua pilihlah course yang paling diminati. Fisrt, tetapkan focus dan matlamat. Contohnya, awak berimpian untuk menjadi seorang Doktor Sakit Puan, takkan la awak nak mohon course Kesusasteraan Melayu kan, for sure la awak akan mohon Sarjana Muda Perubatan. Begitulah kisahnya. Bak kata uncle Stephen Covey ‘Begin what the end in mind’. Apa kebenda pulak tu. Cenggini la nak, awak lihat 5 atau 10 tahun ke depan, dimana awak akan berada. Kalau awak nak berada dalam bilik berhawa dingin, mengadap insan-insan yang memerlukan pertolongan dari sudut psikologi dan emosi macam saya sekarang ni, maka pilihlah kursus Kaunseling&Psikologi. Tapi kalua memang awak tak kisah untuk berada dimana sahaja pada jangka waktu masa depan, awak tetap kena pilih jugak kursus-kursus yang teringin untuk diterokai. 12 pilihan dalam UPU online tu bukan sikit anaaakk, banyak tu. Paling penting awak kena jadi insan yang mempunyai pelajaran. Tak kisah bidang apa, kerana setiap pekerjaan itu ada faedah yang berbeza buat ummah dan negara.

      Agak-agaknya faham tak apa yang saya cuba sampaikan ni yer? Kalau students saya ni memang dah faham la sebab cikgu diaorg ni memang beria-ia kalau menerangkan tentang kursus-kursus dan prospek kerja lepas belajar ni. Ayat paling mudah yang selalu saya guna adalah, ‘pilih kursus yang awak minat, sebab awak akan habiskan 3 ke 4 tahun untuk belajar kursus tersebut.  Tak kisahlah kursus apa, yang penting minat!’dan of course la kemampuan. Dah kalua awak dapat pointer 2.5 dengan MUET band 1 takkan nak minta course Undang-Undang walaupun awak suka pergi Mahkamah. Begitu! So..masa yang ada hampir 2 bulan ni.. fikirkan betul2. Bincang dengan family, Kaunselor, cikgu2, senior2 dan juga individu2 yang awak rasa dapat membantu. Jangan terburu-buru buat keputusan. Kementerian bagi awak masa 3 bulan lebih untuk fikir, untuk pilih, untuk ubah dan untuk tetapkan apa pilihan yang awak nak.

       Ingat! Selalu yang berlaku bila tak dapat tempat kat universiti nanti, kawan-kawan lain semua dah packing beg nak pergi, awak baru kalut nak cari kaunselor..hurmmm..masa tu kaunselor boleh cakap harap bersabar je la. So, jangan ambik mudah! Semua kena tau..cara nak susun 12 pilihan ikut keutamaan semua tu, kena ada ilmu nak buat. Bukan semberono je ye. Last but not least, istikharahlah! Bukan nak kawen je kena buat istikharah ye anak-anak, nak buat pilihan kursus pun kena buat istikharah. Moga Allah bombing hati kita untuk pilih yang terbaik! InsyaAllah.
Selamat berbincang, selamat mengkaji dan selamat memilih. Ingat! Anda sedang memilih masa depan. So, be serious! Hokkayyy.. saya doakan yang terbaik buat kalian. Moga mendapat apa saja yang dihajati, yang dicita-citakan.

   

Saya sertakan pautan UPU dan juga web untuk check syarat am dan khas sesebuah program pengajian, guna sesawang ni untuk tengok apa yang layak untuk dimohon sesuai dengan kelulusan kalian. Siiru ‘alaa barakaatillah.


- Mohon UPU


- Check Syarat Am dan Syarat Khusus Program




15 September 2015

~Hari-hari tarbiah awal Zulhijjah: Rebutlah ia!~

DIPETIK DARIPADA: http://ikram.org.my/v4/tarbiah/fikrah/item/2666-hari-hari-tarbiah-awal-zulhijjah-rebutlah-ia.html

