21 Mei 2008




Coretan tentang hari ibu ini ana tulis pada hari ibu yang lalu, namun tak berkesempatan nak post sebab kena ‘bertapa’ selama seminggu lebih di dalam hutan. Bermula 10-18 Mei 2008 ana kena berada di dua tempat untuk 2 program berbeza. di kampung pulak terlibat dengan program kat sini...so, di penghujung Mei baru ana sempat post...Dari kampung tercinta ana kirimkan nukilan sempena hari ibu biarpun telah pun melewati hari guru....SELAMAT HARI GURU UNTUK SEMUA GURU-GURU ANA DI Sek Keb Panglima Awang dan Sek. Men. Agama Al-Khairiah...

IBU, INSAN TERISTIMEWA

Selamat hari ibu ku ucapkan buat ibu tersayang, jauh nun di utara tanah air… juga kepada semua wanita yang bergelar ibu, bonda,ummi, mak, mama, mummy atau apa lagi nama yang dipanggil. Yang pastinya ia hanya merujuk kepada seorang insan yang berkorban jiwa dan raga dalam membesarkan anak-anak. Bermula dari alam rahim hingga anak itu kembali kepada Allah, jasa dan pengorbanan ibu tiada tepinya.
Hari ibu kali ini aku tak dapat bersama ibu atas tuntutan tugas yang belum selesai. Niat di hati ingin pulang sekejap sebelum datang semula untuk kursus pada minggu depan, tapi abang cakap tunggu je la kat sini, buat apa nak membazir, ana turut saja…walau hati kuat membentak…kali terakhir ana balik, untuk membuang undi pada pilihanraya umum yang lalu. Betapa ana amat rindukan mak dan ayah. Hati ana pasti sebak apabila ingat akan keduanya… ana sempat menelefon emak pagi hari ibu yang lalu di tempat program, sekadar ucapan mampu ana kirimkan. Mak sempat pesan, “tak payah la nak beli hadiah apa-apa kat mak, cukup la doa anak-anak mak untuk hari ibu nie”. Letak saje telefon, laju airmata ana mengalir, ana terlalu rindukan mak. “Ya Allah, beri aku kesempatan untuk bertemu dengan ibu dan ayahku, agar dapat ku cium tangan mereka. Agar dapat kutatap lagu wajah suci mereka….”
Hari ibu dirai saban tahun. Ana melihatnya sebagai satu perkara yang amat positif. Mungkin pada hari ibu ini anak –anak yang sering sibuk akan meluangkan masa untuk meraikannya. Mungkin juga pada hari ibu ini, anak-anak yang kadangkala ada krisis dengan ibu masing-masing, hubungan kembali jernih. Ana kagum dengan rakan-rakan ana, ana sering mendengar perbualan telefon antara rakan-rakan ana dengan ibu masing-masing tanpa sengaja. Perbualan mesra yang memakan masa hampir 10 minit setiap kali bercakap, kadang-kadang ana senyum sendiri. Usik mengusik dan ucapan rindu dari anak yg jauh dari ibu membuat ana sebak sesekali. Ramai rakan-rakan ana di akhir perbualan mengatakan I love you siap dengan ciuman di angin lalu. Ana tersenyum lagi. Ana ingat bila mana ana berborak dengan emak di telefon, susah nak berenti. Macam-macam mak cerita…hal keluarga, jiran-jiran, sekolah anak sedara, hal adik yg tak selesai selagi tak ‘terbang’(moga Allah permudahkan),tak lupa hal politik(makin galak emak cerita lepas PRU yg lepas…hehehe)… emak…emak…
Namun begitu tetap ada kes yang menampakkan kebiadapan terhadap ibu sendiri. Ana teringat lecturer ana pernah menceritakan seorang pelajar beliau sanggup berpura-pura tidak kenal ibu yang datang dari kampong hanya kerana pakaian yang dipakai buruk dan malu dengan kawan-kawannya. Anak jenis apakah ini. Ada juga dikalangan pelajar dan remaja sekarang yang lebih rela menghabiskan cuti bersama rakan-rakan daripada pulang ke kampong bertemu ibu dan ayah. Teman-teman, syukurilah apa yang ada dengan kalian, hargailah mereka selagi mana Allah beri mereka umur untuk bersama kita. Betapa ramai kita lihat anak-anak yang terbiar tanpa ibu, alangkah baiknya jika ibu yang kita sia-siakan itu menjadi ibu mereka.
Ana pasti semua teman-teman ana menyayangi ibu masing-masing. Bagi yang masih mempunyai ibu, belum telefon bertanya khabar, elok segerakan. Kita tak tau jika kita melengah-lengahkan ucapkan kata saying kita pada ibu hari ini, apa mungkin kita aka nada lagi peluang itu esok. Buat teman-teman yang telah kehilangan ibu, jangan bersedih..sedekahkan doa buat ibu kalian. Mereka sedang tersenyum memandang kalian meneruskan kehidupan di dunia sementara ini.
Buat kesekian kalinya, “SELAMAT MENYAMBUT HARI IBU BUAT SEMUA YANG BERGELAR IBU”
Wallahua’lam.

