18 Mei 2012

~Nota usrah: Hamba perlu merasakan Muraqabah pada Pencipta-Nya~

               Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam ukhuwwah dan salam kasih sayang. Salam keceriaan, salam kebahagiaan, Salam Sayyidul Ayyam..Moga hari ini lebih baik dari semalam dan hari esok lebih cemerlang daripada hari ini. Alhamdulillah, kita masih mampu menyapa dan berkasih sayang. masih bisa saling mendoakan dan berkirim salam. Damai dan menenangkan saat saudara seislam dihimpit pelbagai kesulitan dan kepayahan.Moga juga doa kita tidak putus, moga Allah menganugerahkan kekuatan dari Asma-Nya Al-Qawwi kepada saudara-saudara seislam yang tidak pernah bersua, namun terjalin cinta atas satu akidah.InsyaAllah.. Alhamdulillah,usrah hari ini dimulakan dengan membetulkan bacaan Al-Fatihah. Allahuakbar, makin dipelajari makin banyak tahu bacaan Al-Fatihah masih belum sempurna. Alhamdulillah, sekurang-kurangnya ada ruang untuk membetulkan kembali apa yang salah. Terima kasih pada adikku, siti Azaharah, ustazah Quran kita yang banyak membantu. Doaku moga dirimu diberikan kemudahan dalam segala urusan.
           Seterusnya, kami membincangkan Bab 1 perkara ke 19 di bawah tajuk 'Saya Mestilah Muslim dari sudut 'Akidah(Buku Apa Ertinya Saya Menganut Islam-Fathi Yakan)iaitu tentang kemestian hamba merasa muraqabah dengan Allah yang Maha Esa. Muraqabah bermaksud seorang hamba itu sentiasa merasa dibawah pengawasan Allah, walau dalam waktu sendiri atau ramai dalam nyata atau tersembunyi. Dimana letak kita dalam soal muraqabah ini, adakah benar kita merasa allah sentiasa mengawasi kita. Sendiri fikir dan sendiri jawab. tepuk dada tanya iman. Allah berfirman dalam surah Al-Mujaadalah yang bermaksud: Tidakkah engkau memikirkan, bahawa sesungguhnya Allah mengetahui segala yang ada di langit dan yang ada di bumi? Tiada berlaku bisikan antara tiga orang melainkan Dia lah yang keempatnya, dan tiada (berlaku antara) lima orang melainkan Dia lah yang keenamnya, dan tiada yang kurang dari bilangan itu dan tiada yang lebih ramai, melainkan Ia ada bersama-sama mereka di mana sahaja mereka berada. Kemudian Ia akan memberi tahu kepada mereka - pada hari kiamat - apa yang mereka telah kerjakan. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. Al-Mujaadalah(58:7)
              Kita sering merasakan bahawa kita mampu mengawal semuanya. Kita bercakap, berbicara semahunya..tanpa kita sedang Allah ada bersama kita mendengar setiap butir kata yang kadangkala mengandungi tipu helah, fitnah dan kurang mengumpat dan mengadu domba. Di mana rasa bahawa Allah itu mengawasi kita saat bibir sewenangnya berbicara itu dan ini. Itu belum termasuk amal perbuatan seharian yang kadangkala mengharapkan perhatian dan pujian daripada manusia. Lalu di mana kata kita Dia sentiasa mengawasi kita. Bagaimana agaknya kelakuan kita andai berada bersama insan yang kita sayang. Perlakuan dijaga sebaiknya, suara dikawal semahunya, gerak diatur sesopan mungkin..begitu sekali kita menjaga diri, kerana kita tahu ada orang yang sedang memerhatikan kita. Tetapi mengapa itu tidak terjadi saat sendiri walhal Allah sentiasa mengawasi kita sedari kita kecil lagi. Adakah kerana keyakinan yang kurang jitu atau kerana kita tidak dapat melihat-Nya sebagaimana kita melihat insan yang kita sayang. Belum layak untuk kita melihat Allah, Nikmat paling besar yang akan diberikan saat di Syurga nanti, tapi cukuplah dengan kita Kenal dan Lihat dalam diri. Apa kita ada, apa kita dapat..dari mana datangnya?
                Banyakkan berfikir sedikit. Sudahlah nikmat-Nya kita dapat dengan begitu banyak sekali, tanpa apa-apa bayaran..cuma hanya ketaatan pada-Nya yang diperlukan, namun kita masih rasa sukar. Allahuakbar! Sahabat, sebagaimana kita menjaga diri dan tingkahlaku saat berhadapan dengan individu-individu tertentu maka lebih lagi harapnya kita mengawasi tingkahlaku setiap masa. Kerana ada Allah yang sentiasa memerhati dan mengawasi kita SETIAP MASA! Banyakkan mengadu dan memohon pertolongan hanya kepada-Nya. Kita boleh mengadu apa sahaja kepada-Nya kerana dia tidak pernah tidak mahu mendengar bicara kita. Dia sentiasa mengharapkan kita menjadikan tempat utama untuk mengadu segalanya, bukan menjadi tempat terakhir selepas tiada lagi sesiapa dan apa yang mahu mendengar dan memahami kita. InsyaAllah, setiap apa yang berlaku adalah daripada-Nya dan dia sudah menyediakan penawar dan jalan keluar untuk semuanya. Cuma kita seringkali melalui jalan yang panjang untuk menemui-Nya. Allahuakbar!          
            Perkongsian ini bukan hanya untuk dibaca oleh kalian, teman-teman tersayang tetapi lebih penting adalah untuk mengingatkan diri dalam usaha membantu diri dan orang lain untuk menjadi lebih baik. Bersama kita berdoa, mudah-mudahan Allah menetapkan kita di Jalan yang benar. Nikmat paling besar iaitu Iman&Islam moga terus menjadi milik kita juga makhluk seluruhnya. Ayuh, mulakan hari esok dengan lebih positif, Sebarkan salam, Bersangka baik dengan sesiapa saja tanpa kita agama dan fahaman, insyaAllah kita akan lebih mudah didekati. Bilamana kita disenangi mudah untuk kita membawa individu di sekeliling kita kepada kebaikan. Hentikan tabiat mencalarkan imej Islam, jadilah da'ie penyelamat umat. Usaha semampu kita kerana Allah tidak akan bertanya hasil daripada apa yang kita lakukan, sebaliknya apa yang kita lakukan itu akan diambil kita.
          Selamat menambah amal bekal untuk kehidupan abadi. Salah silap harap dimaafi. Kita sama-sama dalam usaha memperbetulkan diri juga memperbetulakan umat. Moga Allah merahmati kita semua. InsyaAllah.. Jazakumullah untuk semua ahli Bulatan Kasih Sayangku...Wallahu'alam.

Tiada ulasan:

NOTA buat da'ei. Apabila kita sendiri diuji dengan apa yang sering kita dakwahkan, itu petanda Allah sedang mendidik kita agar melaksanakan apa yang kita perkatakan. Bersyukurlah kerana Allah masih sudi mengingati kita dalam usaha kita mengingatkan manusia. -khas buat diri yang faqir ini-