Kita telah biasa mendengar soalan ini: Bagaimana mahu mencapai ‘Rabbaniyah’? Inilah hari-hari tarbiah telah tiba menemui kita. Tarbiah pada hakikatnya dikaitkan kepada pendidikan dan para ulama mendefinisikan tarbiah dengan maksud proses pendidikan yang menyampaikan kepada suatu kesempurnaan secara sedikit demi sedikit.
Di saat kesempurnaan hanya bagi Allah, pakar pendidikan sepakat tentang ungkapan “kesempurnaan yang diidamkan”, dalam pada itu keazaman, kesungguhan, usaha, bekerja, keutuhan dan kemahuan ialah jalan tunggal untuk memenuhi kesempurnaan yang diidamkan dan rentetan itu tercapai proses tarbiah.
Makna ‘hari-hari tarbiah’ pada keseluruhannya ialah merebut hadiah-hadiah Allah secara berterusan kerana hadiah-hadiah Allah, anugerah dan cahaya-Nya turun sedikit demi sedikit.
Sekiranya terdapat hati yang sentiasa berjaga, ruh yang cergas dan jiwa yang hidup, maka ia akan tetap mengambil hadiah-hadiah ini, cenderung kepada keredhaan, menerima dunia di dalam hatinya, meluaskan alam di dalam ruhnya, lalu dia bangun menuju kepada perubahan dan akhlak yang tinggi.
Oleh sebab itu, terdapat pesanan Nabi s.a.w: “Sesungguhnya Tuhanmu telah menyediakan untukmu hari-hari yang penuh dengan hadiah. Maka rebutlah ia.”
Merebut hadiah-hadiah ini ialah keazaman, kemahuan dan keteguhan pendirian kita untuk mendapatkannya, kerana harta ghanimah dalam peperangan tidak akan diperolehi melainkan setelah bersusah payah dan menanggung derita. Begitulah juga hari-hari yang penuh berkat ini.
Sesungguhnya jika diperhatikan, banyak amal ketaatan dan ibadah dapat dilakukan pada hari-hari sepuluh: puasa, tilawah al-Quran, sunat nawafil, sunat-sunat, sedekah, persiapan untuk Idul Adha, menggembirakan masyarakat, menghulurkan khidmat bakti, hubungan yang berterusan kepada Allah seperti qiamullail, munajat, zikir dan doa.
Saya katakan, sesungguhnya Allah telah melebihkan hari-hari ini kerana telah bersumpah di dalam al-Quran: “Demi fajar, dan malam yang sepuluh.” (al-Fajr: 1-2)
Dan berdoa sambil bermunajat kepada-Nya: “...Dan supaya mereka menyebut nama Allah pada hari yang telah ditentukan.” (al-Hajj: 28)
Menurut Ibnu Abbas r.a., “hari yang telah ditentukan” ialah sepuluh hari pertama bulan Zulhijjah. Semua ini datang untuk mencapai tujuan yang Allah kehendaki ke atas setiap Muslim dalam kehidupan seharian, iaitu atas dua peringkat.
Peringkat Pertama: Fenomena umat yang dapat kita saksikan
Hal ini dapat dilihat di mana para jemaah datang dari segenap penjuru dunia semata-mata untuk mengerjakan ibadah haji, membesarkan syiar-syiar Allah, kemudian kembali seakan-akan bayi yang baru lahir yang disebutkan dengan kelahiran yang baru bagi umat. Kini kita telah mengetahui dari fenomena ini dua perkara di mana kita mulakan tahun baru dengan lembaran yang putih bersih.
1. Sibuk dengan urusan akhirat
Tidak bermakna mengurangkan kerja dunia, kerjaya dan usaha mencari kesenangan. Bagaimana kita mahu menjadikan pekerjaan di dunia sebagai pintu kepada akhirat berdasarkan kata-kata salaf: “Usaha tungkus-lumus kamu di dunia adalah juga usaha untuk akhirat”. Inilah dia yang Allah telah tentukan bahawa tidak sibuk kecuali dalam urusan akhirat. Inilah risalah yang jelas kepada setiap Muslim yang tidak mengerjakan haji. Kesibukan dalam urusan akhirat adalah anugerah daripada Allah dan kelebihan untuk hamba-Nya. Firman Allah:
“ Sesungguhnya Kami telah mensucikan mereka dengan (menganugerahkan kepada mereka) akhlak yang tinggi iaitu selalu mengingatkan (manusia) kepada negeri akhirat.” (Shad: 46)
2. Bersungguh-sungguh memburu syurga
Apa yang kita lihat semua kerja-kerja haji penuh dengan kesukaran, kepenatan dan kesungguhan sejak ketibaan, tawaf, mabit di Mina, sa’ie dan melontar jamrah seakan-akan Allah berpesan kepada kita dalam risalah-Nya: Syurga sangat mahal sedang menantimu, maka apakah persiapan kamu untuknya?
Nabi saw pernah berpesan kepada sahabatnya: “Adakah ada orang yang bersungguh-sungguh untuk memburu syurga?”. Lalu para sahabat menjawab: “Kami adalah golongan yang bersungguh-sungguh untuknya”. Sabda Nabi lagi: “Katakanlah insya-Allah.”
Iaitu dengan berusaha gigih dan bersungguh-sungguh, bukan dengan berehat-rehat dan sambil lewa. Sekalipun ini adalah teguran Nabi s.a.w. kepada para sahabat, maka apakah kita tidak mengambil teguran Nabi ini sedangkan keadaan kita hari ini seperti yang anda lihat?!
Peringkat Kedua: Peringkat kehidupan seharian kita
Ini adalah hari-hari tarbiah yang kita idamkan mampu mencapai kesempurnaan. Mudah-mudahan Allah memberi keampunan kepada kita, yang merupakan jalan tunggal menuju ke syurga. Firman Allah s.w.t:
“Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada surga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa.”  (Ali Imran: 133)
Kita huraikan hari-hari tarbiah seperti berikut:

1. Tarbiah jiwa
Melalui ketaatan ini dan kesannya dalam jiwa, memberikan kita tenaga dan bekalan bagi menghadapi pertempuran hidup. Ketaatan tidak akan tercapai melainkan apabila diikuti dengan keikhlasan kepada Allah. Ketaatan mempunyai kesan yang mendalam kepada masyarakat dan kehidupan.
Oleh itu, jika tidak ada kesan dalam merubah tingkah laku dan mengislah masyarakat, maka wajiblah merujuk tahap keikhlasannya kepada Allah. Sekiranya masih tidak ada kesan dalam menjinakkannya, melembutkannya, menambahkan iman serta melapangkan hatinya, maka wajiblah ia merujuk tahap keikhlasannya kepada Allah. Firman Allah:
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman ialah mereka yang bila disebut nama Allah gemetarlah hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayatNya bertambahlah iman mereka (karenanya), dan Hanya kepada Tuhanlah mereka bertawakkal, (iaitu) orang-orang yang mendirikan solat dan yang menafkahkan sebagian dari rezeki yang kami berikan kepada mereka.” (al-Anfaal: 2-3)
Sekiranya jiwa-jiwa telah mencapai dua perkara yang lalu, maka mudahlah manusia mentaati seperti yang diperintahkan Allah, sama seperti berbuat baik kepada ibubapa dan isteri mentaati suami, rakyat mentaati pemimpin, tentera mentaati ketua dan murid mentaati gurunya. Ini adalah rahsia sabda Nabi s.a.w: “Tiada ketaatan kepada makhluk dalam perkara maksiat kepada Khaliq”. Dengan itu, kita menjadikan hari-hari ini sebagai tarbiah kepada jiwa supaya berada dalam ketaatan dalam menghadapi cabaran hidup.

2. Mengubah cara hidup
Kebosanan, menyerah diri, sikap negatif , kekalahan dalaman, kelemahan iman dan sebagainya yang terus membelenggu manusia hari ini kembali melemahkan jiwa mereka dan tidak memperbaharuinya. Oleh itu, hati berkarat dan ruh terpadam cahayanya, jiwa menjadi lemah dan putus asa. Justeru, kenapakah kita tidak memusnahkan faktor yang menyebabkan fenomena ini dengan mengubah cara hidup kita?
Inilah dia peluang hari-hari ini dengan nilai tarbiah yang tinggi kerana pintu ketaatan terbuka dan pelbagai jenis yang seiringan dengan alam yang masing-masing sentiasa taat kepada ketetapan Allah di mana berlaku suasana keseragaman setelah setiap Muslim berjaya mengubah kebiasaannya dan menentukan tindak balasnya dan menguasai dirinya. Seterusnya menjadikan dirinya kini memulakan tahun yang baru dengan suatu kelahiran yang menang ke atas diri dan nafsunya, termasuklah ia menang dengan mudah ke atas konflik hidupnya.
3. Berhubung dengan Allah
Sesungguhnya Nabi s.a.w. telah menyatakan ketinggian pahala amal soleh pada hari ini mengatasi pahala jihad. Ini kerana, amal soleh adalah untuk Allah sebelum, semasa dan setelah amal soleh dilakukan. Sebelumnya, amal soleh dimulakan dengan niat dan harapan, semasa amal soleh dilakukan diiringi dengan ketelusan dan tiada riya’ dan selepasnya diiringi perasaan takut dan mengharap agar Allah menerima amalnya.
Demikianlah seorang Muslim pada setiap masa di hadapan pintu-pintu yang sentiasa terbuka berpindah kepada penyembahan untuk Allah semata-mata. Firman Allah s.w.t:
“Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) agama yang lurus”. (Al-Bayyinah: 5)
Melalui kunci ini, adat (kebiasaan) bertukar kepada ibadat, perkara-perkara yang membelitnya bertukar kepada ketaatan dan amalan-amalan biasa bertukar kepada penyembahan yang ikhlas. Bukankah hal ini merupakan suatu latihan berterusan yang menghubungkannya kepada Allah pada hari-hari tarbiah?
4. Tarbiah saling berlumba-lumba
Potensi manusia yang sedia ada ingin bertolak dan kembali kepada pemiliknya dengan segala kebaikan dan ketaatan yang pelbagai jenis, bermakna membawa potensi dan membebaskan keupayaan manusia dalam suasana yang Allah telah jadikannya bersedia untuk bersaing dan berlumba-lumba secara hakiki. Firman Allah:
“Dan untuk yang demikian itu hendaknya orang berlumba-lumba.”  (al-Mutaffifin: 26)
“Untuk yang demikian” adalah amal soleh, amalan akhirat, pelbagai jenis ketaatan, memburu syurga di samping pada hari ini kita kehilangan suasana tarbiah dan iklim tarbiah yang soleh untuk bersaing dan berlumba. Inilah adalah pemberian dan hadiah dari Allah kepada kita semua dan peluang saling berlumba-lumba dalam suasana tarbiah yang murni dan suasana rabbani yang dilakukan di bawah pengawasan dan pemeliharaan Allah.