09 Mei 2008


TANGGUNGJAWAB MELEBIHI MASA YANG ADA…

Salam ukhwah Fillah dan salam kasih sayang untuk semua. Hati ana terpanggil untuk berkongsi dengan kalian kata-kata yang pernah diungkapkan oleh Assyahid Al- Imam Hassan Al-Banna…“…kewajipan yang perlu kamu lakukan lebih banyak daripada masa yang kamu ada...” Kata-kata ini amatlah familiar dengan petugas-petugas Islam. Di saat rakan-rakan lain mengucapkan..” relaks la, muda sekali jer, enjoy la dulu…”, petugas-petugas Islam merasakan andainya waktu yang dibazirkan oleh rakan-rakan mereka mampu diberikan kepada mereka lantaran ketidakcukupan masa dalam menjalankan kerja-kerja fardhul muslim dalam masa yang sama hak terhadap diri dan keluarga perlu ditunaikan. Ana pasti masih ramai wujud golongan-golongan petugas Islam yang komited yang berfikiran seperti ini. Dalam masa yang sama, ana menyoal diri, cukup komitedkah ana? Ana rasa tidak, masih banyak masa ana berbaki ana isi dengan kerehatan yang melampau. Astaghfirullah…

Ana kagum dan berbangga dengan para du’at yang berada di sekeliling ana. Begitu bersungguh menyampaikan Islam dengan pelbagai cara. Ada yang berliqo’, ada yang bersama mad’u di alam maya, riadhah bersama, makan-makan…cukup kreatif. Kadang ana muhasabah semula, bagaimana hubungan ana dengan mad’u ana. Cukupkah apa yang ana buat untuk merasai kehidupan Islam sebagaimana ana dan sahabat-sahabat lain rasa. Beberapa minggu yang lepas, ana telah menjalankan sesi kaunseling(latihan) dengan ana usrah ana, ana belum cukup mengenalinya, jadi ana jadikan sesi ini sebagai satu platform untuk ana kenal dan bantu adik ana ini. Di akhir sesi sebelum berpisah, ana cukup tersentuh bila mana adik ana menyatakan yang ana telah membiarkannya tanpa membuat liqo’ seperti awal semester dulu. Allahuakbar…ana rasa amat bersalah. Ana terlalu sibuk dengan hambatan tugas sampai ana lupa sebenarnya ana punya mad’u yang menanti-nanti ana untuk bersama mereka. Terlunaskah semua tanggungjawab ana hingga tiada masa bersama adik-adik ana? Tak juga…Astaghfirullahal’azim…
"Dan hendaklah ada di antara kalian segolongan umat yang menyeru kepada
kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf, dan mencegab dari yang mungkar;
merekalab orang-orangyang beruntung." (Ali Imran: 104)

Ayat ini ana kira ramai antara kita telah melaziminya. Firman Allah ini jugalah yang menjadikan sahabat-sahabat ana begitu hebat berpencak di lapangan dakwah. Ana kadang hilang cara dan hilang idea bagaimana ana mampu teruskan tanggungjawab ana. Alhamdulillah, Allah anugerahkan ana sahabat-sahabat yang begitu kuat mendokong ana untuk beristiqamah dalam melakukan kerja-kerja Islam. Lalu ana sematkan di hati…”selagi mana ana masih ada masa untuk melakukan sesuatu yang memberi faedah kepada diri ana dan orang lain, kenapa ana perlu membataskan pergerakan ana, ibu bapa sudah memberikan redha, apa lagi alasan ana, ana tak pasti adakah esok ana akan dapat peluang yang sama macam ana dapat pada hari ini….”. Namun muncul juga persoalan, apakah tanggungjawab ana terlangsai dengan masa yang ana ada…? Tak juga…

Ana cuba menyingkap tulisan karya Syaikh Abbas Hasan As-Siisi, seorang tokoh da'i yang mempunyai banyak pengetahuan dan pengalaman tentang rahsia hati. Buku beliau yang bertajuk “Bagaimana menyentuh Hati” ana cuba selami penulisannya, begitu banyak panduan dan pedoman yang ana perolehi untuk memikat objek dakwah, Cuma harapan ana, ana mampu mempraktikkanya.
Firman Allah yang bermaksud:
"Maka disebabkan rahmat dan Allah-lah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka.
Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari
sekelilingmu
." (Al-Imran: 159)

Syaikh Abbas Hasan As-Siisi dengan jelas mengingatkan kepada para du’at supaya berhati lembut kerana hanya hati yang sebegini dapat menyentuh hati-hati orang yang ingin kita dekati. Tulisan beliau ada menyebut ,”Para da'i itu juga harus memiliki kemampuan untuk membangkitkan "indra ketuhanan" demi menarik simpati hati, menyatukan jiwa, dan berinteraksi dengan gerakan dakwah beserta medannya yang membentang luas. Ini semua dapat terwujud dengan ajakan dan seruan yang baik, cara yang baik, metode dialog, dan argumtasi yang lebih baik, serta keteladanan yang "tanpa cela". Ana menyarankan teman membaca tulisan beliau ini, terlalu banyak mutiara hikmah didalamnya untuk para da’ie.

Persoalan awal mengenai tanggungjawab dan masa ana ungkap kembali…sekadar muhasabah untuk diri sendiri. Kerana ana merasakan masa ana terlalu banyak lapang dari terisi. Adakah cukup sekadar bermesyuarat, bergerak kerja selama ini untuk menyumbang kepada kesinambungan perjuangan Islam di kampus tercinta ini. Ana teringat hadis Nabi Sallallahu’alaihiwasalam yang bermaksud, "Dua nikmat yang ramai orang yang tertipu di dalamnya iaitu kesihatan dan kelapangan waktu." Riwayat Bukhari. Juga hadis seterusnya yang mengingatkan tentang dua nikmat terbesar ini, "Sesungguhnya di antara nikmat yang pertama kali ditanyakan kepada hamba pada hari kiamat ialah dengan mengatakan kepadanya, "Bukankah Kami membuat badanmu sihat dan Kami menjirus dengan air yang dingin?" Riwayat Tirmizi, Ibn Hibban dan Hakim.

Sihat dan kelapangan waktu adalah nikmat yang besar. Bila tidak sihat iaitu sakit, barulah manusia akan terasa betapa besarnya nilai sihat. Apabila manusia tidak sedar nikmat sihat, maka banyak orang tidak mengingat Allah,tidak takut pada Allah bila mereka sihat. Dan sebaliknya mereka melakukan maksiat kerana mereka sihat. Inilah yang dikatakan orang yang telah kufur nikmat iaitu orang yang telah mempergunakan nikmat Allah untuk kembali menentang Allah.
Satu lagi nikmat ialah kelapangan. Banyak orang tidak sedar mengenainya. Bila lapang, sihat, rezeki melimpah,harta telah mencukupi, banyak kemudahan ada, mereka lupa pada Allah. Mereka gunakan kelapangan ini untuk kepentingan diri mereka sahaja, tidur, keluar bersuka-suka, melancong ke tempat maksiat, melengung di kedai kopi, bersembang-sembang dan sebagainya. Sedangkan masa lapang yang Allah bagi hendaklah diguna untuk mengingati Allah, bekerja ke jalan Allah, melakukan kerja kebajikan masyarakat dan sebagainya. Bila waktu sibuk datang semula kepada mereka, mereka akan terus melupakan tuhan! Apa tidaknya, jika masa lapang pun mereka tidak mengingat Allah, apalagi bila sibuk, khususnya sibuk mengejar dunia.
Ana tinggalkan coretan kali ini untuk kita sama-sama bermuhasabah. Apakah sudah cukup kerja-kerja yang kita lakukan yang melunaskan tanggungjawab kita kepada Allah, Agama, ibubapa, masyarakat, dan diri sendiri. Doakan kita semua istiqamah dalam menjalankan tanggungjawab yang tidak akan pernah selesai selagi mana kita bernafas. Selamat bercuti untuk semua, dan jadikan cuti kali ini sebagai medan yang paling luas untuk kita meng’cover’ semula tanggungjawab yang perlu kita lakukan. Kerana masa yang kita dapat hari ini kita takkan dapat lagi pada hari esok…
Moga Allah jauhkan ana daripada menjadi sebahagian golongan yang hanya pandai berkata-kata tapi tak pernah membuat apa yang dikatakan…ana cukup terkesan dengan peringatan Allah dalam surah Assaff yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, kenapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan?(surah Assaff, ayat 2)

Wallahua’lam….