5. Tarbiah yang menyeluruh
Amal soleh adalah perkataan yang lengkap dan menyeluruh, dan mempunyai kesan tarbiah kepada diri, masyarakat, kehidupan dan umat yang dapat disentuh dan dilihat. Hari-hari sepuluh ini datang sebagai latihan percuma untuk memperolehi pengalaman tarbawi yang pelbagai seperti kefahaman dan kepuasan sehingga terbina dan terbiasa di mana perlakuan amali seragam dan senada yang dapat dipraktikkan di rumah bersama isteri, suami dan anak-anak.
Begitu juga dalam pekerjaan yang penuh kemurniaan, pengislahan, perhubungan dan persahabatan. Begitu juga bersama kaum kerabat yang penuh kebaikan, hubungan, belas kasihan dan keakraban. Begitu juga bersama masyarakat yang penuh khidmat bakti, akhlak terpuji dan hubungan yang rapat yang saling kasih-mengasihi, bersaudara, bertolong-tolongan, bertolak ansur, bantu-membantu, faham-memahami, meringkan bebanan dan lengkap-melengkapkan. Begitu juga bersama umat, mengambil berat, memberi perhatian serius, membela dan berjuang.
“Adakah setiap kita telah bertanya tentang dirinya bagaimana kita menyambut ketibaan hari-hari sepuluh ini?”
Peluang ini masih berterusan. Maka, seandainya betul anda telah menyambutnya, segala pujian bagi Allah yang telah menunjukkan kita kepada semua kebaikan dan teruskanlah mengambil hadiah dari Allah s.w.t. kepada kita dengan melakukan ketaatan.
Seandainya anda belum menyambutnya, peluang masih terbentang di hadapan kita dengan segera bertaubat yang sebenarnya, berazam untuk merebut hari-hari yang masih tinggal ini. Ayuhlah kita mengumumkan perang ke atas maksiat yang telah menenggelamkan ketaatan kita sebelum ini. Jadikanlah syiar kita seperti firman Allah s.w.t:
“Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keridhaan) kami, benar- benar akan kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan kami. dan sesungguhnya Allah benar-benar beserta orang-orang yang berbuat baik.”  (al-Ankabut: 69)
Tulisan: Dr Jamal Madhy
Terjemahan: http://bit.ly/1iIy6WU
Sumber asal: http://bit.ly/1FHmrwB

~PeeR aSsiSTeD LeaRNiNG~

Assalamualaikum. salam kasih sayang untuk semua.
Entri kali saya nak ceritakan tentang satu kaedah pembelajaran yg sedang diperkenal oleh Bahagian Matrikulasi KPM. Sebenarnya kaedah telah digunakan di lebih 30 negara seluruh dunia. Ringkasnya kaedah ini menyokong kepada cara pembelajaran abad ke 21.. independent learner.
Suasana kita di Malaysia secara jujurnya kurang mempraktikkan independent learning ini. konsep pengajaran yg berasaskan guru mengajar dan murid menerima lebih praktikal dan diterima, terutamanya di peringkat tadika hingga ke sekolah menengah. bahasa ringkasnya K 12. Kindergarden dan 12 years ahead. pembelajaran kita bukan berpusatkan kepada student centred. justeru konsep PAL ini diperkenalkan sebagai satu kaedah pembelajaran abad 21 yg lebih berpusat kepada pelajar.


Program yang telah berlangsung selama 3 hari 2 malam di Kolej Matrikulasi Perak ini telah memberikan pendedahan yang sangat banyak kepada guru dan juga wakil pelajar. PAL yang sebelum ini dikenali sebagai PASS (Peer Assisted Study Session) telah diperkenalkan oleh pihak BMKPM sejak tahun 2013 lagi.

Batch pertama yang melalui sistem ini kini sedang berada dalam tahun kedua pengajian di peringkat Ijazah sarjana Muda. dan daripada respon yang diberikan, pelajar masih meneruskan kaedah pembelajaran ini di peringkat universiti. Mengapa sebenarnya kaedah ini diperkenalkan adalah dengan melihat prestasi bekas pelajar Matrikulasi yang tidak 'sustaine' dlam pembelajaran di peringkat universiti. Sebagaimana yang kita ketahui, kehidupan di Universiti sangat berbeza dgn alam persekolahan dimana pelajar perlu bergerak sendiri tanpa boleh bergantung harap sepenuhnya kepada pensyarah. Perkara ini bukan suatu yg mudah andai sedari pelajar tidak membudayakan cara pembelajaran yg berpusatkan pelajar. jadi, tidak hairanlah mengapa sesetengah pelajar Matrikulasi yang mendapat keputusan cemerlang di peringkat Matrikulasi, tiba-tiba 'drop' pada tahun pertama pengajian.

Atas keprihatinan dan rasa tanggungjawab pihak BMKPM telah memperkenalkan kaedah yang pada saya sgat bagus jika konsisten melakukannya. Pelajar perlu dididik untuk mencari sendiri sumber pembelajaran daripada bergantung harap sepenuhnya kepada pensyarah/ guru. itu adalah gaya pembelajaran abad 21. Jika kita lihat pelajar2 kita, kebanyakannya memiliki gajet yang terlebih canggih daripada guru/ pensyarah sendiri. Namun, setakat mana penggunaan gajet yg canggih itu dalam membantu proses pembelajaran mereka? masih tidak memuaskan. Gajet lebih digunakan utk berhibur berbanding mendapatkan maklumat yang diperlukan.

untuk mewujudkan dan mengukuhkan gaya pembelajaran abad ke 21 ini bukanlah satu tugas yang mudah, namun ia juga bukan mustahil. jika semua pihak menggembling tenaga dan berusaha mewujudkan suasana berfikir dalam kalangan pelajar, pelajar akan lebih termotivasi untuk berusaha dengan lebih baik. PAL ini masih baru, konsepnya seakan-akan 'study group', 'totur-tutee', pensyarah muda dan lain-lain lagi. Namun ianya sgat berbeza. Pemahaman yang jelas perlu lebih terperinci supaya pelajar dapat memahami konsep PAL ini dengan lebih tepat dan akhirnya membantu pelajar untuk menguasai akademik dgn cemerlang.