19 April 2008

salam'alaik


salam ukhwah fillah dan salam kasih sayang untuk semua...

untuk semua teman-teman seperjuangan di seantero ipt ana ucapkan selamat menghadapi peperiksaan terkecuali teman-teman di UIAM yg dah abis pon..

untuk teman-teman di UM, tolong alert dengan perubahan jadual waktu exam akibat kebakaran yang berlaku dfi bangunan peperiksaan. moga Allah mudahkan semuanya..

buat seluruh pimpinan PERMADAH dan PMI, serta penggeraknya...ana doakan kalian diberi kemudahan dan kelapangan hati utk berhadapan dengan exam kali nie...

moga kejayaan kita akan memartabatkan maruah Islam....moga segala apa yang kita usahakan akan menatijahkan keputusan yang baik utk diri kita semua...

Attaufik wannajah fil Imtihan

01 April 2008

aku rindu.....

salam kasih sayang untuk semua....



melewati blog sahabat2, hati ini berbunga girang..indahnya ukhwah di alam maya...

hurmmm...lama rasanya tak menulis. kesempitan waktu yang menghimpit membuatkan aku rindu masa lalu....aku rindu untuk berjalan-jalan di pekan Kuala Nerang...menjelajah dari satu kedai ke kedai yang lain..seronok memerhati gelagat manusia...aku rindu untuk berada dalam kelas tingkatan 6 atas di Sek. Men. Agama Al-khairiah..mengulangi kebisingan dan bergelak tawa, bergurau senda dengan Shikin, Ros, Akmar, Lini, Fizah(fizah mustafa&fizah md daud) , dan ramai lagi teman2ku... aku rindu mengulangi kehidupanku di asrama...masak sendiri, usik mengusik cikgu kalthumdan cikgu mus...adik2ku...jah, zahidah, pikah, k.Chik..terasa begitu cepat masa berlalu....

aku telah kehilangan masa laluku yang amat aku rindukan....aku rindukan kemesraan yang tercipta di setiap kali program yang dianjurkan... aku rindukan gerai Perkasih yang menghimpunkan kembali aku dan teman2 yang amat aku sayang. aku rindukan suasana masak memasak yang riuh rendah disetipa kali prog...kesungguhan Ghazali...keletah P.Cik yg tak habis dok ngusik orang, kelibat Suhaili yang kejap ada kejap tak ada...Kemunculan Mat yang sering memeriahkan keadaan, rajinnya taufik, Khai(tak lama lagi da nk jadi suami orang), midi(dah jadi isp agaknya kawan sorang nie), hisyam(da nak grad pon), dan m.Khir(nama ja satu U,tp tak pernah jumpa). tak ku lupa kelibat orang paling sibuk...Lukman n Zul(sampai ke skrg mcm YB), kat mana2 ada muka diaorang...

aku rindu saat pertama kali aku masuk ke hutan bersama fizah...pengalaman pertama mencari rebung...sebetulnya aku hanya banyak memerhati alam dari mencari rebung...hehehee...curi tulang...

aku rindu berada dalam dunia kasih sayang itu..aku rindu untuk mengulangi kenangan2 itu, walaupun aku amat pasti aku yak mungkin dapat mengulanginya....

kini, bila aku jauh dari teman2 yang ku sayang..aku terasa kehilangan...walaupun aku dikelilingi teman2 yang baru dan makin ramai namun mereka tetap tidak sama dengan teman2 ku dulu...

buat teman2 ku, pelajar2 sek men. Agama Al-Khairiah tingkatan 5-6 atas...aku amat rindu kalian....sekiranya aku diberi seribu teman baru selepas kalian..mereka tetap tidak sama dengan kalian....moga satu hari nanti kita dapat bersama walaupun sekejap...aku rindu kalian...

untuk teman-temanku, kiranya kalian terdengar lagu ini, ingati daku selalu...