Saya kongsikan video tntg pengenalan dan strategi perlaksanaan konsep ini. diharapkan dapat menjelaskan pemahaman kita semua. Diharapkan konsep pembelajaran ini dapat dipraktikkan seterusnya pelajar2 kita akan lebih bermotivasi tinggi dan memiliki daya "sustainable' walau dimana sahaja mereka tercampak. Sebagai seorang guru/ pensyarah, tiada harapan yg lebih besar terhadap anak didik kita melainkan kita mengharapkan mereka dapat menggapai impian dan cita2 yang mereka impikan. insyaAllah. Moga Allah membantu kita semua dalam menggerakkan usaha kecil dalam kesungguhan kita berbakti kepada pewaris negara.


Majlis penutup, sesi fotografi bersama Pengarah BMKPM,Dr Haji Zainal Aalam Bin Hassan, PPHEP BMKPM, En Sukor Bin Beram, Pengarah Kolej Matrikulasi Perak dan PPHEA BMKPM. 

17 Ogos 2015

~Lawatan Bersama Pelajar FiST UniKL KMKN&KMK ke UniKL IPROM~

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakaatuh. Salam Bahagia dan salam kasih sayang. Moga dalam barakah Allah semuanya. Lama benar rasanya tidak meng'update' laman ini. terlalu banyak maklumat yang nak dikongsikan tetapi masa sering memburu hingga tak sempat rasanya nak mengarang lagi. idea2 yang konon2 kreatif tercurah di atas helaian kertas sahaja. tunggu masa nanti akan ditransferkan..insyaAllah.

Oklah..so..for this time sharing, nak la saya kongsikan pengalaman hujung minggu lalu. Alhamdulillah, pengalaman yg saya kira amat membantu dalam penambahan maklumat yg perlu disampaikan lagi kepada pelajar. kira menghadiri kursus perkembangan kerjaya pulak rasanya. Lawatan kali ini ke UniKL IPROM yang bertempat di Taman Shamelin Perkasa, Kuala Lumpur. Perjalanan hampir 10 jam dengan penuh disiplin pelajar menepati masa(dah kena bebel sebab gerak lambat, so masing2 dah tak berani nk buat hal.Alhamdulillah) dengan 3 kali berhenti atas sebab yang munasabah.hehehe..Kami selamat tiba di Hostel IPROM jam 9 malam. kemudian rombongan dari Kolej MARA Kulim turut tiba. Suasana hostel(apartment 3 bilik) mengingtakan saya pada pengalaman menjadi warden di Masterskill. hampir sama keadaan rumah dan susun atur perabutnya. 

Aktiviti malam tamat bila semua sudah tidak mampu bersuara lagi.
So, aktiviti hari seterusnya bermula. Kami sepatutnya gerak jam 7.30pg, tetapi atas sebab2 yg tak dapat dielakkan kami bergerak pd jam 8.15pg. Dalam keadaan jalan yg jem itu, kami dengan tak sengaja telah tersesat.Hurmm..pengalaman menempuhi jem yg dapat dulu. Alhamdulillah dengan bantuan Haji Yunin, Senior Lect. di IPROM kami telah selamat smpai, sarapan dan acara pun bermula. Saya kongsikan foto2 yang mungkin dapat menarik minat sesiapa yang mahu menyerlahkan bakat dan kebolehan dalam bidang Design&Manufacturing. 

 Bersemangat Encik ni menerangkan tentang mesin memproses alatan2 dibawah ini sehinggakan saya pun tertarik. Terlupa nama mesinnya apa.Tapi caranya macam nk print kertas je.Buka fail, pilih design..tekan print..selepas beberapa jam/minit, keluarlah produk2 dibawah. Btw..yg hujung sekali belah kanan itulah Tuan Haji Yunin..sangat kebapaan dan berpengalaman luas.



 pelajar diberikan peluang utk buat sendiri. ada sesi soal jawab dan 3 org pelajar dapat la robot2 UniKL yg berlari2 dalam iklan kt TV3 tu.hihi



 Dua gambar di atas adalah mesin yang menghasilkan design ikut lakaran yg dibuat.pergerakannya sngat halus dan teliti. terkaku sekejap tengok pergerakan mesin ni.


 Ok..this one really amazing.betapa Allah Maha Kuasa mengilhamkan manusia menghasilkan mesin sebegini.besi yang halus tu fungsinya memotong besi2 yang telah didesignkan.dan produknya adalah yg dipegang oleh sahabat saya tu.sangat halus dan sharp potonganya. Canggih!

 Tool&Die..inilah mendenya..tak kaitan dgn mati sama sekali. kursus yg sering student saya konpius.bukan je student je..ni ha..kaunselornya sekali. Alhamdulillah..dapat pencerahan.lebih kepada penghasilan mould yg akan digunakan utk mencetak produk.





 Gambar kat atas semua proses penerangan kegunaan setiap mesin. masuk ke IPROM ni pelajar sendiri akan kendalikan mesin dengan pantauan pensyarah.



Yang diatas ni pun sama. dapat dilihat step by step penghasilan bahan. klau salah bahan, alat ini akan reject. so impress ok! \



Inilah produk2 yg pelajar2 UniKL IPROM dah hasilkan. so..nmpak kepelbagaian kt situ..bukan produk2 besi je ye.hihi..

Alhamdulillah, bnyak ilmu baru yg saya dapat selain daripada sepasang sandal baru.hahaha..Moga ada manfaat juga buat bakal2 pelajar lepasan SPM/ STPM/ Diploma dan Matrikulasi untuk memasukkan kursus2 di UniKL IPROM sebagai destinasi pilihan anda untuk meneruskan pelajaran.

#sayabukandutaIPROM
#tapiseriuskursusIPROMsangatbest
#Buatpilihanygpalingbaik

SEkian, tinggal dulu...