HADIAH BUATMU TEMAN

Jalinan persahabatan
Kita abadikan sepanjang zaman
Berpanjangan dan berkekalan
Manisnya iman
Hidup di dalam perjuangan
Kasih sayang kuhadiahkan
buatmu teman
Untuk kau simpan
ingat-ingatan
Jadinya bekalan perjalanan
Hidup di dalam perantauan
Gunung didaki
lembah sama dituruni
Kita diuji berulang kali
Nyata setia sebati
Gelap ditempuhi
cerah sama disusuri
Cinta yang murni
rahmat Ilahi
Harumnya kita kecapi
Chorus
Syukur padamu Tuhan
Syukur kita dihadiahkan
Hadiah iman
Hadiah kasih sayang
Cinta seorang teman
Dan syukur buatmu teman
Syukur kita dipertemukan
Pengorbanan dan kesetiaan
Tak mungkin kulupakan
(Allah Allahu ya Allah...)

20 Mac 2008

Jom ikut sunah nabi

BERSYUKUR kehadrat Allah s.w.t. kerana kita masih diberi peluang untuk sama-sama meraikan sambutan Maulidur Rasul pada tahun 1429H. Majlis sambutan ini diadakan di pelbagai peringkat iaitu dari peringkat kampung hinggalah ke peringkat kebangsaan.
Kemeriahannya memang jelas kelihatan di seluruh pelosok negara. Selawat dan salam kepada junjungan besar pada hari ini begitu mempesonakan. Pelbagai lagu direka untuk dipersembahkan kepada awam.
Rata-rata kebanyakan daripada kita begitu bersemangat sekali untuk mengikuti contoh tauladan yang terbaik yang telah ditunjukkan Baginda.
Kalau kita kira bilangan sunah Nabi memang tak terkira banyaknya. Bayangkanlah, apa sahaja yang telah dilakukan Baginda dianggap sunah. Cara Rasulullah bercakap, makan, minum, senyum, penampilan dan lain-lain dianggap sebagai sunah.
Dalam hal ini, satu sunah Nabi yang ingin dibicarakan ialah mempraktikkan bahasa Arab dan menguasainya. Ini berlandaskan kepada kata-kata Nabi, “Belajarlah Bahasa Arab dan ajarkanlah kepada sekelian manusia”.
Ada juga di kalangan kita yang tertanya-tanya: “Siapa yang sepatutnya perlu belajar bahasa Arab?” Seterusnya satu lagi soalan iaitu “Siapa pula yang sepatutnya perlu menguasai bahasa Arab?”
Berikut dinyatakan empat golongan utama yang perlu belajar dan seterusnya menguasai bahasa antarabangsa yang sangat penting ini.
Pertama, orang yang mengaku dirinya beragama Islam.
Ini kerana pedoman utama umat Islam ialah al-Quran dan hadis Nabi. Kedua-duanya dalam bahasa Arab. Bagaimana seseorang itu boleh memahami Islam dengan fahaman yang paling tepat kalau tidak berdasarkan sumber yang asal? Ada orang kata, “Saya sayang Nabi, saya cinta pada Rasul”. Tetapi bagaimana beliau boleh mengaku sedemikian rupa sedangkan dia tidak berusaha mempelajari apa yang dituturkan oleh Nabi.
Pelik, tetapi benar! Itulah kenyataan yang perlu kita terima dewasa ini. Kebanyakan kita masih lagi belum dapat memahami apa yang dibaca semasa membaca al-Quran. Walaupun seseorang itu mampu membaca al-Quran dengan baik, tetapi belum pasti dia juga mampu memahami apa yang terkandung di dalamnya.
Kedua, rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama yang berfikiran komersial, korporat dan ahli perniagaan.
Tahukah kita, terdapat 23 negara Arab yang menggunakan bahasa Arab sebagai bahasa rasmi. Daripada jumlah tersebut terdapat lebih tujuh negara Arab yang kaya raya dengan sumber alam yang menawarkan banyak projek mega.
Baru-baru ini, gabungan beberapa syarikat di Malaysia telah berjaya mendapat tender bernilai lebih RM3 bilion di Arab Saudi. Untuk itu, kebolehan komunikasi dalam bahasa Arab yang tinggi amat diperlukan untuk meyakinkan pihak-pihak berkenaan.