02 Oktober 2012

~ALLaH LeBiH BeSaR DaRiPaDa MaSaLaHmu~

Assalamualaikumwarahmatullahiwabarakatuh. Salam ukhuwwah dan salam kasih sayang. Salam keceriaan di awal Oktober ini. Pantasnya masa berlalu, berbaki lagi kurang 3 bulan utk menghabiskan tahun 2012 ini. Allahurabbi, masa yang berlalu tidak akan kembali, sedangkan tanggungjawab belum berjaya dilunaskan sebaiknya. Alhmdulillah, Allah beri kesempata waktu untuk menimba ilmu daripada ust Pahrol Mohd Joui. Tokoh dakwah yang amat dikagumi. Kata-katanya sampai ke lubuk hati yang paling dalam. pujukan daripada Allah sampai dalam bahasa yang amat mudah. Allah, baiknya Allah.

untuk entry kali ini, ana kongsikan kata-kata nukilan yang berbahagia Ust Pahrol untuk renungan bersama. insyaAllah, akan dikupas dengan lebih lanjut apa yang disampaikan oleh beliau sebentar tadi dalam entry seterusnya. jadi, mari sama-sama kita dalami mengapa hidup ini tidak seindah mimpi.. lantas, di akhirnya, bersama kita koreksi diri..nikmat dan ujian, mana lebih banyak kita kecapi..hitunglah kesyukuranmu jangan dihitung kesukaran. itu penawar hidup bahagia. apa juga mehnah, ujian yang datang, JANGANLAH berkata. "Ya Allah, besarnya masalahku, TAPI katakan pada MASALAH, aku punya ALLAH MAHA BESAR!
insyaAllah, hidup ini adalah tanggungjawab kita, jadi tentukan jalan hidup kita supaya lebih indah hidup di alam sana. InsyaAllah..

~ " Seberat mana pun ujian yang Allah timpakan, pasti ada kasih sayang yang mendasari dan mengiringi ujian tersebut. Namun, akal yang matang berfikir dan hati yang tenang berzikir sahaja dapat merasai hikmah di sebalik setiap mehnah..." 

Bila kita benci dengan ujian, ertinya belum kenal Allah dan (kerana) tidak faham itulah cara (kaedah) Allah mengampunkan dosa kita. Bila kita gembira (terima dengan baik) ujian itu, kerana yakin bahawa yang datangkan ujian itu juga adalah Allah. Ia berikhtiar (berusaha) untuk menghilangnya dan dia berusaha untuk mendapatkan hikmahnya.

Rasulullah SAW bersabda, “barang siapa yang dikehendaki Allah pada orang itu kebaikan, maka Allah akan cuba dengan ujian-Nya.” Jadi, bila diuji, terimalah dengan baik dengan mencari hikmah-hikmahnya kerana tidak ada takdir Allah yang tidak ada hikmahnya. Orang soleh bila diuji, hikmah-hikmah ujian akan mendekatkan mereka kepada Allah.


~ “ Pilihan Allah mengandungi hikmah yang baik jika diterima dgn penuh keinsafan dan kesabaran. Yang penting apa yang berlaku ‘di dalam hati’ kita, bukan apa yang berlaku diluar diri kita. Allah berikan yang pahit, jadikan ubat. Allah berikan yang pedih, anggaplah itu pembedahan jiwa untuk mengeluarkan penyakit-penyakit hati kita..”

Rasulullah SAW bersabda : “ Barang siapa yang dikehendaki Allah pada orang itu kebaikan, maka Allah akan cuba dengan ujian-Nya.” 

~ Kenalilah Tuhan yang mengujimu..


~ Tanda Allah cinta, Allah berikan hati yang mengingatiNya. ♥
Acapkali Allah uji dengan musibah untuk 'memaksa' hati mengingatiNya.
Lalu benarlah... bukti Allah cinta, Allah uji. Dan ada Jannah di sebalik musibah!


 ~ Apa yang diberikan sebenarnya lebih banyak daripada apa yang kita inginkan. 

Nikmat yang telah Allah beri, jarang kita syukuri. 
Nikmat yang belum dimiliki, itulah yang sering kita ingini...

Namun tidak salah untuk terus meminta... tetapi pintalah dengan hati yang bersyukur. 
Allah tidak akan gerakkan hati kita untuk berdoa, jika DIA tidak ingin memakbulkan doa itu. 

Justeru, kemampuan hati kita untuk berdoa... itulah yang terlebih dahulu perlu kita syukuri! 
Syukur... kerana dikurniakan hati yang masih mampu bersyukur.


~ Bila hati kita dah dipenuhi dengan cinta Allah dan RasulNya, insyaAllah cinta manusia akan datang dengan sendirinya... Allah takkan mensia-siakan kesabaran dan ketabahan hambanya ketika diuji. Sesungguhnya dunia ini adalah medan ujian untuk kita semua sebagai hambaNya-stress, kesibukan masa, keluarga, anak2, kesenangan, kesusahan, sihat, sakit...semuanya adalah ujian untuk kita. Tempat yang stre
ss-free tiada di dunia. Ia ada di akhirat sana. Tempat kita bersenang-lenang!

Sebagai muslim, kita ada Allah. Allah lebih besar dari segala-galanya. Usah takut dan usah bimbang kerana ujian Allah itu turun kepada kita kerana Dia tahu kita boleh menghadapinya. Jadi, jika kita ditimpa sebarang ujian samada kesenangan atau kepayahan, marilah kita contohi Nabi SAW. Baginda akan terus bersolat untuk mengadu kepadaNya tentang ujian yang dihadapinya...

~Ustaz Pahrol Mohd Joui~

Wallahu'alam..

17 September 2012

~Peristiwa di Bulan Zulkaedah~

Assalamualaikum.. Selamat Pagi 1 Zulkaedah 1433...=)

Nama Bulan Zulkaedah diambil daripada perkataan "qa'ada" bermaksud untuk duduk. Inilah bulan suci ketiga yang mengharamkan sebarang pertempuran. Kebanyakan orang juga mula menghentikan aktiviti perniagaan mereka untuk duduk dan bersedia untuk menunaikan Haji.

Bulan Zulkaedah adalah satu dari empat bulan haram. Bulan haram adalah bulan yang amat dimuliakan. Bulan haram adalah bulan persaudaraan, perdamaian dan kemaafan. Masyarakat kafir Quraisy menangguhkan permusuhan dan peperangan di bulan haram maka kita sebagai umat Islam hendaklah lebih menghormati bulan bulan haram ini. 

Eratkan silaturrahim, yang bermusuh, damaikanlah, yang berdendam, berlapanglah dan yang renggang, rapatkanlah, InsyaAllah hidup penuh berkat dan harmoni. Tiada ibadah khusus dalam bulan Zulkaedah. Bulan Zulkaedah adalah bulan permulaan musim haji. Namun begitu sebahagian besar ulamak mengatakan bahawa umrah adalah lebih afdhal di bulan Zulkaedah berdasarkan Rasulullah SAW mengerjakan umrah-umrah beliau di bulan 
Zulkaedah dan haji tamattu' juga dimulakan di bulan Zulkaedah. 