Apabila kita berkunjung ke negara-negara Arab tersebut kita masih boleh berkomunikasi dengan mereka dalam bahasa Inggeris. Itu memang tidak dapat dinafikan. Persoalannya, sejauh mana kita dapat meyakinkan dan dapat menarik minat mereka?
Kita juga tertanya-tanya, kenapa barangan Malaysia masih tidak dapat menembusi pasaran negara-negara Arab secara maksima? Kenapa nilai dagangan dengan negara-negara tersebut masih rendah? Sedangkan Malaysia dan negara-negara Arab tersebut banyak persamaannya. Semua 23 negara Arab tersebut (kecuali Lebanon) menjadikan Islam sebagai agama rasmi.
Salah satu faktornya ialah kebanyakan golongan korporat dan profesional tidak boleh berkomunikasi dalam bahasa Arab yang boleh menarik minat pelanggan berbangsa Arab. Ini kerana, walaupun mereka masih boleh berkomunikasi dalam bahasa Inggeris, tetapi untuk menawan hati, maka penggunaan bahasa Arab sangat diperlukan.
Ketiga, golongan profesional seperti doktor, peguam, arkitek, akauntan, jurutera dan lain-lain.
Ini kerana al-Quran adalah sumber rujukan ilmu pengetahuan. Adalah amat rugi sekali jika golongan profesional ini tidak mampu merujuk al-Quran untuk meningkatkan kajian dalam bidang yang diceburi. Terlalu jauh perbezaannya antara profesional yang boleh mengadaptasi al-Quran dalam bidang berkaitan dengan rakannya yang hanya bergantung kepada terjemahan sahaja.
Terdapat banyak ayat al-Quran yang membicarakan tentang sesuatu secara saintifik. Dalam ruangan ringkas ini dinyatakan beberapa contoh tema berkaitan keprofesionalisme untuk direnungkan, dikaji, diamalkan dan dijadikan iktibar kepada generasi akan datang.
Contohnya, soal tentang bilangan perkataan di dalam al-Quran. Bilangan perkataan di dalam al-Quran adalah signifikan. Setiap baris, huruf, perkataan, jenis ayat sama ada panjang atau pendek adalah bermakna.
Keempat, golongan akademik yang menitik beratkan soal sumber rujukan.
Nah begitu jelas sekali bahawa rujukan utama ialah al-Quran dan hadis. Kedua-duanya dalam bahasa Arab. Sehubungan itu, untuk mendapatkan nilai kajian yang lebih mutu akademiknya, ahli akademik sepatutnya menguasai bahasa Arab.
Untuk itu, berikut dikemukakan beberapa cadangan yang mungkin perlu direnungkan bersama. Antaranya ialah; golongan profesional dan akademik seperti pakar sains, jurutera, saintis dan lain-lain hendaklah menjadikan al-Quran sebagai rujukan utama meningkatkan karier mereka dalam bidang sains.
Selain itu, oleh kerana hendak memahami al-Quran memerlukan kemahiran bahasa Arab. Guru sains, pakar sains dan saintis perlu belajar bahasa Arab mengikut kaedah yang sesuai bagi mereka. Seterusnya untuk jangka pendek, mereka perlu berganding bahu dengan ulama yang memahami al-Quran untuk mencipta kegemilangan dalam bidang sains dan teknologi.
Jadi ayuh kita belajar bahasa Arab dan menguasainya sehingga kita boleh menggunakan al-Quran untuk meningkatkan prestasi dalam bidang yang kita ceburi. Semua yang kita lakukan ini akhirnya akan menuju ke matlamat asal kita iaitu untuk memperoleh keredaan Allah. Jadikan sambutan Maulidur Rasul kali ini memberi makna yang mendalam kepada kita semua.

di petik daripada akhbar utusan online..
salam Maulidur Rasul utk semua....Sunnah Baginda kita hayati dan amalkan....moga kita di antara golongan yang mendapat Syafaat di akhirat nanti...
NOTA buat da'ei. Apabila kita sendiri diuji dengan apa yang sering kita dakwahkan, itu petanda Allah sedang mendidik kita agar melaksanakan apa yang kita perkatakan. Bersyukurlah kerana Allah masih sudi mengingati kita dalam usaha kita mengingatkan manusia. -khas buat diri yang faqir ini-