Daripada Abu Bakrah, sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda, maksudnya: 

Sesungguhnya zaman itu berputar sejak awal waktu Allah menjadikan langit-langit dan bumi. Satu tahun mengandungi dua belas bulan ini, darinya empat bulan haram, tiga dari empat bulan ini berturut-turutan iaitu Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram dan satu bulan berasingan ialah Rejab di antara Jamadil Akhir dan Sya'aban.

PERISTIWA BERSEJARAH :-

1. Peperangan Bani Quraizah

Peperangan ini berlaku pada tahun ke 5 Hijrah. Setelah tentera Ahzab telah ditewaskan maka malaikat Jibril AS telah memberitahu Rasulullah SAW bahawa Allah SWT telah memerintahkan nabi agar pergi ke perkampungan Bani Quraizah. Bani Quraizah ialah satu puak Yahudi yang telah terlibat bergabung dengan tentera Ahzab, mengepung umat Islam semasa perang Ahzab. Rasulullah SAW yang masih belum sempat melucutkan pakaian perangnya telah mengerah tentera Islam mengepung perkampungan Bani Quraizah sehinggalah mereka menyerah kalah.

2. Perjanjian Hudaibiyah

Peristiwa ini terjadi pada bulan Zulkaedah, penghujung tahun ke 6 Hijrah. Antara sebab berlaku Perjanjian Hudaibiyah tersebut, Nabi SAW mengumumkan kepada kaum muslimin keinginan baginda Rasulullah SAW untuk berangkat pergi ke Mekkah bagi melaksanakan satu lagi ibadah iaitu dengan menunaikan ibadah umrah. Hasil pengumuman tersebut yang diberitahu itu telah mendapat sambutan yang sangat baik oleh sekitar 1 400 orang sahabat dari kaum Muhajirin dan Ansar pada masa itu. 

Nabi Muhammad SAW berihram untuk ibadah umrah tersebut ditengah perjalanan dan membawa bersama-sama binatang yang boleh disembelih atau dikorbankan (al- hadyu) supaya ianya menjadi pentunjuk atau sebagai memberitahu kepada orang-orang lain bahawa Nabi Muhammad SAW keluar sedemikian bukan bermaksud untuk berperang tetapi ianya semata-mata untuk menziarah ke Baitulullah iaitu Ka'abah, bagi menunaikan ibadah Umrah tersebut. 

Dalam perjalanan ke Makkah, Rasulullah SAW telah disekat oleh kafir Quraisy dan dihalang dari memasuki Makkah. Berlaku beberapa perundingan dan ia membawa kepada perjanjian damai yang dinamakan "Perjanjian Hudaibiyah". Dalam perjanjian itu, Rasulullah SAW dibenarkan memasuki Makkah dan mengerjakan umrah hanya pada tahun hadapan serta tahun seterusnya dan gencatan senjata selama sepuluh tahun di antara Makkah dan Madinah.

3. Bai'atur Ridwan

Peristiwa ini berlaku sebelum terjadinya Perjanjian Hudaibiyah, Rasulullah SAW telah mengutus Usman RA ke Makkah untuk membahas masaalah mengapa rombongan Rasulullah SAW dihalang dari memasuki Makkah untuk mengerjakan umrah. Sesampainya di sana Usman bin Affan RA ditahan selama beberapa waktu oleh orang-orang Quraisy. Dalam pada itu sampailah berita kepada Nabi Muhammad SAW bahawa Usman bin Affan RA telah mati dibunuh oleh orang-orang Quraisy.

Maka Nabi Muhammad SAW dengan lantangnya menyatakan tekadnya : "Kami tidak akan tinggal diam, hingga kami berhasil menumpas kaum Quraisy". Kemudian Rasulullah SAW mengajak berbai'at. Maka terjadilah Bai'atur Ridhwan di bawah sebatang pohon di tempat tersebut. Bai'at yang dimaksudkan ialah satu perjanjian yang berlaku antara Nabi Muhammad SAW bersama para-para sahabat yang ada ketika itu untuk bersatu padu dan bekerjasama menentang orang-orang kafir Quraisy.

Para sahabat berbai'at kepada Nabi Muhammad SAW untuk tidak takut dan lari meninggalkan medan perang sebagai tanda menuntut bela di atas kematian yang menimpa sahabat baginda Rasulullah SAW. Sementara itu Rasulullah SAW menepukkan tangannya yang satu ke tangan yang lain seraya berkata : "Pembai'atan ini untuk Usman bin Affan". Setelah pembai'atan tersebut, yang mana telah didengari oleh pihak orang-orang Quraisy, barulah datang berita yang menyampaikan kepada Rasulullah SAW bahawa khabar terbunuhnya Usman bin Affan itu tidak benar.

4. Berlakunya Haji Wida'

Pada tanggal 25 Zulkaedah tahun ke 10 Hijrah, Rasulullah SAW meninggalkan Kota Madinah untuk menuju ke Kota Makkah bagi menunaikan Haji Wida' (Haji Penghabisan), baginda disertai seramai 10,000 kaum muslimin. Haji tersebut adalah haji pertama Rasulullah SAW dan yang terakhir bagi baginda. Rasulullah SAW hanya mengerjakan sekali sahaja ibadah haji dan empat kali ibadah umrah sepanjang umurnya mengikut catatan sejarah.

5. Kematian Syeikhul Islam, Ibnu Taimiyah

Nama lengkap Ibnu Taimiyah ialah Taqiyuddin Abdul Abbas Ahmad bin Abdul Salam bin Abdullah bin Muhammad bin Taimiyah Al-Harrani Al-Hambali. Beliau dilahirkan pada hari Isnin, 10 Rabiulawal 66l Hijrah bersamaan 22 Januari 1263 Masihi di Harran. Beliau adalah seorang yang amat berjasa dalam melaksanakan dasar "pembersihan" dalam Islam. 

Apabila umat Islam sudah mula menyimpang dan mencampur adukkan unsur-unsur bid'ah dan khurafat dalam ajaran Islam pada zamannya maka beliau tampil berusaha mengembalikan mereka ke landasan Islam yang sebenarnya. Beliau juga meninggalkan ratusan buah kitab karangannya yang menjadi rujukan sehingga sekarang. 

Karangan terbesarnya ialah Fatawa Ibnu Taimiyyah yang menjadi rujukan ahli fiqh dan hukum sehingga ke hari ini. Beliau meninggal dunia hari Isnin, 20 Zulkaedah 728 Hijrah, dalam usia 67 tahun, setelah sakit dalam penjara lebih dari 20 hari. Beliau menghembuskan nafas yang terakhir di atas tikar solatnya, sedang dalam keadaan membaca Al-Quran. Walaupun beliau juga seorang yang banyak dibenci orang kerana pendirian tegasnya, tetapi jenazah beliau diiringkan ke pusara oleh 200,000 orang lelaki dan 15,000 orang wanita.

~Aku mahu Sekuat beliau~

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam akhir Syawal, insyaAllah melangkah ke zulkaedah sudah. bulan persiapan menghantar tetamu2 Allah bertandangkan menyerah diri ke Baitullah, dengan harapan moga suatu hari nanti kita juga bisa menjejakkan dan menyedut hembusan angin segar di bumi Kekasih Allah berjuang dan disemadikan. Selawat dan salam kepada junjungan Mulia, nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam, moga kita masih dalam rantaian perjuangan Baginda walau tiada darah dan airmata yang mengalir sebagai Baginda berjuang mempertahankan ISLAM, Rahmatan lil'alamin. Andai saja Rasulullah melihat dan memerhati kita saat ini, Allahu Rabbi...pasti akan ku lari sejauhnya.Bukan kerana benci atau marah,namun malunya aku kerana terlalu sedikit sunnah Baginda yang membekas dalam hidup seharian. insyaAllah,mudah2an dengan masa yang masih ada, ingatan bersama Rasulullah tak pernah padammalah kian subur rindu dan kecintaan ini pada Baginda.insyaAllah.

Alhamdulillah, dihari terakhir Syawal ini,Allah mengizinkan sekali lagi diri yang hina ini melalui hari yang penuh kasih sayang. Allah Maha Baik sekali lagi menemukan aku dengan insan yang SANGAT KUAT! ya, SANGAT KUAT! pelawaan daripada K.Mas,kakaknaqibahku sayang untuk turut serta menziarahi sahabat baik beliau, Ustazah Marhamah aku sambut dengan senang hati. Entah kenapa, terasa dekat dengan nama itu walaupun belum pernah bersua muka. Ustazah Marhamah, disahkan menghidap kanser payudara stage 3. sudah 10 sesi menjalani kimoterapi.Allahuakbar! Dia SANGAT KUAT!sungguh, saat terpandang sahaja wajah mulus beliau saat kami tiba dirumahnya, Subhanallah...Maha Suci Allah. Tiada segaris kesan penyakit pada wajah itu. Hingga saat iniakumasih terbayangkan wajah beliau,sangat berseri-seri,segar dan penuh keibuan. seperkara yang buat ku malu sendiri, beliau baru pulang dari Program yang aku kira agak besar. program yang mahu melihat ummah ini terus baik. Allahurabbi,kuat semangat itu menjadikan aku malu sendiri. Aku sihat,aku kuat,aku kurang tanggungjawab,namun masih culas dalam berjuang.

Banyak perkongsian beliau dengan kami. kami melihat kesan kimoterapi yang dilalauinya. dan kesimpulannya, dia insan HEBAT dan KUAT! sebab itu beliau terpilih untuk diuji begitu. aku cuba meletakkan diriku,ditempatnya...Allah..sakit tersadung kaki,mengadu tak ingat..bagaimanalah agaknya jika sakit seperti itu..Allah...Dia Maha Tahu,hamba-Nya mamapu atau tidak.
Santapan jasmani yang menyelerakan makin enak ditambah dengan santapan rohani yang menyentuh hati. Beliau menekankan betapa penting ukhuwwah yang dijalinkan atas dasar iman. Beliau memetik hadis yang bermaksud: “Nikmat yang terbesar selepas kamu mendapat nikmat iman dan Islam ialah mendapat sahabat yang soleh, jika kamu dapati ianya baik maka peganglah ia seerat-eratnya.” 
kita berukhuwwah hingga ke syurga..insyaAllah. sebelum melangkah pulang,beliau tidak henti-henti berpesan kepada kami,anak-anak semua muda lagi, jaga makan..jaga makan dan jaga makan. penyakit boleh dihindarkan dengan menjaga pemakanan.

Daripada ziarah ini,aku melihat teruk atau tidak keadaan seseorang pesakit itu adalah dapat dilihast dari cara seseorang itu menerima ujian yang dihadiahkan. Sungguh!ustazah Marhamah kelihatan lebih sihat darikamiyang pergi menziarahi beliau. ku berharap agar suatu hari nanti saat nikmat sihat atau nikmat apa saja diambil semula,aku mampu sekuat dan setabah beliau.insyaAllah..perjalanan mahabbah ini tidak terhenti disitu sahaja. Alhamdulillah,punya naqibah yang sangat sporting melayan anak-anakyang nakal dan comel ini. 
Apa saja yang berlaku,aku amat bahagia kerana terpilih melalui hari yang penuh kasih sayang. Moga ikatan suci ini akan kekal hingga ke syurga-Nya.insyaAllah..Alhamdulillah Ya Allah atas segalanya..

16 September 2012

~aKu iNgiN Jadi SePeRTi Dia~

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam ukhuwwah dan salam kasih sayang. Salam keceriaan buat semua teman-teman. Salam penghujung Syawal, berakhir sudah bulan yang penuh kasih sayang, silaturrahim,keberkatan,sedekah yang berpanjangan di setiap 'open house' yg tak terkunjung, juga keikhlasan berkongsi nikmat daripada-Nya kepada semua.Alhamdulillah, moga tarbiyyah Ramadhan sebulan itu mampu melahirkan ahsanul khaaliqin selepas 11 bulan kita melayan nafsu yang tak pernah padam. Bagi yang merasakan Ramadhan kali ini masih tidak mampu menjadi 'turning point' terbaik dalam proses transform diri, maka marilah kita berdoa dengan penuh harap moga bakal dipertemukan lagi dengan ramadhan yg akan datang, namun dalam 11 bulan akan datang nie, Jom!kita teruskan mujahadah,insyaAllah..

Hamdalah wasyukurillah...seinfiniti syukur kepada Allah, Allah yang Maha Baik, Maha Pengasih, Maha Penyayang. kadangkala, kelu lidah hilang kata-kata, hanya airmata mampu mengalir mengenang nikmat dari-Nya yang tidak pernah kurang walau syukurku jarang. Allah telah mentakdirkan pertemuanku dengan insan-insan yang amat2 baik. Allahurabbi, terkadang rasa tidak layak bersama mereka lantaran hina dan jahilnya diri. Namun, bersangka baik pada-Nya, mungkin ini wadah Dia mendidik diri ini menjadi lebih kuat, lebih baik.Alhamdulillah...

Paling terkesan adalah apa yang telah dilalui hari semalam. pertemuan dengan founder Telekung Project dalam program Mahabbah Cinta Rasulullah bersama anak-anak yatim Darul Quba. Allahuakbar! sungguh taujihad daripada beliau membuatkan empangan airmataku pecah lagi. Sungguh cepat Allah menjawab persoalan dan permintaanku.Alhamdulillah! Sis Aliza Aziz, seorang kaunselor biasa yang punya pemikiran yang luar biasa. Dalam banyak charity projek yg ku sertai, sungguh ini paling membekas dihati. Allahurabbi, Dia saja tahu saat hatiku disentuh dengan bicara lembut tapi penuh semangat daripada ibu mithali, ibu solehah itu. Dalam keadaan kesihatan yg kurang mengizinkan, beliau diminta berehat seketika, namun pantas dijawab, "akak akan rehat selepas mati, insyaAllah"..sangat terkesan dengan kata-kata itu. jujur dari hatinya yang mulia. apabila fokusnya dalam projek ini dibentangkan, aku hanya mampu menahan sebak, dan mengucap syukur yang tidak terhingga. belum terdaya utk merealisasikan impian sendirian yang ilmu yang kurang.InsyaAllah, paltform sudah ku temui, aku ingin jadi seperti dia..insyaAllah.

terkesan juga dengan kata-kata beliau, Rasulullah kurang tidur kerana kita, layakkah kita untuk tidur sahaja dalam keadaan masalah umat yang kian tenat. Rasulullah pernah mengikat perut dengan batu lantaran menahan lapar, layakkah kita terlebih kenyang hingga melembabkan kerja dakwah kepada ummah. agaknya baki umur kita akan membantu kita yakin menjawab kembali manfaat dari umur yang diberikan ini. apa sahaja yang ada di tangan, panjangkanlah manfaatnya..dan yakinlah Allah akan memberi lebih daripada apa yang kita beri. Yakin sahaja!
justeru, ku memohon dari Allah Yang Maha Kuat..Allahu Ya Qawwi...kuatkan kami Ya Allah..jadikan kami hamba-Mu yang tetap dijalan dakwah ini. Jadikan kami hamba-Mu yang kasih kepada ummah ini. Jadikan kami Hamba-Mu yang memberi manfaat kepada ummah ini. Kuatkan kami ya Qawwi untuk memberi sebanyak-banyaknya, kerana Engkau juga Maha Memberi. Ameen ya Allah, ameen ya Rahman, Ameen ya Rabbal 'Alamiinn.

07 Ogos 2012

~MeNGaPa PeRLu BeRBaiK SaNGKa~


Tujuh sebab mengapa kita mesti bersangka baik;
Satu. Kita mesti sentiasa bersangka baik kerana mungkin kita mempunyai sijil-sijil kecemerlangan kokurikulum atau akademik, tetapi kita tidak memiliki 'sijil' yang mengatakan bahawa kita antara yang dijanjikan syurga seperti 10 sahabat Nabi.
Dua. Kita mesti sentiasa bersangka baik kerana manusia lain juga seperti kita yang mempunyai setiap detik peluang untuk berubah ke arah yang lebih baik. Mungkin semalam dia seorang yang kedekut tetapi tidak mustahil dalam sekelip mata, hari ini dia menjadi seorang yang pemurah dan mungkin tiada yang menyangka bahawa hari esok dialah yang paling ikhlas dalam memberi.
Tiga. Kita mesti sentiasa bersangka baik kerana semua kita adalah bersaudara. Andai hati sahaja mudah berprasangka, bagaimana mahu menebar bahagia?
Empat. Kita mesti sentiasa bersangka baik kerana percayalah setiap sesuatu yang berlaku pasti ada sebabnya. Usah mudah mengangkat jari telunjuk menghukum namun eratkan jemari membentuk persefahaman dan kesatuan hati.
Lima. Kita mesti sentiasa bersangka baik kerana diri sendiri bukan seorang yang maksum dan sepi daripada melakukan dosa. 
Enam. Kita mesti sentiasa bersangka baik kerana hanya Allah yang mengetahui segala isi hati orang lain. Adakah kita fikir kita seperti Tuhan yang boleh membaca isi hati orang lain? Na'uzubillah.
Tujuh. Kita mesti sentiasa bersangka baik kerana kita hanya seorang hamba yang mesti taat kepada Penciptanya. Husnuszonlah sentiasa selama masih bernyawa!
"Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa. Dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang. Dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain..."
(Surah al-Hujurat, ayat 12)
"Kenapa dia tak bertudung? Oh, mungkin kerana dia dibesarkan dalam suasana keluarga yang tidak menitikberatkan agama. Maka aku yang tahulah harus mengajaknya."
"Kenapa dia pulang ke universiti bersama seorang lelaki? Oh, mungkin itu abangnya kerana aku juga tidak mengenali siapa keluarganya. Atau mungkin sesuatu telah berlaku dalam perjalanan sehingga dia terpaksa menumpang lelaki tersebut."
"Kenapa dia ku rasakan makin menjauh tanpa sebarang SMS atau call? Oh, mungkin dia sedang sibuk menguruskan sesuatu. Aku sebagai sahabat mestilah memahaminya."
"Kenapa dia tak membalas senyumanku waktu berselisih ke kelas tadi? Oh, mungkin dia tidak perasan atau ada sesuatu yang membelenggu fikirannya waktu itu. Tidak mengapa, lain kali bisa memberi senyuman lagi."
"Kenapa dia mengumpat sedangkan dialah yang suka memberi tazkirah? Oh, dia juga seperti aku manusia yang sering melakukan kesilapan dan kadang-kadang terlupa. Aku dan dia sebagai sahabatlah yang mesti saling menasihati dan mengingatkan."
Seorang mukmin itu bersangka baik terhadap orang lain. Dihapuskan segala wasangka buruk yang terbit di dalam hati dengan alasan yang mungkin menjadi sebab sesuatu kelakuan dilakukan.
Dan seorang mukmin itu juga mempunyai sifat berhati-hati. Jangan bersangka baik tidak bertempat hingga meninggalkan langkah untuk berjaga-jaga.
Tatkala terbangun pada pukul 3 pagi, terdengar bunyi dari rumah jiran. Kelihatan susuk tubuh seorang lelaki yang bertopeng penuh di muka. Langsung tidak bertempat sangkaan baik mengandaikan bahawa tuan rumah yang bercuti di Pulau Langkawi baru sahaja pulang ke rumah sambil memakai topeng Spiderman sedang mengumpil pintu rumah sendiri.
Andai mulut tidak bisa berhenti daripada mengatakan sesuatu yang tidak berfaedah dan yang mungkin mengundang dosa, maka diam itu lebih baik.
Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Kemudian, maka hendaklah ia berkata akan yang baik atau hendaklah ia diam. Dan barangsiapa beriman kepada Allah dan Hari Kemudian, maka hendaklah ia memuliakan jirannya. Barangsiapa beriman kepada Allah dan Hari Kemudian, maka hendaklah ia memuliakan tamunya." (Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim)

NOTA buat da'ei. Apabila kita sendiri diuji dengan apa yang sering kita dakwahkan, itu petanda Allah sedang mendidik kita agar melaksanakan apa yang kita perkatakan. Bersyukurlah kerana Allah masih sudi mengingati kita dalam usaha kita mengingatkan manusia. -khas buat diri yang faqir ini-